Pengalaman Seram di Tampines
"Saya sedang pulang dari bekerja sambilan sebagai seorang pelayan di sebuah hotel di Singapura dan perkara ini berlaku di tempat tinggal saya di Tampines. Jam di tangan sudah pun masuk pukul 2.30pagi dan saya sedang menunggu lif. Pada masa itu lif cuma naik ke tingkat 6 dan 11. Saya pula tinggal di tingkat 4 jadi kenalah naik ke tingkat 6 dan turun dua tingkat ke bawah dan rumah saya adalah unit yang pertama di sebelah kiri dan hanya ada 6 unit termasuk rumah saya di koridor itu. Apa yang berlaku ialah, sedang saya hendak turun ke tingkat 5 saya terdengar semacam ada orang sedang menggeledah bag plastik. Saya pun tak fikirkan apa-apa terus langkahkan kaki menurun tangga. Bila saja hendak turun ke tingkat 4, bunyi geledah itu pun berhenti dan bau yang sangat busuk pula yang saya hidu. Cuba bayangkan baunya sangat busuk seperti bangkai hingga membuat saya hendak muntah. Saya pun cepat-cepat turun tangga. Sedang saya bergegas turun tangga, tiba-tiba langkah saya terhenti dengan ternampak adanya seseorang yang berpakaian putih dengan rambutnya kusut masai sedang menyangkung di tepi penjuru tangga yang saya hendak turun itu. Cuba anda bayangkan di tangga selalunya ada paip air dan paip yang berwarna merah untuk pasukan bomba gunakan, si dia ni sedang berada di paip yang berwarna putih. Saya pun terperanjat dan masa itu saya tak fikir apa-apa, ingatkan makcik atau pun nyonya sedang mencari tin terpakai yang nak dijual. Tetapi bila saya hendak lalu di belakangnya, saya harus menyendengkan badan saya dan jalan macam ketam, sebab si dia menghalang laluan saya. Terfikir sekejap nak teruskan atau tidak. Saya tawakal dan teruskan hajat. Bila saya hendak menyendengkan badan saya, alangkah terperanjatnya dan berdiri bulu roma tengkuk bila ternampak si dia dengan lidah yang sungguh panjang menjilat lampin perempuan yang berdarah itu!!! Saya pula tak tahu apa nak buat sebab saya ni dah tersepit antara besi tangga di belakang dan si dia di depan mata. Saya baca apa yang saya tahu sampai tersalah bacaan saya. Nak naik atau turun? Itu yang bermain di dalam kepala saya masa itu. Tanpa berlengah saya pun perlahan-lahan selit di antara si dia dan besi tangga lalu langkahkan kaki saya turun dan saya turun secara "back paddle" jadi saya boleh melihat benda itu. Bila saja saya langkahkan kaki yang terakhir rasa lega dibuatnya tetapi bila saya nak pusingkan badan, saya terperasan benda itu menolehkan kepalanya ke kiri dengan perlahan. Bila dia melihat saya, saya terus lari ke depan pintu rumah. Di depan pintu saya ketuk sekuat-kuat hati sambil mencari kunci di dalam beg saya. Dan akhirnya dapat kunci itu dan nak buka pun dengan rasa kelam-kabut. Sedang nak buka pintu besar rumah, kunci terjatuh lalu saya pun tunduk dan capai kunci itu. Saya sempat menoleh ke kiri dan ternampak benda itu sedang merangkak ke arah saya. Saya pun dengan cepat membuka pintu besar. Sedang saya hendak masuk ke dalam rumah, saya terasa semacam ada benda yang memegang kaki saya. Sejurus saya tutup pintu dan terduduk di pintu besar, terdengar bisikan, "Tunggulah aku...!!!" Saya terus demam seminggu dan berjumpa dengan seorang pakar selepas menceritakan perkara itu kepada ibu saya. Tidak ada apa-apa yang terjadi selepas itu. Untuk kaum Hawa sekelian, kalau nak buang lampin yang kotor itu, biarlah betul-betul."