Bagi Ibu Duit Tiap Bulan Untuk Dapat Keberkatan
Bila gaji tak cukup, apa yang arwah mak buat untuk saya?
Bulan Februari agak istimewa kan? Jumlah harinya kurang dari jumlah bilangan hari dari bulan-bulan yang lain. Dan kebiasaannya pada yang mendapat gaji tepat pada penghujung hari di setiap bulan, maka bulan Februari adalah bulan yang kita dapat gaji awal beberapa hari dari bulan biasa. Kiranya seperti bonuslah kan?
Arwah mak, dari saya sekolah lagi selalu mengingatkan saya.
"Onn, nanti dah kerja jangan lupa bagi duit pada mak dan ayah tau?" katanya.
Saya senyum.
"Tahu tak kenapa kena bagi duit pada mak dan ayah?" soalnya.
"Laa, itu pun mak nak tanya? Dah memang anak kena bagi duit pada mak dan ayah dia. Mak dan ayah penat susah payah besarkan dia. Bila dah besar, dah bekerja, kenalah balas budi mak dan ayah," jawab saya konfiden membuatkan mak tersenyum.
"Itu pun betul Onn, tetapi ada satu lagi jawapannya. Onn nak tahu?" soalnya.
Dahi saya sudah mula berkerut. Kepala saya dianggukan laju-laju. Saya alih tempat duduk saya rapat pada kaki mak sambil menampung kaki mak di betis sambil mengurut tapak kakinya.
"Onn nak hidup berkat tak nanti? Kalau Onn nak hidup berkat, Onn kena bagi duit gaji pada mak dan ayah. Mak tak harap banyak pun, sikit pun tak mengapa. Ambil berkatnya sahaja.
"Onn tahu tak, mana-mana mak dan ayah berbesar hati sangat kalau dapat duit dari anak-anaknya, tau?" jelas mak membuatkan dahi saya berkerut lagi.
"Berkat yang macam mana eh mak?" soal saya kepadanya.
"Berkat itu kita rasa tidak pernah sempit. Walau sikit saja duit kita, tetapi tidak pernah rasa sempit. Selesa sahaja. Kadang-kadang sebab duit kita menjadi susah hati. Tetapi kalau berkat kan Onn, rezeki kita yang tak banyak itu kita boleh kongsi-kongsikan dengan orang lain," jelasnya.
Saya mula faham.
"Sebab itu Onn tengok ada orang yang dia kerja kampung saja, memotong getah, anak ramai pula tu. Tetapi anak-anak dia semua pandai-pandai kan? Aa, hidup berkatlah tu. Onn nak hidup berkat kan?" soalnya.
Saya angguk laju-laju.
"Nanti bila dah dapat gaji, bagi duit pada mak dan ayah tau? Ambil berkatnya eh nanti," pesannya yang sehingga kini masih segar di ingatan.
Saya masih ingat lagi, gaji pertama saya bekerja sebagai salesman menjual periuk selepas SPM 1989. Dapat RM200 lebih, masa itu bekerja di Cheras. Dapat saja gaji di tangan, saya minta izin boss nak balik Ulu Yam. Sampai di rumah mak, saya keluarkan duit gaji itu.
"Mak, ini gaji pertama Onn. Dapat RM200 lebih. Mak ambillah RM200 ini ya mak? Mak tak perlu risaukan Onn. Nanti di Cheras, boss itu bagi kami duduk beramai-ramai tak payah bayar sewa. Makanan pun dia bagi, beras lauk semua makan beramai-ramai. Mak ambillah ye mak? Bagi ayah sekali," kata saya pada mak.
Mak ketap bibir. Mak kira sehelai demi sehelai wang kertas RM50 ada 4 keping. Mak cium duit itu dan lipat 3 helai sebelum dipulangkan kembali pada saya.
"Eh apa ni mak? Janganlah mak, ambillah mak!" kata saya yang tersentak dengan tindakan mak dan hampir mahu menangis.
Mak mengusap pipi saya dan senyum.
"Banyak ni Onn, mak ambil sikit saja ya? Nanti Onn nak berbelanja di KL tu. Nah, ambillah ya," kata mak.
"Makkk! Janganlah mak! Ambillah ya mak?" saya cuba memujuknya lagi.
"Banyak atau sikit, tak kisah Onn, Onn nak berkatnya kan?" kata mak sambil tersenyum.
Sampai sekarang saya masih ingat pesanan mak itu. Semenjak dari itu saya memang tidak lupa beri mak duit selepas dapat gaji. Masa sempit macam mana pun, duit mak ayah saya akan dulukan. Kalau saya sesak, Ain akan tanya saya.
"Duit mak, abang dah bagi?"
Kalau saya tak cukup duit, Ain yang bagi pada saya duit mak sebab Ain tahu pesan mak tentang berkat dalam hidup. Pernah sekali saja saya sesak sangat, saya pergi rumah mak dan minta maaf pada mak, kata saya kesempitan wang sangat.
Mak ajak saya pergi Pekan Batang Kali.
"Kita pergi ke mana ni mak?"
"Onn ikut sajalah mak ya,"
Rupanya mak ajak pergi ke Pejabat Pos. Mak keluarkan duit ASB. Mak bagi saya duit RM500. Mati-mati saya menolaknya.
"Tak nak mak! Sudahlah tak bagi mak duit bulan ni, ni nak ambil duit mak pula?"
Tetapi mak kata, itu bukan duitnya tetapi duit saya.
"Ini semua duit Onn yang Onn bagi setiap bulan pada mak. Kan Onn sedang susah, ambillah. Kalau tak nak, ambil dan anggap sebagai pinjam saja. Ada duit nanti, Onn bayar balik ya? Jangan risau, mak sentiasa doakan Onn berkat hidup anak beranak. Ambil ya Onn?" katanya.
Itulah pertama kali saya tidak bagi duit pada mak sebab saya tamak sangat doa dari mak ayah. Saya nak sangat berkat pendapatan itu. Jadi saya nak panjangkan pesanan arwah mak saya ini.
Dah hujung bulan kan? Dah gaji kan? Baliklah ye, jenguk mak ayah di kampung. Kongsilah sikit duit kita pada mak dan ayah. Tak banyak, sikit pun jadilah. RM10 ke kan? Berkat doa mak ayah itu yang kita dambakan betul tak?
Saya ini ada duit banyak mana pun sekarang, mak ayah dah tak ada nak dibagi pun. Cuma dapat doakan saja dan panjangkan ilmu arawah mak dan ayah berikan dulu. Mana tahu ada yang tersapa hati ke kan? Dapat titip sikit pahala buat arwah mak dan ayah di 'sana' kan?
Baliklah walaupun sekejap, sikit atau banyak bukanlah perkara pokok. Bak kata mak, berkat itu yang kita cari. Baliklah ye. Doakan arwah mak dan ayah saya bahagia di syurga ya? Al-fatihah..