DUNIA KUCING - MAGIS KUCING
NFO TENTANG KUCING
SEEKOR kucing bernama Mocha duduk tenang di atas riba seorang lelaki. Badan haiwan itu pula berbalut comel kostum berwarna hijau. Mocha, kucing baka American Curl adalah antara haiwan yang terdapat di The Country Cat Cafe.
Ia bukan sekadar peneman sepi pengunjung malah pakar terapi terbaik untuk manusia. Tugasnya di kafe kucing pertama di Malaysia itu tidak boleh dipandang ringan. Mocha bersama 30 ekor kucing betina lain memiliki magis menyembuh depresi pengunjung.
Sejak dibuka secara rasmi pada bulan September tahun lalu, The Country Cat Cafe telah menyentuh hati ramai individu, khususnya pencinta haiwan. Konsep kafe yang dipinjam dari Jepun itu bagaimanapun tidak difokuskan terhadap penyediaan makanan pelanggan tetapi lebih kepada terapi kucing.
Sebagai pencetus kafe kucing di negara ini, The Country Cat Cafe sudah membentuk pengikut setia. Paling menyentuh perasaan apabila mendapat tahu, seorang pelancong Singapura kerap berulang-alik semata-mata mahu melabur waktu bersama Mocha.
"Idea penubuhan kafe kucing ini datangnya daripada seorang rakan niaga. Dia menghadapi tekanan dan enggan makan sebarang ubat. Sebagai alternatif, dia bercuti ke Jepun dan berkunjung ke kafe kucing di negara itu.
"Berdasarkan pengalamannya, teknik tersebut dapat membantunya relaks dan mengawal tekanan. Apabila pulang ke Malaysia, kami bersama-sama menjalankan penyelidikan dan bersetuju membuka kafe ini," jelas Pengarah (Pemasaran Kreatif) ET Hub, The Country Pet Store, EJ Khew ketika ditemui.
Hasil kaji selidik Khew dan rakannya mendapati, kucing mampu mengurangkan 40 peratus risiko serangan jantung. Keupayaan haiwan itu membantu penurunan hormon kortisol juga membuatkan seseorang tambah gembira.
Kortisol ialah sejenis hormon yang dikaitkan terhadap penyesuaian fisiologi bagi stres jangka panjang.
Justeru, setiap kucing di The Country Cat Cafe dilatih untuk bergaul mesra dengan manusia. Kira-kira 30 ekor kucing yang bersilih ganti 'berkhidmat' di kafe tersebut terdiri daripada lapan baka. Antaranya daripada jenis Parsi, American, Siam, Bengal, Maine Coon dan American Shorthair.
Pada satu-satu masa, hanya 12 ekor kucing ditempatkan di dalam kafe itu. Penggunaan kesemua kucing betina pula mengelakkan proses mengawan dan sekali gus mengawal tahap agresif haiwan tersebut.
Kongsi makanan
Tambah Khew, menu untuk pengunjung disesuaikan mengikut diet kucing. Misalnya, salad dan nuget ayam yang dihidangkan di dalam bekas makanan kucing boleh dikongsi pengunjung dan kucing.
Sambil bergurau bersama kucing-kucing di kafe itu, pengunjung juga boleh memesan suplemen istimewa buat si manja. Susu untuk kesihatan, minuman glukosa atau vitamin tube merupakan pilihan makanan tambahan yang ada.
Selain jus buah-buahan, variasi kopi turut ditawarkan kepada pengunjung yang disertakan bersama bayaran masuk bernilai RM14.90 untuk tempoh satu jam.
Mereka yang meragui tahap kebersihan kafe yang dipenuhi kucing itu pula disarankan datang untuk meninjau dan merasai sendiri pengalaman sebelum membuat andaian bukan-bukan.
Penggunaan sistem ventilasi penapis ozon bagi tujuan pembersihan ruang udara dan penyingkiran bau sebenarnya sudah membuktikan keutamaan kebersihan kafe tersebut.
Keselesaan pelanggan juga dimaksimumkan menerusi penggantian pasir biasa kepada pasir kristal dan tandas automatik.
"Sebagai langkah keselamatan, perabot di kafe ini hanya diperbuat daripada kayu dan plastik. Jika ada barangan kaca, ia mungkin mencederakan kucing kerana ia haiwan aktif yang suka berlari dan melompat.
"Pokok untuk dipanjat juga dihasilkan daripada daun pisang. Begitu juga permainan, aksesori dan bekas makanan kucing yang terdiri daripada bahan organik. Tidak lupa, kolar kucing yang boleh tertanggal sendiri sebagai satu ciri keselamatan automatik," ujar Khew.
Pengunjung The Country Cat Cafe juga pasti tertambat dengan kecomelan kucing-kucing yang ada. Apatah lagi apabila setiap seekor disarung kostum pelbagai potongan dan warna.
Pemilihan kostum ditetapkan mengikut tema. Sebagai contoh, pada musim perayaan Krismas, kucing-kucing di kafe itu digayakan dengan pakaian seperti Santa Claus. Begitu juga ketika Tahun Baru Cina, kostum seakan-akan baju tradisional Cina menjadi pilihan.
Tarikan
Secara logik, manusia melihat penggunaan kostum bagi haiwan tidak lebih sebagai satu bentuk hiburan. Ia kerap digunakan ketika pertandingan kucing tercantik, bukan untuk penggayaan harian.
Rasional The Country Cat Cafe menggunakan kostum kucing adalah kerana faktor tarikan. Seperti yang diberitahu Khew, berdasarkan satu kajian, haiwan akan menerima perhatian tambahan jika dipakaikan baju.
Perkara itu diakui seorang pengunjung, Edwin Emawan, 39 yang telah empat kali meluangkan masa di kafe tersebut. Selain kostum, pendekatan unik kafe kucing itu juga berpotensi menarik lebih ramai pelanggan.
Pengiklan bebas dari Kuala Lumpur itu menyarankan agar pencinta kucing untuk datang ke kafe tersebut. Ujarnya: "Saya selalu datang bersama kawan-kawan. Tujuan utama bukan untuk makan atau minum tetapi bersantai dan melayan kerenah kucing-kucing di sini.
"Kucing kafe ini amat terlatih dan tidak agresif. Sejujurnya, ia lokasi sempurna bagi mereka yang tidak boleh membela kucing di rumah jenis apartmen atau kondominium."
Muhammad Hanif Mohd. Rabin, 23, pula yang pertama kali datang ke kafe itu menyifatkan tempat itu selesa, relaks dan menenangkan. Biarpun tergolong dalam kelompok pencinta kucing, Muhammad Hanif tidak dibenarkan membela haiwan itu di rumah kerana alergi yang dialami abangnya.
Kewujudan kafe kucing seumpama The Country Cat Cafe membolehkan dia bermain bersama haiwan itu tanpa sebarang kekangan. Tidak meletakkan sebarang jangkaan, Muhammad Hanif melihat potensi kafe itu sebagai lokasi pelepas tekanan yang efektif.
Ambien santai dengan pemasangan muzik bergenre menenangkan secara tidak langsung membangkitkan mood positif pengunjung. Apatah lagi apabila dikelilingi haiwan comel itu yang tidak kekok bermanja dengan orang asing.
"Pencahayaan malap kafe ini memang sesuai dengan jiwa semula jadi kucing yang aktif pada waktu malam. Setakat ini ruang dan kelengkapan yang ditetapkan juga memuaskan.
"Selagi kucing-kucing di sini selesa dan gembira, ia sudah memadai," kongsi penuntut Ijazah Sarjana Komunikasi Massa (Penyiaran) Taylor's University Lakeside Campus, Subang Jaya, Selangor itu lagi.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz34bhck6Ml