'Mak Kau Mati Masa Mengandung, Mesti Nanti Dia Jadi Pontianak Kan?'


Aku berumur pertengahan 30-an, sudah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata. Kisah yang aku nak ceritakan ini bukan tentang aku tetapi tentang kawan baik aku sejak dari sekolah lagi.

Aku ada seorang kawan baik dan rapat, namanya A. Kitorang jadi rapat sebab mak-mak ktiorang rapat. Mak-mak kitorang selalu pergi mengaji bersama-sama di surau kampung setiap petang. Pergi belajar menjahit bersama-sama, ikut program AJK Kampung. Rumah kitorang pun tak jauh, jarak tiga buah rumah sahaja. Kiranya memang kamcenglah aku dengan A ini, selalu bermain bersama-sama.

Dia lepak di rumah aku dan aku lepak di rumah dia. A ini anak tunggal, pelajar cemerlang dan harapan sekolah untuk dapat 5 A masa UPSR dulu. Dia Ketua Pengawas dan Olahragawan sekolah. Nampak tak betapa cemerlangnya dia? Aku, walaupun tak berapa bijak, tetapi dapatlah juga satu kelas dengan A sampai darjah 6.

Semasa kami darjah 6, satu hari itu semasa aku nak jemput dia pergi ke sekolah bersama-sama (bukan jemput sangatlah, kalau nak pergi sekolah, kena lintas rumah dia dulu), A akan belari pada aku dengan mukanya girang. Dia teruja beritahu aku yang mak dia mengandung dan bakal ada adik. Aku pun tumpang seronoklah and the rest is history.

Satu hari di hujung minggu, A duduk di rumah aku sebab mak ayah dia nak keluar beli barang dapur. Mereka ada motosikal saja. A biasanya tak ikut sebab pergi ke pekan kan. Jadi A pun melepaklah dengan aku, main bersama-sama.

Selepas itu, polis datang ke rumah, beritahu pada mak dan ayah aku yang ibubapa A telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Ayahnya masuk ICU, seminggu kemudian disahkan meninggal dunia. Mak dia pula meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian, bayi dalam kandungan juga meninggal dunia.

Bayangkanlah, motosikal kecil itu bertembung dengan treler kayu balak. Hmm...

A pada mulanya memang terkejut dan sedih. Tetapi dia jenis budak yang pintar, dia pandai mengawal emosi dia. Dia tak adalah pulih dari kesedihan 100%, cuma dia pandai kawal sahaja. Seminggu dia cuti selepas ayah dia meninggal dan selepas itu datang semula ke sekolah. Datuk dan nenek sebelah ayahnya yang datang rumah jaga dia sebab kami tak lama lagi menghadapi peperiksaan UPSR.

Selepas UPSR, kiranya datuk dan neneknya nak bawa dia pindah ke kampung, di depan saja.

"Kau tak sedih ke, mak ayah kau dah meninggal? Boleh pula datang ke sekolah belajar seperti biasa," soal aku yang mana tidak sepatutnya ajukan pertanyaan seperti itu.

Dia senyum tetapi matanya bergenang.

Aku anak tunggal mak dan ayah. Kalau bukan aku yang mesti berjaya da jadi budak baik, siapa lagi? Mak dan ayah hanya ada aku seorang saja," jawabnya.

Aku terdiam seketika, aku tepuk-tepuk bahu dia.

Ada seorang budak dalam kelas ini, B, dia tahu dari ibunya yang ibu A meninggal semasa tengah mengandung. Kau tahu apa yang si B ejek arwah ibu si A?

"Mak kau mesti jadi pontianak kan? Mak kau mati semasa mengandung," katanya sambil membuat mimik muka macam takut-takut kononnya. Selepas itu dia gelak bersama rakan-rakannya.

Tetapi A buat pekak saja.

"Kau tak marah ke dia cakap mak kau pontianak?" soal aku.

"Aku marah pun aku nak buat apa?" kata A.

Si B ini pun satu, mentang-mentang A tak melawan, makin giat dia mengejek arwah ibu A pontianak.

"Mak kau pontianak! Mak kau pontianak! Kalau kau tanam paku di leher mak kau, mak kau boleh jadi manusia balik. Pergilah cari pontianak dalam kampung kita, tanam paku di lehar dia,"  lebih kurang begitulah ayat si B berterusan mengejak arwah ibu A.

Sampai satu masa, A hilang sabar lalu dibalunnya B. Maka bergaduhlah mereka, bertumbuk bagai. Pecah juga bibir B pada masa itu. Cikgu datang dan tarik mereka berdua ke bilik kaunseling dengan aku sekali kena ikut sebab aku ketua kelas pada masa itu.

Cikgu Disiplin panggil A masuk bilik dulu dengan aku sebagai saksi. Cikgu pun soal siasat. Bila sudah puas hati, dia suruh keluar dan panggil si B pula. Kedua-dua menceritakan perkara sebenar dan disahkan oleh aku. Cikgu kata, dua-dua bersalah dan mereka berdua dihukum. Aku tak ingat hukuman apa yang dikenakan. Tetapi selepas kejadian itu, B tidak lagi mengejek arwah ibu A. Namun, pastinya ejekan B itu meninggalkan kesan dalam diri A.

Pernah satu hari semasa dia lepak di rumah aku selepas main konda kondi di depan rumah, mak hidangkan milo panas, roti benggala dengan ibu rebus cicah sambal. Aku yang baru nak cicah roti benggala dengan milo terbantut dengan soalan yang diajukan oleh A pada mak aku.

"Betul ke kalau orang mati semasa mengandung jadi pontianak?" soalnya.

Mak terkedu dengan soalan dia. A pun tunduk.

"Kalau betul, saya tak kisah kalau mak jadi pontianak asalkan mak dapat temankan saya setiap hari," katanya.

Aku masa itu nak marah jugalah dia sebab aku takut dia sebut-sebut pontianak tu. Tetapi bila dah tua ni, bila imbas kembali, aku rasa sebak dan sedih bila teringat balik budak berumur 12 tahun bercakap seperti itu.

Mak pun terangkanlah perkara sebenar kepada dia tentang pontinak semua siap dengan ceramah kehidupan di alam barzakh semua. Sejak hari itu, mak memang beri perhatian lebih pada A.

"Mak kasihan dengan A, mak rasa mak nak bagi dia rasa juga kasih sayang seorang ibu," kata mak aku.

Si A pula, bila kitorang merayau satu kampung dan lalu pokok besar, mesti dia terpandang-pandang atas tengok pokok besar.

"Kau cari apa?" soal aku.

"Aku cari mak aku," jawabnya.

Nak terkencing aku pada masa itu. Kita budak kampung, nak senja pun boleh merayau lagi. Tengah nak senja pula dia kata begitu, meremang aku. Aku ajak dia balik.

Sampai di rumah, aku beritahu mak tentang perkara itu. Mak risau lalu ajak ayah jumpa imam kampung minta air penenang semua. Tidak lama selepas itu, kuranglah A bercakap tentang mak ayah dia dan pontianak semua. Tetapi adkalanya dia bergurau juga dengan aku.

Kitorang dapat satu sekolah SBP sampai tingkatan 3 sama-sama. Selepas itu dia pindah ke MRSM, aku pula kekal di SBP. Tetapi hubungan kami tidak pernah putus. Selepas SPM, dia buat A-level, selepas itu fly sambung di RCSI Ireland. Korang tahulah dia kerja apa kan? Aku sambung local tetapi kami masih contact walaupun jauh. Sekali sekala hantar surat.

Bila dia dah grad, balik Malaysia, posting kerja di sebuah hospital di utara Malaysia. Lagilah kerap kami berjumpa sebab aku pun kerja di kawasan yang sama juga.

A, walaupun sudah dewasa, sudah berkahwin dan ada anak, boleh pula dia bergurau lagi tentang hal pontianak itu. Aku beritahu bahawa itu semua khurafat, dia pun tergelak.

"Relakslah Al, aku bergurau je kot," katanya.

Tetapi mukanya tiba-tiba menjadi merah.

"Aku terkilan mak dan ayah tak dapat tengok kejayaan aku hari ini. Aku dah jadi orang bijak pandai, baik seperti yang mak ayah selalu doakan setiap malam bila tiup ubun-ubun aku. Tetapi apa gunanya bila aku tak dapat kongsikan kejayaan aku dengan mak dan ayah?" katanya.

Aku pun beri ceramah panjang pada dia.

Aku tergerak nak kongsi kisah ini selepas menonton video budak sekolah agama yang pukul kawan sekelas dia sebab ejak nama arwah ayah dia yang viral di media sosial. Aku seperti terimbas kembali, macam nampak balik A cuma latar masa dan tempat saja yang berbeza.

Bila aku search tentang budak itu, rupanya ayah dia baru meninggal dunia. Aku tengok komen salah seorang mak kepada murid kelas itu. Dia kata Danish (budak yang memukul) budaknya baik, pengawas sekolah. Bila mengganas seperti itu, terus semua cop dia pembuli sedangkan yang memulakan dulu ada budak yang dipukul.

Aku tak kata si Danish itu betul tetapi aku tak nak netizen hentam dia sebagai pembuli dan tuduh mak ayah dia tak ajar semua sebab aku dah saksikan sendiri apa yang terjadi pada A dan aku sangat memahami situasi budak seperti itu. Masyarakat sekarang semua memandang physical contact sebagai membuli tetapi selalu hiraukan verbal bullying.

Aku mohon kepada netizen semua, kalau kalian boleh jadi seorang hakim, seorang polis, seorang pengkritik tetap bila ada sesuatu isu timbul, kenapa korang tak boleh jadi seorang pakar psikologi kepada seoransg budak? Pandang benda yang berlaku itu sebagai sisi seorang budak yang baru berusia 12 tahun dan masih belajar mengawal emosi dia.

Aku bukan nak pertahankan kes pukul memukul di sekolah tetapi sekurang-kurangnya bila dah tahu perkara sebenar, jangan dicaci maki budak itu. Ini bila aku baca komen, semua memaki hamun budak itu. Padahal masa itu polis sudah mengeluarkan keterangan berhubung kes itu dan puncanya disebabkan apa. Tak tahulah sama ada mereka yang maki hamun itu tak baca berita susulan kejadian.

Aku harap masyarakat kita boleh mendidik anak menjaga bahasa dia, jaga tingkah laku, ajar anak jangan guna bahasa tak elok, jangan mengejek nama ibu bapa orang lain, jangan pandang rendah orang bagai. Sebab bagi aku, bila tatasusila dan bahasa dah cantik, takkan ada masalah lain akan timbul. Ajar anak kita hormat hak orang lain. Tak banyak aku minta, itu sahaja

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel