Ifa Raziah Tunggu 20 Tahun Rasai Nikmat Kejayaan


PETALING JAYA: Penyanyi dangdut Ifa Raziah tidak menolak segelintir pihak kurang senang dengan karier yang dilihat semakin berkembang sejak merangkul trofi Artis Versatil Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH29), Mei lalu.

Ifa, 41, berkata, kejayaan dikecapinya hari ini tidak seharusnya dicemburui kerana ia bukan datang secara bergolek sebaliknya hasil berkat kesabaran dan usaha sepanjang 20 tahun terlibat sebagai anak seni.

"Tuah saya dalam bidang seni jujurnya memang lambat dan hanya mula nampak hasilnya selepas bekerja keras selama 20 tahun bergelar anak seni.

"Tidak perlu berasa kurang senang atau menyimpan hasad dengki dan berilah peluang saya hendak merasai segala usaha keras saya selama ini.

"Alhamdulillah sejak memenangi trofi di ABPBH29 baru-baru ini rezeki saya semakin murah selain mendapat pelbagai peluang yang belum pernah saya peroleh sebelum ini," katanya kepada mStar Online.

Ifa baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Terus Terang hasil ciptaan DJ Fuzz dan turut menampilkan kumpulan Lawa Nie Geng.

Penyanyi itu juga diundang sebagai pengkritik tetap program realiti popular Indonesia iaitu D'Academy Asia musim kedua yang bakal bersiaran bermula 23 Oktober ini.

Dalam pada itu, Ifa berkata, dia yakin lagu terbaharunya itu dapat diterima baik oleh pendengar memandangkan stesen radio swasta di negara ini mula terbuka terhadap lagu-lagu genre dangdut.

Malah kata Ifa, dia sendiri akan turun ke stesen-stesen radio tempatan bagi mempromosikan lagu berkenaan selain artis-artis dangdut lain.

"Saya akan adakan promosi di stesen radio bukan sahaja untuk lagu sendiri tetapi saya lihat ia juga sebagai satu tanggungjawab saya sebagai presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (Bintang).

"Dengan cara itu saya turut dapat mempromosikan penyanyi-penyanyi dibawah naungan Bintang kerana ada di antara mereka yang mempunyai lagu baharu.

"Stesen radio hari ini juga saya lihat sudah terbuka memutar lagu-lagu dangdut dan ini adalah satu perkembangan positif," jelasnya.

Sementara itu, Ifa berkata, dia juga bakal melancarkan Terus Terang di Indonesia selepas tugasnya sebagai pengkritik D'Academy Asia tamat.

Malah kata Ifa, pihak Sony Music Malaysia juga sedang berbincang dengan wakil di Australia untuk merakamkan lagu berkenaan dalam versi bahasa Inggeris untuk pasaran negara itu.

"Saya teruja dengan perancangan disusun pihak Sony Music untuk Terus Terang dan berharap segala yang dirancang akan berjalan dengan baik.

"Insya-Allah saya akan rakamkan versi terbaharu Terus Terang untuk pasaran Indonesia dan Australia," jelasnya.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel