Pelik! Labah-labah Pemakan Burung

Labah-labah adalah sejenis haiwan araknid yang mempunyai lapan kaki. Terdapat beribu-ribu spesis labah-labah di dunia ini.

Goliath birdeater

Antara labih-labah yang unik dan menarik adalah labah-labah yang dikenali sebagai Goliath birdeater (pemakan burung) atau nama saintifiknya Theraphosa Leblondi.

Goliath tergolong dalam keluarga tarantula dan merupakan spesis labah-labah paling besar di dunia. Goliath terbesar pernah direkodkan adalah berukuran 28 sentimeter panjang. Dan jika kakinya dilunjurkan, berat serangga ini lebih 170 gram.

Haiwan yang berasal dari kawasan hutan hujan di utara Amerika Selatan seperti Suriname dan Guyana. Selain itu ia juga berkeliaran hingga ke Venezuela dan Brazil.

Perjalanan hidup goliath bermula dalam lubang di lantai hutan. Biasanya goliath akan membina lubang di kawasan berpaya atau tanah yang lembap. Persekitaran tempat kediaman sebegini memudahkan goliath memburu setiap hari.

Goliath birdeater biggest spider
Goliath adalah labah-labah terbesar di dunia.

Walaupun serangga ini dinamakan sebagai 'goliath pemakan burung', diet utamanya bukanlah burung. Amat jarang sekali pengkaji dapat melihat serangga ini memakan burung. Bagaimanapun, asal-usul nama itu bermula pada tahun 1804.

Ketika itu, seorang pengembara telah melihat seekor labah-labah sedang memakan seekor burung kelicap lalu mencatatkan spesis labah-labah ini sebagai 'goliath pemakan burung'.

Selepas kajian terperinci dijalankan, didapati labah-labah ini menjadikan serangga seperti lipas dan cengkerik sebagai makanan ruji. Selain itu, ia juga memakan haiwan lain seperti tikus, ular, katak dan bermacam lagi.

Jika labah-labah lain membina sarang seperti jaring untuk menjerat serangga, goliat pula menggunakan teknik serangan senyap dengan menerkam mangsa. Keadaannya tidak ubah seperti seorang pendekar di medan perang.

Setelah berjaya menangkap mangsa, goliat akan menyuntik toksin menggunakan taringnya ke dalam badan mangsa untuk memecah dan melembutkan tisu mangsa kemudian menyedut mereka sehingga kering.

Seperti kebanyakan spesis tarantula, goliath tidak berbahaya kepada manusia. Mereka tidak menyerang manusia tanpa sebab dan hanya menyerang apabila merasa diancam. Gigitannya hanya seperti sengatan lebah dan toksin yang disuntik tidak membahayakan nyawa manusia.

Walaupun goliath adalah pemangsa, ia juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa kepada pemangsa lain. Goliath mempunyai penglihatan yang lemah tetapi ia mampu mengesan bahaya daripada getaran bulu yang sensitif pada kakinya.

goliath bird eater eating

Apabila merasakan ancaman, goliath akan menaikkan kepala dan mengembangkan kaki hadapan serta menunjukkan taring sebagai tanda amaran kepada pemangsa supaya tidak mengganggunya. Jika cara itu tidak berkesan, mereka akan menggunakan satu mekanisme pertahanan khas untuk menghindari pemangsa daripada menganggapnya sebagai makanan.

Goliath akan menggosokkan kaki pada abdomen mereka dengan cepat untuk melepaskan bulu-bulu dibadan mereka. Bulu-bulu itu akan berterbangan dan jika terkena pada kulit, musuh akan merasa pedih dan sangat gatal.

Goliath betina akan bertelur dalam lingkungan 50 hingga 150 biji telur diatas benang sutera yang dihasilkan mereka. Kemudian, telur-telur tersebut akan ditutup dan dibalut menjadi kantung yang berdiameter lebih kurang 30 sentimeter untuk menjaga telur-telur tersebut.

Telur goliath akan menetas selepas tempoh pengeraman diantara dua hingga tiga bulan dan anak-anak goliath ini mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun untuk matang. Mereka menghabiskan banyak waktu tinggal bersama-sama di dalam lubang bawah tanah sehinggalah mereka cukup dewasa untuk menjaga diri sendiri.

Suku kaum Piaro di Venezuela menjadikan labah-labah ini sebagai makanan ringan mereka kerana ia banyak terdapat disana dan merupakan salah satu sumber protein terbaik. Malah, kanak-kanak suku kaum Piaroa diajar memburu goliath sejak berusia lima tahun.

Menurut seorang kanak-kanak suku Piaroa yang dikenali sebagi Orlando, dia dan rakan-rakannya sering masuk ke hutan untuk memburu goliath untuk dijadikan makanan ringan.

Biasanya mereka akan mengenal pasti dahulu sarangnya sebelum mengumpan goliath keluar daripada sarangnya.

Snacking Goliath birdeater
Makanan ringan paling sedap.

Menurut Orlando, goliath sangat marah jika hujung kayu dijolok kedalam sarangnya. Ia akan menjengahkan mukanya keluar sambil mengibaskan kedua-dua kaki bagi melepaskan bulunya yang gatal.

Kesempatan itu akan digunakan kanak-kanak Piaroa untuk menekan badan goliath supaya ia tidak bergerak sebelum melipatkan kakinya ke badan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan bulu gatal di kaki goliath daripada terkena kulit.

Menurut Orlando, rasa daging goliath sangat enak seperti rasa ketam. Kebiasaannya, mereka hanya mencucuk badan labah-labah ini pada ranting kemudian memanggangnya begitu saja kerana ia lebih mudah berbanding membalutnya dengan daun.

Apapun, ia adalah makanan ringan paling sedap di kawasan itu.

BACA INI JUGA: Sajian Paling Kejam Di Dunia!

-Sentiasapanas.com

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel