Anak Kecewa Penyebaran Berita Kematian Tan Sri Jins Shamsuddin
Anak Kecewa Penyebaran Berita Kematian Tan Sri Jins Shamsuddin
Putera Hang Jebat, anak kepada seniman Tan Sri Jins Shamsuddin berasa kecewa dan menegur pengguna media sosial agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu berhubung kematian bapanya.
Kata Hang Jebat, mereka seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mebuat sebarang kenyataan di laman sosial kerana kesan terhadap penyebaran berita berkenaan sangat besar terhadap mereka sekeluarga.
Pengguna media sosial juga disarankan supaya lebih bijak sebelum repost maklumat yang dibaca dan mengetahui kesahihan dan sumber berita tersebut.
Oleh kerana penyebaran berita palsu itu, dia tidak putus-putus menerima panggilan yang bertanyakan tentang hal tersebut sejak 8 pagi tadi.
Penyebaran berita palsu itu turut membuatkan ibunya Puan Sri Halijah Abdullah sedih dan tertekan.
"Ini sudah kali ketiga perkara saya berlaku dan saya tidak faham mengapa ada pihak sanggup menyebarkan berita palsu sedemikian walaupun keadaan ayah baik-baik sahaja. Hal berkaitan kematian tidak seharusnya dipersendakan sebegitu.
"Pada saya pihak yang menyebarkan berita tersebut sengaja berbuat demikian untuk kepentingan diri sendiri tetapi kesannya sangat besar,"
"Selagi belum disahkan oleh keluarga lebih baik jangan viralkan dan bukannya terus berkongsi tanpa tahu cerita sebenar,"
"Ayah bersama ibu dan adik saya Putera Hang Nadim baharu sahaja pulang daripada bercuti di Korea dua minggu lalu dan tiba-tiba begini pula jadinya.
"Saya kasihankan ibu saya yang sedih apabila ada orang menyebarkan perkara sebegini,"
Dalam perkembangan sama, Hang Jebat berkata, kesihatan ayahnya masih baik biarpun ingatannya semakin merosot akibat penyakit Alzheimer sejak 2011.