Resepi Ayam Teriyaki

Ayam Teriyaki

Resepi Ayam Teriyaki yang berasal dari pengaruh masakan Jepun, sangat sedap dan mudah disediakan. Teriyaki membawa maksud dari dua gabungan perkataan iaitu 'Teri' bermaksud kilatan dari proses karamel gula dalam sos perapan, 'Yaki' pula bermaksud cara memasak dengan memanggang atau menggoreng.

Masakan ini biasanya dihidangkan dengan nasi putih sahaja dan tidak digalakkan dimakan bersama gabungan lauk yang lain. Resepi Teriyaki yang asal terdiri daripada gabungan sos soya dan sake (sejenis wine Jepun dari beras) ataupun mirin. Oleh kerana masakan ini adalah versi halal, Che Nom gantikan sake atau mirin dengan cuka makan (white vinegar) dan boleh juga dicampurkan sekali dengan jus lemon atau jus limau. Anda harus cuba resepi ini :)

Ditulis oleh : Che' Nom
Masa:
Penyediaan: 20 minit | Memasak: 10 minit | Keseluruhan: 30 minit
Jumlah Hidangan : 3 orang
Bahan-Bahan:

2 keping dada ayam
1/4 cawan kicap soya cair
2 sudu besar cuka makan
1 sudu besar parutan halus halia
2 sudu besar minyak bijan
1 sudu besar gula perang atau gula putih
sedikit minyak masak
bijan
daun bawang
cili merah, jika suka
Cara Penyediaan:

Bersihkan dada ayam, hiris memanjang setebal anggaran 1/2cm.
Dalam mangkuk, gaulkan dada ayam bersama kicap soya cair, cuka makan, parutan halia, minyak bijan dan gula. Perap selama 15 minit.
Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Angkat dada ayam dan susun di dalam kuali. Ketepikan sos perapan kerana akan dimasak kemudian.
Biarkan ayam masak sebelah bawah dengan sedikit tanda grill, kemudian alihkan. Angkat setelah ayam masak.
Dalam kuali yang sama, masak sos perapan sehingga mendidih dan sedikit pekat. Tambah sedikit air jika kuah terlalu kering. Tuang sos ke atas ayam tadi.
Taburkan bersama bijan yang disangai, daun bawang dan cili. Hidang bersama nasi putih panas.
Tips:
Jangan masak ayam terlalu lama kerana isi ayam akan menjadi keras dan kurang berjus.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel