Meletakkan Sejarah Sebagai Asas Dasar Awam Negara

Oleh: Kurniawati Kamarudin

Kelantangan suara memperjuangkan kepelbagaian budaya, hak asasi, liberalisme, tribalisme dan pelbagai lagi pengaruh luar membawa senario baru yang mencetuskan krisis di kebanyakan negara di dunia kini.

Ia terhasil daripada ledakan maklumat dan revolusi ilmu di segenap penjuru dunia hingga membawa kepada fenomena 'A crisis of redefinition' atau krisis definisi yang mencetuskan pergolakan apabila sesuatu sistem politik atau kerajaan sesebuah negara itu dipersoal dan dipertikaikan.

Politik ini yang menjadi ciri utama kemelut kenegaraan dalam abad ke-21 dengan membawa pelbagai isu antaranya soal berkaitan status dan hak kewarganegaraan, identiti, perpaduan dan perpecahan dalam masyarakat.

Situasi itu juga turut menular di Malaysia. Isu permasalahan identiti, status kewarganegaraan dan perpecahan dilihat semakin ketara sejak akhir-akhir ini hingga menggugat asas yang telah lama wujud.

PENGARUH YANG BERKEMBANG DI MALAYSIA

Bagi kebanyakan negara di dunia, mereka melihat perkembangan pengaruh-pengaruh itu sebagai satu perkembangan yang boleh mengugat keutuhan sesebuah negara.

Ia mendorong para sarjana dalam pelbagai ilmu sosial dan penggubal dasar awam bekerjasama dalam menangani kemelut itu.

Mereka mula melihat kepada sejarah sebagai satu wadah dasar awam paling ampuh bagi menangani krisis itu selain berpengaruh dalam pembentukan dasar awam terutama dalam mempergiatkan proses pendamaian dan perpaduan.

Bagi Malaysia, sesuatu tindakan harus dirangka bagi menghadapi situasi seumpama itu yang jika tidak dibendung, berpotensi mengancam kestabilan negara.

Namun, persoalannya mampukah sejarah, sejarawan dan ilmuan bidang lain di Malaysia memikul peranan menjana tindakan itu?.

Menurut Pensyarah Kanan Program Sejarah, Pusat Pengajian Sejarah dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Ghapa Harun, sudah tiba masanya tumpuan diberikan pada aspek disiplin ilmu sejarah sebagai medium penyelesaian masalah dengan menyediakan input kepada dasar awam di negara ini.

Penelitian daripada pelbagai sudut harus diberikan bagi mencari kekuatan dan kelemahannya bagi memantapkan kedudukan sejarah sebagai ilmu yang berperanan dalam menyelesaikan krisis dan permasalahan secara berkesan.

"Semua disiplin ilmu bersifat dinamik dan inklusif agar ia terus relevan sejajar dengan perubahan masa. Justeru itu dari masa ke masa ia perlu diperkasakan, disuburkan agar pengamalnya tidak menjadi jumut," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jika direncatkan perkembangan dan kedinamikan sejarah, ia hanya akan merugikan negara, tegasnya.

ASPEK PENDIDIKAN DIBERI PENEKANAN

Sejak tiga dekad lalu, kebanyakan ilmu sosial semakin cenderung menggunakan perspektif sejarah dalam penelitian mereka. Keadaan ini semakin ketara pada abad ke-21 ini.

Kini setiap disiplin ilmu saling melengkapi antara satu sama lain dan ia menjadikan jurang sejarah dengan disiplin ilmu lain semakin rapat.

"Medan pembabitan itu adalah melalui Sejarah Awam. Tugas dan tanggungjawab itu bukan sahaja dipikul oleh sejarawan sahaja, tetapi melibatkan semua pihak," katanya.

Bidang pendidikan antara fokus yang harus diberi perhatian terutama dalam mengatasi kelemahan-kelemahan daripada segi pengajaran guru-guru sejarah di sekolah bagi memastikan minat pelajar pada bidang sejarah dan melihat sejarah sebagai sesuatu yang ada fungsi dan keperluannya.

"Kita sedar kepentingan sejarah dalam membantu membina semangat cintakan negara, namun sejauh mana pula profesionalisme guru yang mengajar sejarah di sekolah. Adakah mereka benar-benar mahir dan terlatih?," katanya.

Keadaan itu juga berlaku di peringkat universiti. Globalisasi pendidikan tinggi sejak lebih sedekat lalu banyak memberi impak pada kedudukan ilmu-ilmu sosial terutama sejarah.

Disiplin sejarah yang mengalami transformasi di institut pengajian tinggi kini banyak didukung oleh sejarawan muda.

Beliau melihat sejarawan senior yang dominan perananya sejak tiga dekat dahulu, semakin kurang aktif dalam penyelidikan dan penerbitan .

"Kini tugas memertabatkan kedudukan disiplin sejarah di peringkat akademik banyak diletakkan di bahu sejarawan muda yang masih baharu membina tapak.

"Ini antara punca yang dilihat mengapa disiplin sejarah semakin terpinggir dalam arus perkembangan ilmu sosial," katanya yang berharap aspek penting dalam disiplin sejarah seperti pengajaran, penyelidikan dan penerbitan serta soal infrastruktur dan kepakaran diberi perhatian di peringkat universiti.

MENCARI KONKLUSI

Abdul Ghapa berkata permasalahan itu antara fokus utama yang akan dibincangkan dalam Sidang Kemuncak Sejarah 2013 yang akan berlangsung pada Selasa dan Rabu ini (17 dan 18 Dis) ini di Wisma Sejarah di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja persidangan itu berkata ia bertujuan mengenalpasti permasalahan kenegaraan dan kewarganegaraan dalam kaitannya dengan sejarah negara dan disiplin sejarah.

Banyak perkara akan dikupas dalam tempoh dua hari itu dengan pembentangkan 65 kertas kerja oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang antaranya sejarah, pendidikan, media dan filem untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mencari input untuk dasar awam negara.

"Antara lain yang akan dikupas peranan filem sejarah yang boleh memberi pengaruh yang cukup besar kepada masyarakat.

"Jika di negara jiran seperti Indonesia mereka begitu rancak mengeluarkan filem berunsur sejarah, tetapi di Malaysia masih terdapat pelbagai halangan dan kekangan yang membantutkan usaha menjadikan filem sebagai medium kesedaran sejarah dalam masyarakat," katanya.

Semua permasalahan- permasalah yang berlaku terutama kehidupan bernegara akan dibincangkan bagi menggiatkan fungsi sosial sejarah khususnya menyumbang secara praktis sebagai input dasar awam negara.

"Sejarah sebagai medium penting yang boleh dimanfaatkan melalui dasar awam sesebuah kerajaan. Umpamanya, bagaimana pendidikan di sekolah dan mencari kaedah- kaedah yang kreatif supaya pendidikan sejarah membawa kepada perpaduan.

"Begitu juga peranan media, tanggungjawabnya dalam usaha mengendurkan konflik, polimik, soal identiti dan sebagainya," katanya.

Persidangan anjuran Persatuan Sejarah Malaysia sempena ulang tahun ke-60 penubuhannya itu akan membahagikan kepada sembilan tajuk utama iaitu Sejarah, Kenegaraan dan Kewarganegaraan, Sejarah, Sastera dan Budaya Popular, Sejarah, Warisan dan Pelancongan , Sejarah, Filem dan Teknologi Multi Media, Sejarah, Media dan Revolusi Digital, Pendidikan Sejarah, Pembinaan Bangsa dan Pembangunan Negara , Sejarah, Pensejarahan dan Sejarah Nasional serta Sejarah Awam Di Malaysia- Pengalaman Persatuan Sejarah Malaysia.

Matlamat akhir persidangan itu akan menghasilkan sebuah memorandum yang akan dihantar kepada kerajaan yang mengandungi gagasan tentang amalan-amalan sejarah sebagai input dasar awam bagi menangani masalah yang dihadapi negara masa kini, katanya.

Sumber Rencana: --BERNAMA


Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel