'Ayah, Mana Ibu? Kenapa Ibu Masih Belum Balik Lagi?'


Umi, gelaran yang diberi pada puteri bongsu.  Kehilangan ibu pada usia 8 tahun. Wajahnya yang cantik dan putih, boleh dikatakan dialah yang paling cantik jika dibandingkan dengan kakak-kakaknya. Ramai jejaka di luar yang menginginkannya.

Namun satu hari, dia meluahkan hajat untuk berkahwin dengan jejaka pilihannya sendiri. Tetapi, lelaki pilihannya itu hanyalah si penjual burger!

Sudah pasti hajatnya itu mendapat tentangan dari kakak-kakaknya yang lain. Masing-masing bermuka kelat termasuk aku sendiri bila mendapat tahu pekerjaan jejaka pilihannya itu. Terasa pelik, antara ramai insan di luar sana, kenapa yang itu juga dicarinya? Apa yang mampu diberi nanti dengan nilai hidup si penjual burger?

Si bongsu bersedih hati. Tiada sesiapa yang mengerti kehendak hatinya sehingga pada suatu hari, suami aku yang selama ini berdiam diri mula bersuara.

"Baru hari ini aku tahu, pangkat besar itu rupanya boleh bagi korang hidup. Baru aku tahu. Kalau masa remaja dia ni banyak buat nakal sana sini, Tuhan kata confirm masuk neraka, tak layak bertaubat. Terer sungguh korang ni.

"Korang lupa ke, ku fayakun kalau sekali tuhan sebut orang kaya pun boleh lingkup. Orang jahat pun boleh jadi baik. Ingat, rezeki itu tuhan yang bagi. Jangan pula korang takbur pandai-pandai atur hidup orang lain melebihi tuhan. Nanti tuhan tarik nikmat hidup korang, masa itu baru korang ada akal," katanya.

Sentap! Akhirnya kami semua akur andai itulah jodoh si bongsu. Maka berlangsunglah kenduri dalam suasana sederhana.

Beberapa bulan kemudian, mereka dikurniakan cahaya mata. Namun kegembiraan tidak lama bilamana puteri kecil disahkan pula menghidap jantung berlubang. Dalam keadaan pantang, si bongsu menjaga anaknya siang malam di hospital. Langsung tidak mempedulikan dirinya sihat atau tidak, hanya si kecil itu saja di hatinya.

Di Institut Jantung Negara (IJN), setiap bulan dia berulang alik untuk check up. Alhamdulillah, disahkan sihat sepenuhnya. Kegembiraan bermula dalam hidup mereka dengan permata hati yang comel itu.

Namun, tidak lama kemudian, si bongsu mula jatuh sakit, demam bengkak gusi. Bulan 12/2013, akhirnya disahkan menghidap leukimia. Ya Allah! Sesungguhnya berdentum hidup kami sekeluarga.

6 bulan berperang dengan kesakitan, akhirnya pada kimo yang ketiga, dia pergi menghadap illahi pada 2 Jun 2014. Akhirnya kami sedar mengapa tuhan menghantar si penjual burger menjadi keluarga kami.

Kerana dia penjual burger, dia mampu berada di hospital setiap hari, sedangkan kami yang kakak-kakaknya perlu mengatur hari bergilir-gilir untuk menjaga dia di sana kerana masing-masing bekerja. Dan hanya berkesempatan jika kami mengambil cuti untuk ke sana.

Kerana dia si penjual burger, dia datang ke rumah kami. Bergilir-gilir kami sediakan makanan, diambil dan dihantar serta disuapkan ke mulut bidadarinya dengan penuh kasih sayang.

Kerana dia si penjual burger, dia mampu memandikan isterinya, menggelap tubuh , setiap inci tubuh si bidadarinya dibelai dan diletakkan losyen agar tidak kekeringan.

Kerana dia si penjual burger, waktu malam dia pulang untuk tidurkan anak kecilnya yang sentiasa bertanya,

"Ayah, mana ibu? Kenapa ibu masih belum balik lagi?"

Lalu dipeluknya puteri kecil dengan kasih sayang walaupun di hatinya mengalir pilu melihat wajah kecil yang tidak tahu apa-apa. Ditepuk-tepuk sehingga tertidur lena, sedangkan dia sendiri keletihan tak cukup tidur, tak dipedulikan tubuh badannya sendiri.

Kerana dia si penjual burger, dia yang mendengar rintihan hati bidadari kesayangannya dengan setia dan itulah rutin harian, cinta agung si penjual burger terhadap bidadarinya. Dia mampu berada di sisi isteri sehingga ke hembusan nafas terakhir, berada di sisi mengucup dahi arwah isterinya, meredhakan pemergian si bidadari.



Walaupun kami sedarah sedaging, belum tentu kami mampu melakukan sepatutnya. Andai dia berkelulusan, rasanya dia tidak mampu melakukan itu saban hari. Andai dia berpangkat, adakah dia punya masa setiap hari?

Terjawab soalan akhirnya kenapa tuhan menjodohkan mereka. Sesungguhnya Allah tahu apa yang terbaik untuk makhluknya. Percayalah..

Tidak lama lagi, akan hadir tarikh 2 Jun 2016, bermakna sudah dua tahun adikku pergi menghadap illahi. Dan selama ini jugalah si penjual burger itu masih bersendirian merindui bidadarinya. Anak kecil itu adalah lambang cinta sejati mereka, cinta yang hidup mekar walaupun si dia telah pergi.

Al-fatihah buat adikku...

Kami sekeluarga sentiasa menyayangi si penjual burger, dia tetap keluarga kami sehingga ke akhir hayat. Terima kasih kerana memberi kasih sayangmu kepada adik kami walaupun seketika. Kami doakan perniagaanmu untuk membuka kafe berjaya seperti impian arwah adikku suatu ketika dahulu. Tunaikanlah harapan bidadarimu.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel