Komen Muhyiddin Tentang Isu Gulingkan Mukhriz Mahathir
Komen Muhyiddin Tentang Isu Gulingkan Mukhriz Mahathir
Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi sedikit pendapat tentang isu cubaan menggulingkan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.
Muhyiddin bimbang kerana kes ini mungkin bermotifkan agenda peribadi pihak tertentu dan memberi amaran bahawa Umno bakal berhadapan perpecahan dalaman yang semakin ketara jika tindakan seumpama itu diteruskan.
Muhyiddin telah menyifatkan krisis politik di Kedah sebagai jelik dan memalukan.
"Sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak-pihak tertentu dan bukannya atas kepentingan rakyat, maka ini adalah sesuatu yang amat malang.
"Saya khuatir sekiranya desakan supaya Mukhriz berundur dilayan oleh pucuk pimpinan parti, maka Umno akan semakin kehilangan hormat rakyat dan akan menghadapi cabaran yang semakin getir pada hari-hari yang mendatang,"
"Saya amat kesal kerana dalam keadaan rakyat dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi yang cukup getir serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan BN semakin terhakis, rakyat khususnya di negeri Kedah dibebankan lagi dengan krisis politik yang jelik dan memalukan,"
Pada petang Rabu, sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Umno Kedah menyuarakan pendirian hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.
Desakan itu diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selepas bermesyuarat dengan pemimpin tertinggi parti negeri itu yang diadakan tanpa kehadiran Mukhriz.