JAKIM Sahkan Ramyeon Chicken Mania Halal Sekali Lagi
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sekali lagi mengesahkan produk Mee Segera Ramyeon-Samyang yang sering dipertikaikan di media sosial adalah halal dimakan.
Menerusi satu kenyataan JAKIM menjelaskan, status halal mee segera tersebut kembali diperdebatkan di media sosial dan Facebook JAKIM tidak terkecuali menerima soalan yang sama selepas beberapa pihak mendakwa mee segera itu sebenarnya haram dimakan umat islam.
�Untuk maklumat pengguna, Korean Muslim Federation (KMF) merupakan satu-satunya badan pensijilan halal Korea yang diiktiraf oleh JAKIM buat masa ini.
�Siasatan terdahulu mendapati bahawa produk Mee Segera Ramyeon tidak mengandungi sebarang bahan yang meragukan dan ia merupakan pemegang sijil halal (KMF) yang sah sehingga kini,� ujar kenyataan tersebut.
Tambah JAKIM, KMF mengatakan syarikat yang menghasilkan mee tersebut patuh dan komited terhadap piawaian yang telah ditetapkan dan pemantauan turut dijalankan bagi semua industri yang diberikan sijil halal oleh KMF.
JAKIM juga mengesahkan bahawa laporan analisis Jabatan Kimia Malaysia mendapati tiada DNA babi pada mee segera tersebut.
Sehubungan itu JAKIM meminta supaya penyebaran maklumat palsu berkaitan mee tersebut dihentikan dan sebarang keraguan berkaitan status halal boleh disemak menerusi laman web www.halal.gov.my, melalui aplikasi telefon pintar MyJakim atau hubungi talian tetap 03-8892 5000/1.