Pelik! Guru Yang Alahan Peralatan Sekolah!

Michael Steer meninggalkan kerjaya lama dalam bidang perbankan semata-mata mahu bergelar tenaga pengajar di Akademi Komuniti Thorbill, West Yorkshire, Britain.

Michael Steer

Bagaimanapun, dia tidak menyangka profesion baharu itu membuatkan dia menderita dan sering jatuh sakit.

Anehnya, penderitaan yang ditanggung bukanlah disebabkan bebanan atau tekanan kerja tetapi sebaliknya berpunca daripada alahan teruk terhadap persekitaran sekolah.

Manakan tidak, apa sahaja peralatan mengajar di dalam bilik darjah boleh membuatkan alahan Steer bertambah teruk sehingga menjejaskan kesihatannya.

Tidak seperti guru lain, dia terpaksa mengenakan sarung tangan khas ketika mengajar bagi mengelakkan daripada bersentuhan dengan objek yang boleh mencetuskan alergi.

Michael Steer [2]

Antara barangan yang disifatkan berbahaya kepada guru subjek matematik itu termasuklah pen merah, pen penanda, papan putih, kerusi plastik, gam, fail, skrin komputer dan pembaris kayu.

"Setiap kali melangkah masuk ke sekolah, saya rasa seolah-olah berjalan ke dalam perangkap maut," katanya seperti dipetik portal The Guardian.

Michael Steer [4]

"Saya tidak boleh memegang alat tulis dan menggunakan papan putih untuk mengajar. Saya juga tidak dapat menanda buku kerja pelajar dengan pen merah," ujarnya.

Dalam usaha untuk mengelakkan daripada alahan, Steer mencari pelbagai alternatif bagi menguji ketahanan selain merawat kulitnya.

Michael Steer [3]

Bagaimanapun, dia tidak memiliki banyak cara melainkan mengenakan sarung tangan khas sepanjang sesi persekolahan berlangsung.

Menurut Steer, tangannya akan membengkak dan melepuh secara tiba-tiba apabila bersentuhan dengan peralatan sekolah yang boleh mendatangkan alahan kepada tubuhnya.

"Ia diikuti rasa berdenyut dan pedih. Kesakitan ini akan berlarutan selama berjam-jam," jelasnya.

Bertutur lanjut, Steer memberitahu, dia menghidap penyakit itu sejak remaja lagi.

Dengan umur mencecah 37 tahun, dia boleh dikatakan sudah cukup memahami reaksi tubuhnya terhadap alahan tersebut.

Dermatitis

Michael Steer [5]

Namun, dia masih belum mampu melawan penyakit itu apabila ia datang menyerang.

Menurut Steer, pada awal pemeriksaan, doktor tidak dapat mencari punca alahan teruk itu namun setelah menjalani beberapa ujian, dia disahkan menghidap penyakit kulit ekzema iaitu keradangan yang menyebabkan kegatalan serta kesan melecur pada kulit.

Lebih malang, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati kulitnya juga sensitif terhadap bahan kimia kalium dikromat.

Malah, dia turut didiagnosis menghidap dermatitis iaitu penyakit radang yang menyebabkan kulit kemerah-merahan dan menggelupas.

Bukan itu sahaja, dia juga alah kepada cat, sabun, kasut, lukisan, telefon bimbit, kapal terbang, batang mancis dan beberapa jenis fabrik termasuk pakaian dengan motif celoreng.

Ketiga-tiga masalah kulit yang dialami guru itu mencetuskan penyakit kulit abnormal yang berbeza daripada alahan kulit biasa.

Menurut Pakar Dermatologi Pusat Perubatan Universiti Ohio, Amerika Syarikat, Dr. Matthew J. Zirwas, pengenaan alergen seperti kalium dikromat pada badan pesakit akan memulakan tindak balas sistem imuniti badan.

Alergen

Michael Steer [6]

"Tindak balas ini mungkin akan memburukkan keadaan jika pesakit menghidap masalah kulit seperti ekzema.

"Bagaimanapun, kulit pesakit mungkin akan mengambil sedikit masa untuk pulih walaupun selepas alergen itu dibersihkan daripada badan pesakit," jelasnya.

Sementara itu, Pakar Runding Pediatrik dan Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Sabeera Begum Kader Ibrahim menjelaskan, bahan iritasi dari persekitaran pesakit mungkin menyebabkan ekzema semakin teruk.

Bagaimanapun, menurutnya ia dapat dipulihkan selepas beberapa hari jika bahan tersebut dijauhkan daripada pesakit dan dibersihkan daripada kulitnya.

Antara bahan iritasi yang biasa ditemui termasuk logam, fabrik, detergen dan bahan kimia tertentu.

Sesetengah pesakit mungkin membentuk alahan terhadap bahan tertentu (alergen) seperti hama, habuk, air liur haiwan peliharaan, bulu, debunga dan mungkin juga makanan tertentu yang memburukkan lagi ekzema.

BACA INI JUGA: Mengalirnya Air Mata Seorang Guru

Sumber: Kosmo

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel