'Suami Cabul & Rogol Anak Saya, Tetapi Saya Tak Laporkan Pada Polis Sebab Suami Janji Nak Berubah'
Jenayah cabul dan rogol dalam kalangan keluarga sendiri tanpa mengira umur semakin meruncing. Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, rata-ratanya telah lama menjadi mangsa jenayah tersebut namun tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ini kerana mereka bimbang maruah keluarga terjejas atau paling tidaknya, hilang tempat bergantung.
Dua perkara itu menyebabkan ramai anak-anak gadis bawah umur menjadi mangsa kepada ahli keluarga sendiri yang tergamak 'meratah' darah daging sendiri demi nafsu yang tidak terkawal.
Di bawah, Normaliza Mahadi, berkongsi mengenai tindakan awal yang perlu diambil sekiranya perkara yang tidak diingini itu berlaku.
S - Soalan
J - Jawapan
S: Apa yang perlu saya buat jika suami saya mencabul dan merogol anak saya?
J: Lapor kepada polis.
S: Tetapi, saya tidak mahu anak saya kehilangan ayah!
J: Anak tidak perlukan perogol sebagai bapa.
S: Ibu bapa mertua melarang saya untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan saya pula tidak sampai hati memalukan mereka.
J: Datuk dan nenek yang bertanggungjawab, akan memikirkan masa depan cucu mereka.
S: Bagaimana pula saya mahu berhadapan dengan masyarakat?
J: Jangan bimbang. Semua ahli masyarakat yang siuman akan bangkit membantu puan. Mohon jangan melayan ahli masyarakat yang kurang siuman itu.
S: Tetapi, jika suami ditangkap, bagaimana saya mahu meneruskan hidup? Saya tidak bekerja dan tidak mempunyai sebarang simpanan.
J: Sebaik sahaja puan tampil untuk membantu anak puan, kami ahli masyarakat akan membantu. Selagi nyawa dikandung badan. Ini janji kami kepada puan.
S: Bagaimana jika suami saya berjanji akan berubah?
J: Percayakah puan dengan janji seorang perogol? Perogol yang merogol darah dagingnya sendiri?
S: Adakah anak akan berdendam dengan saya jika bapa mereka masuk ke penjara?
J: Puan perlu mendengar luahan hati anak yang menjadi mangsa, namun tidak dibela oleh ibu mereka. Bila mereka dewasa, mereka membenci ibu mereka. Biarlah anak membenci kita kerana bapanya masuk penjara daripada anak membenci ibu kerana tidak terbela. Kebanyakkan anak menganggap ibu mereka yang tampil membantu, sebagai wira.
S: Adakah trauma anak saya akan berakhir?
J: Puan perlu mendapatkan bantuan pakar untuk hal ini. Luka akan sembuh dengan ubat yang baik tetapi parut tetap tinggal di situ untuk dilihat. Namun bantuan puan tanpa berbelah bagi pada anak dapat memberi makna yang berbeza kepada parut tersebut.
S: Adakah semua ini salah saya kerana tidak melayani suami dengan baik?
J: Suami puan memilih untuk menjadi perogol. Jika puan melayan suami dengan baik, beliau masih memilih untuk menjadi perogol. Dia menjadi perogol bukan kerana siapa. Dia perlu bertanggungjawab.
S: Bilakah masa yang sesuai untuk saya melaporkan perkara ini kepada polis?
J: Sekarang!
Mohon kongsikan post berguna ini. Jasa tuan dan puan saya ucapkan jutaan terima kasih.