'Menyesal Saya Hina Menantu Sehingga Mereka Bercerai'
Pertama sekali, hal ini bukan mahu mengaibkan sesiapa. Cukup saya ceritakan untuk dijadikan sebagai pengajaran buat kita semua.
Baru-baru ini, team Cuci Bersih Services dipanggil ke sebuah rumah di ibu kota. Pemiliknya adalah seorang makcik tua yang agak educated pada kiraan saya. Sepanjang pekerja menyiapkan kerja, saya duduk melayani dia berborak.
Dia membuka cerita dengan meminta maaf kerana keadaan rumahnya yang agak teruk. Agak tidak terurus sebenarnya. Dia tinggal seorang diri semenjak suaminya meninggal dunia.
Katanya, dia mempunyai seorang anak perempuan dan tiga orang anak lelaki. Dia amat menyayangi mereka dan semua dijaga dengan penuh kasih sayang. Tetapi ketika ini, kesemua anak-anaknya lebih mementingkan kehidupan sendiri sehingga terlupa akan dirinya.
Dahulu, pernah ada seseorang yang amat mengambil berat mengenai dirinya. Seseorang yang rajin datang menguruskan rumahnya. Seseorang yang dia sendiri tidak pernah kisah ada atau tiada. Orang itu adalah menantu dan isteri kepada anak keduanya.
Menantunya itu tidak bekerja, hanya seorang suri rumah yang pada pandangannya sangat tidak berbaloi untuk disayangi dan dipandang tinggi suatu ketika dahulu.
Ceritanya lagi, ketika itu dia terlalu memuji-muji anak perempuannya yang berpelajaran tinggi dan berjawatan tinggi sehingga dia tergamak mengherdik menantunya itu. Banyak lagi perkara yang tidak baik dilakukannya terhadap menantunya itu. Berat rasanya hendak diluahkan di sini.
Akhirnya, tercetus pergaduhan di antara anak dan menantunya sehingga membawa kepada perceraian.
Kini, anak yang disanjung-sanjungnya pada suatu ketika dulu, terlalu sibuk untuk mengambil berat terhadap dirinya. Anak-anak lelakinya pula sudah berkahwin dan tinggal jauh dari dirinya.
Saya kira ibu tua ini sangat menyesal dengan apa yang dia pernah lakukan terhadap bekas menantunya itu dulu sehingga dia sanggup bercerita dan meluahkan segala rasa kepada orang luar seperti saya.
Dia mengakhiri cerita ini dengan air mata. Barulah saya sedar bahawa cerita seperti ini bukan hanya sekadar cerita di televisyen. Benar kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Hakikatnya, penyesalan ibu tua ini sudah tidak berguna lagi.
Jadikanlah cerita ini sebagai satu pengajaran buat kita semua. Kita punya ibu, kita punya ibu mertua dan kita juga punya anak-anak. Balasan itu wujud, percayalah