Dr Maza Pelik Ada Pihak Terlalu Tegas Dengan Vape Tetapi Tidak Dengan Rokok
Dr Maza Pelik Ada Pihak Terlalu Tegas Dengan Vape Tetapi Tidak Dengan Rokok
Mufti Perlis iaitu Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah memberi pandangannya tentang isu vape yang kini menjadi trend terkini sebagai alternatif kepada rokok.
Beliau mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang begitu tegas terhadap penggunaan vape, tetapi tidak kepada rokok, walaupun fatwa pengharaman rokok adalah jelas.
Dr MAZA berkata, penentuan hukum menggunakan vape perlu berlandaskan kajian pakar kesihatan dan bukannya fatwa ahli agama semata-mata.
Ini komen Dr MAZA:
Isu Vape
Ramai bertanya tentang vape. Di sini ada beberapa perkara yang ingin saya sentuh;
1. Menghisap vape pada asasnya bukan amalan yang baik, kerana ia mungkin mempunyai risiko yang tidak baik untuk kesihatan.
2. Sehingga setakat ini belum ada kajian yang putus tentang kesan vape, maka hukuman sehingga ke tahap 'haram' perlu menunggu kajian yang diyakini yang membuktikan mudaratnya.
3. Adalah menghairankan apabila ada pihak yang bertegas keras tentang vape tetapi tidak bertegas tentang pengharaman rokok. Lebih pelik lagi pada masa kini, apabila isu pengharaman rokok bagaikan dilupakan sedangkan fatwa tentang pengharamannya jelas dan hampir sepakat, sementara dalam masa yang sama hanya vape yang 'kelihatan' haram.
4. Kesan zahir vape di sudut bau busuk mulut, tidak seperti rokok yang jelas busuk yang menyebabkan penghisap rokok itu dilarang hadir berjamaah di masjid kerana bau busuknya. Demikian ketika pergaulan. Di sudut itu, vape lebih baik dibandingkan rokok yang busuk dan mudarat.
5. Rokok juga memudaratkan orang yang ada di sekeliling yang terhidu asapnya. Maka, dosa perokok boleh berlipat ganda atas sebab itu. Demikian perbuatan merokok telah merosakkan banyak harta awam. Ini dapat kita lihat kesan api rokok di tandas-tandas awam dan selainnya. Hal ini mungkin tidak terdapat pada penghisap vape.
6. Penentuan hukum vape sangat bergantung kepada kajian yang pasti pakar kesihatan, bukan sekadar fatwa ahli agama semata.
Dr MAZA