7 Sebab Kenapa Anda Perlu Elak Berkahwin Dengan Perempuan Suka Melancong
Semakin ramai wanita berkerjaya, semakin tinggi pula keinginan mereka untuk melancong. Terima kasih kepada penerbangan tambang murah seperti AirAsia, wanita begini sudah mula terbuka matanya.
Soalnya sekarang, seronokkah berkahwin dengan si dia yang ketagih melancong?
Walaupun kami menggalakkan anda bercuti, berikut adalah 7 sebab mengapa anda perlu mengelak berkahwin dengan awek yang gila melancong yang kami petik menerusi perkongsian Jomjalan.com.my.
1. Dia tidak kisah dengan penampilan
Bila dia ke tempat kerja, dia bersolek ala kadar. Di rumah, dia selesa dengan baju kelawar 3 tahun dulu yang koyak di ketiak.
Di jalanan dia sudah biasa berbaju T tidak bergosok dan berseluar jeans lusuh. Rambutnya yang tidak bersikat disembunyikan di sebalik anak tudung.
Kebanyakan wanita sebegini hanya wangi dan cantik di pejabat. Tetapi selekeh di rumah.
2. Dia Tidak Romantik
Mahukan isteri romantik yang tidur di lengan anda sewaktu bersama-sama menonton TV? Elakkan awek kaki melancong.
Rata-ratanya kurang feminin, dan tidak iri hati pun dek kelembutan pelakon Korea. Jika mereka mahukan apa-apa, mereka akan berterus-terang. Tidak pujuk rayu, tiada madah berhelah. Tetapi layanannya kepada anda adalah seperti layanan tokei Cina di kedai hardware.
Jika dia dilanda kesedihan, dia tidak perlukan anda. Dia sudah biasa berdikari. Dan dia tidak perlukan kata-kata manja dan lembut dari anda. Kalau dia keluar rumah dengan kereta tanpa izin anda, jangan terkejut. Si dia sudah biasa mengembara tanpa merujuk sesiapapun.
3. Egonya Melangit
Jika anda mahu suara anda dipatuhi, jangan kahwini perempuan yang suka mengembara. Dia mahu bebas. Dan dia terbiasa membuat keputusan sendiri di jalanan.
Bila anda menahan keputusannya, dia akan bermasam muka. Dia sudah biasa membuat keputusan tanpa dihalang oleh apapun, kecuali oleh pegawai imigresen atau jadual keretapi.
Sebelum membuat keputusan dalam soal rumahtangga, anda perlu merujuk kepadanya terlebih dahulu. Bukan apa, dia fikir dia lebih bijak dari anda. Jika dia boleh pulang ke Malaysia setelah hilang passportnya di Poland, apa sangatlah menyelesaikan isu rumahtangga di Taman Tun?
4. Belanja Tinggi
Ya, dia mungkin tidak kisah dengan make-up MAC atau beg Prada. Tetapi jangan pula anda sangka yang anda dapat berjimat.
Jika hadiah ulangtahun pasangan lain cuma beg tangan baru beratus ringgit, bersedia untuk menghabiskan berbelas ribu untuk si kaki travel.
Setahun sebelum ulang tahun, dia akan mengingatkan anda tarikh ulangtahun dan sudah mula membelek buku pelancongan Lonely Planet. Sewaktu anda kusut memikirkan bil yang perlu dibayar, dia pula hanya sibuk merancang aktiviti di destinasi lawatannya kelak.
Dan kalau ramai isteri sudah teruja dengan pakej membeli belah di Langkawi, dia hanya menguap bila anda katakan yang cuti hujung tahun ini destinasinya di Pekan Kuah.
5. Anda Membosankannya
Makan malam di restoran angkasa Menara Kuala Lumpur hebat? Fikir sekali lagi.
Untuk si kaki travel yang sudah membuat terjunan bungee jumping di New Zealand, menawan ombak di pantai Sydney dan menaiki belon panas di Istanbul, tiada apa yang hebatnya dengan makan malam di menara atas bukit.
Jika anda anak bendang yang sudah biasa makan nasi 3 kali sehari, anda akan membuatnya bosan. Lidahnya sudah mengenal roti Perancis, sushi Jepun dan kopi Arabica. Jadi makan nasi lemak sotong di rumah sambil bermain X-Box di hujung minggu memang tidak cocok dengan jiwanya.
Dia suka bebas di luar, bukan dipenjara di rumah.
6. Dia ramai kenalan lelaki
Apabila anda ambil keputusan berkahwin dengan awek kaki melancong, bersedialah untuk membuang rasa cemburu.
Dia mesra dengan semua. Tak kiralah lelaki atau perempuan. Bertahun di jalanan menyebabkannya petah berbicara. Dia juga ada ramai kenalan lelaki yang bersama-sama mengembara dengannya.
Hobinya itu cinta pertamanya. Dan anda cinta keduanya. Jadi jangan halang dia untuk berjumpa atau bercakap dengan sesiapapun tentang cinta pertamanya itu.Jadi pendam sahaja rasa sakit hati anda itu.
7. Bersedia untuk ditinggalkan
Jika syarikat anda jatuh bankrap atau kereta anda rosak sewaktu tarikh kembaranya hampir tiba, nasib anda bakal semakin parah. Dan hati anda bakal patah.
Si dia yang suka travel takkan mengorbankan apa yang telah dirancangnya. Jika anda berkahwin dengan dengannya, bersedialah untuk melepaskan si dia pergi bercuti seorang diri.
Si dia tidak perlukan anda. Dan si dia tidak menunggu sesiapapun.
Baginya anda tidak ubah seperti beg bagasinya sahaja � jika hilang, masih boleh diganti semula. Beg �bagasi baru� yang bakal dicarinya nanti mungkin lebih baik.
Apa kata anda? Beranikah anda kahwini awek si kaki travel?