Cerpen - Kaduk, Ayam dan Raja



Kaduk, Ayam dan Raja (Zurinah Hassan)



            Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja mengisahkan perjuangan cucu Kaduk iaitu Hakim yang berusaha mendapatkan tanah milik arwah datuknya yang diambil oleh Raja.  Hakim yang merupakan lulusan universiti telah meminta bantuan sahabatnya iaitu Azam seorang lulusan bidang undang-undang untuk memfailkan kes tuntutan tanah seluas empat ekar itu. Melalui penghujahan Azam, beliau telah berjaya menyakinkan mahkamah bahawa Kaduk menyerahkan ayam Kunani kepada raja tanpa kerelaannya hatinya.  Hal ini  menyebabkan kemenangan berpihak kepada Hakim. Setelah itu, Hakim merancang untuk menternak ayam secara pertanian kontrak dengan syarikat besar yang menubuhkan cawangan di Malaysia dengan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau singkatannya RAJA. Hakim menternak ayam bagi menyahut seruan kerajaan yang banyak memberi insentif kepada penternak.  Kesungguhannya terbukti apabila Hakim telah membuat pinjaman bank melebihi dua ratus ribu ringgit. Hakim terpaksa meminda kertas kerjanya beberapa kali dan  hasil bantuan seorang Yang Berhormat telah menyebabkan bank meluluskan pinjaman tersebut untuk membina sebuah reban ayam tertutup yang dilengkapi sistem penyaman udara serta peralatan memberi makanan secara semi automatik. Setelah kelulusan bank diperoleh, satu perjanjian kontrak di meterai antara Hakim dan syarikat RAJA, maka projek penternakan ayam pun bermula.

            Konflik mula timbul setelah setahun Hakim menjadi penternak ayam.  Sahabat karibnya Azam telah pulang dari luar negara kerana berkursus dan terus berjumpa dengan Hakim. Hakim telah menceritakan masalah yang dialaminya sepanjang dia menjadi penternak ayam iaitu terdapat rungutan orang kampung terhadap lorinya yang telah menyebabkan keadaan jalan kampung bertambah teruk. Selain itu, hakim menjelaskan kepada Azam bahawa hidupnya dibelenggu hutang dengan menunjukkan penyata hasil  jualan ayam dari rebannya yang bernilai lapan puluh lima ribu ringgit. Namun begitu hanya tiga belas ribu ringgit sahaja yang diterimanya kerana selebihnya digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat RAJA.  Jumlah wang yang diterima itu pula terpaksa digunakan untuk membayar pelbagai kos seperti bil elektrik, bil air, hutang bank dan sebagainya. Hakim menzahirkan penyesalannya tentang memilih ternakan kontrak yang dianggapnya situasi menang menang tetapi keadaan yang sebaliknya pula berlaku. Hakim mula menyedari bahawa dirinya  telah dieksploitasi oleh Syarikat RAJA melalui harga dedak dan ubat untuk ayam ternakannya sehingga hutangnya meningkat. Hakim menganggap dirinya menerima nasib yang sama seperti nasib datuk yang tertipu oleh orang yang memiliki kuasa.



Tema

Tema cerpen ini ialah kesungguhan seorang anak muda menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan projek ternakan ayam walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.





Persoalan

Persoalan keberanian menuntut hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
Persoalan memahami selok belok bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
Persoalan ketaatan terhadap pemerintah. Sebagai contoh Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayam Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa bersabung ayam.
Persoalan penindasan golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lemah. Sebagai contoh, syarikat RAJA mengambil kesempatan dengan menentukan harga dedak dan ubat ayam ternakan sehingga menyebabkan Hakim menanggung beban hutang.


Plot



Permulaan

Pembaca diperkenalkan dengan watak Kaduk yang dianggap bodoh kerana bertukar ayam dengan raja.  Akhirnya Kaduk, isteri dan anaknya hidup menumpang di atas tanah yang sebenarnya miliknya sendiri.



Perkembangan

Hassan menamakan anaknya Hakim yang bererti  bijaksana yang berbeza nama-nama orang lain yang primitif dan jelik seperti Si Bulat, Si Labi dan sebagainya.
Hakim seorang yang pandai dan melanjutkan pelajaran  ke universiti.  Hakim semakin sedar akan ketidakadilan dan penganiayaan yang telah berlaku dalam kehidupan datuknya.  Hakim mendapatkan bantuan Azam, sahabatnya untuk menyelasaikan kemelut keluarganya itu.  Usaha Hakim berjaya.
Hakim berhasrat mengusahakan projek penternakan ayam di atas tanah milik datuknya itu walaupun memakan belanja yang besar melebihi dua ratus ribu ringgit.  Untuk melialisasikan hasratnya itu, Hakim memohon pinjaman bank. Masalah yang timbul ialah  pihak bank pula memerlukan cagaran dan dia tidak ada harta yang lain untuk dicagarkan. Mujurlah seorang Yang Berhormat campur tangan dan pinjaman hakim diluluskan.
Hakim memeterai perjanjian dengan Syarikat RAJA untuk membekalkan makanan dan ubat ayam dan projek pun bermula.
Orang kampung merungut bahawa jalan kampung mereka rosak disebabkan lori-lori yang membawa ayam melalui jalan.  Hakim berusaha meminta bantuan pihak yang berkenaan untuk membaiki masalah ini tetapi jawapan mereka ialah tiada peruntukan.


Klimaks

Setelah setahun, Hakim bercerita kepada Azam yang baharu pulang dari luar negara bahawa dia berasa kecewa terhadap projek penternakan ayamnya kerana walaupun mendapat pulangan yang besar tetapi hakikatnya keuntungan yang diperolehnya amat kecil. Dia berasa dirinya telah dieksploitasi oleh syarikat RAJA yang membekalkan makanan dan ubat ayam kepadanya.  Harga makanan dan ubat ayam Syarikat RAJA amat mahal.



Peleraian

Hakim menganggap dirinya mengalami nasib yang malang sama seperti datuknya  yang terpaksa akur pada golongan yang berkuasa.



Teknik Plot



Pemerian

Pengarang menggambarkan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Hakim untuk membina reban ayam tertutup. Sebagai contoh dia memulakan segala kerja, menebang pokok dan meratakan tanah, berlori-lori tanah telah diangkat untuk menambak kawasan yang memang rendah dan berair itu.



Dialog

�Dah berapa kali kau menjual ayam?� tanya Azam



Imbas muka

Hakim pernah berseloroh, �Kalau aku berjaya menebus kembali tanah itu, aku nak dirikan sebuah memorial.�



Imbas kembali

�Kau ingat kan , tanah inilah yang kita tuntut di mahkamah dengan susah payah.�



Kejutan

Nilai jualan dari rebanku ialah lapan puluh lima ribu ringgit. Tetapi akhirnya hanya tiga belas ribu sahaja yang masuk ke kantungku.Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA kerana membayar harga anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan.Dari tiga belas ribu itulah aku membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar bil elektrik dan bil air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain.



Watak dan Perwatakan



Hakim

Anak kepada Hassan dan cucu kepada Kaduk.
Seorang yang berani memperjuangkan hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
Seorang yang gigih menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
Seorang yang tabah menghadapi masalah. Sebagai contoh Hakim tabah mengharungi cabaran akibat kegagalannya dalam bidang keusahawanan.
Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh Hakim berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.


Azam.

Sahabat baik Hakim semasa di universiti.
Seorang yang suka membantu orang lain.  Sebagai contoh Azam membantu Hakim dengan menjadi peguamnya dalam kes tuntutan tanah milik datuknya.
Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh walaupun Azam sudah memiliki ijazah dalam bidang undang-undang namun dia sanggup menghadiri kursus selama setahun di luar negara untuk menambah pengetahuannya.
Seorang yang prihatin. Sebagai contoh Azam sanggup mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh Hakim dalam usaha penternakan ayamnya kerana dia prihatin terhadap sahabatnya itu.




Kaduk.

Datuk kepada Hakim dan ayah kepada Hassan.
Seorang yang suka bersabung ayam. Sebagai contoh Kaduk bersabung ayam dengan raja.
Seorang yang mentaati raja. Sebagai contoh Kaduk sanggup menyerahkan ayam Kunani apabila diminta oleh raja.




Raja

Seorang yang suka bersabung ayam.  Sebagai contoh raja bersabung ayam dengan Kaduk.
Seorang yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.  Sebagai contoh raja telah menukarkan ayamnya dengan ayam kunani Kaduk untuk memenangi pertandingan itu.




Latar

Latar masa

Zaman lampau. Sebagai contoh Kaduk pernah bersabung ayam dengan ayam raja.
Zaman selepas merdeka. Sebagai contoh Hakim didedahkan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru terhadap projek penternakan ayam secara kontrak dengan syarikat RAJA.
Dalam masa setahun.  Sebagai contoh Hakim mengalami kerugian dalam masa setahun dia menjalankan perternakan ayamnya.


      Latar tempat.

Mahkamah. Sebagai contoh kes tuntutan Hakim terhadap tanah milik datuknya dijalankan di mahkamah.
Tanah Kaduk. Sebagai contoh Hakim menjalankan projek ternakan ayamnya di tanah Kaduk.
Kampung. Sebagai contoh penduduk kampung mendakwa lori-lori Hakim telah merosakkan jalan kampung mereka.
Universiti. Sebagai contoh Hakim dan Azam melanjutkan pelajaran di universiti  yang sama.
Latar masyarakat

Masyarakat yang mementingkan bidang keusahawanan. Sebagai contoh para menteri menyeru rakyat menceburi bidang keusahawan melalui pertanian yang mengeluarkan lebih banyak makanan.
Masyarakat yang sensitif terhadap keadaan sekeliling. Sebagai contoh penduduk kampung merungut apabila mendapati jalan di kampung mereka rosak akibat dilalui oleh lori-lori Hakim.
Masyarakat yang bekerja untuk mencari rezeki. Sebagai contoh Hakim mengambil pekerja-pekerja untuk bekerja di projek penternakan ayamnya.
Masyarakat yang mengamalkan sistem feudal. Sebagai contoh wujud dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan rakyat semasa hayat Kaduk.


Gaya Bahasa

Sinkope
Sebagai contoh: kau, ku

Pengulangan kata
Sebagai contohnya: Kami sama-sama membela ayam dan kami sama-sama menggadai tanah. Kami sama-sama berada di bawah cengkaman orang berkuasa.

Kata ganda
Sebagai contonya: bangunan-bangunan, sama-sama dan tanah �tanah.

Bahasa Arab
Sebagai contoh: Assalamualaikum, Alhamdulillah

Bahasa Inggeris
Sebagai contoh Global Chiken





Simile
Sebagai contoh : Bank akan merampas tanahku tak ubah seperti raja merampas tanah datukku dahulu.

Personifikasi. Sebagai contoh; Setiap musim syarikat payung akan mengatur lori-lori untuk mengangkut ayam-ayam yang sudah besar.


Nilai

Nilai keadilan. Sebagai contoh hakim menuntut keadilan di mahkamah bagi pihak datuknya yang telah ditipu.
Nilai keberanian. Sebagai contoh hakim berani menceburi bidang keusahawan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Nilai kegigihan.Sebagai contoh Hakim gigih menjadi penternak ayam walaupun dirinya terpaksa menanggung hutang yang banyak.
Nilai keprihatian. Sebagai contoh Azam sangat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh hakim dengan memberi semangat kepadanya untuk terus berjaya menjadi penternak moden sebelum dia berangkat ke luar negara untuk berkursus.
Nilai tolong-menolong. Sebagai contoh Azam sanggup menjadi peguam Hakim untuk menolongnya mendapatkan hak tanah seluas empat ekar  milik datuk hakim.


Pengajaran

Kita hendaklah menuntut hak kita yang dirampas oleh orang lain.  Sebagai contoh Hakim menuntut hak milik tanah datuknya yang diambil raja di mahkamah.
Kita hendaklah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh Hakim gigih berusaha untuk mendapatkan kelulusan bank bagi menjayakan projek penternakan ayam walaupun terpaksa meminda kertas projeknya beberapa kali sebelum bank meluluskan permohonannya dengan bantuan Yang Berhormat.
Kita hendaklah berani menceburi bidang perniagaan. Sebagai contoh hakim berani mengusahakan tanah peninggalan datuknya dengan menjalankan penternakan ayam untuk dijual.
Kita hendaklah menolong  golongan yang memerlukan bantuan. Sebagai contoh Azam membantu sahabatnya dengan menjadi peguam bagi mendapatkan hak milik tanah datuk Hakim.
 Kita janganlah mengambil kesempatan terhadap golongan yang lemah.  Sebagai contoh Syarikat RAJA mengenakan bayaran yang tinggi terhadap makanan dan ubat ayam yang dibeli oleh Hakim untuk mengaut keuntungan yang lebih.





Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel