Pasangan Dikenakan Caj RM162 Untuk Pegang Bayi Sendiri Yang Baru Dilahirkan
UTAH - Sudahlah kos bersalin RM55,000, seorang lelaki terpaksa membayar caj tambahan sebanyak RM162 di Hospital Utah Valley di Provo untuk memegang dan meletakkan bayinya yang baru dilahirkan secara pembedahan di atas dada isterinya, lapor New York Times (Free Malaysia Today).
Ryan Grassley, 37, berkata, pada awalnya dia tidak endah dengan caj 'sentuhan kulit ke kulit selepas pembedahan' yang dimasukkan dalam bil hospital. Malah dia sempat memuat naik gambar isteri dan anaknya itu di laman Reddit, Isnin lalu.
Bagaimanapun, kisahnya itu mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya marah dan kecewa dengan kos tersembunyi dalam bil rawatan yang diberikan oleh hospital tersebut.
Menurut posting yang dimuat naik oleh Ryan, anak lelakinya dilahirkan pada 4 September. Ketika isterinya sedang melahirkan, mereka ditanya adakah mereka mahu memegang bayi yang baru lahir itu selepas selesai pembedahan.
Menurut jurucakap Hospital Utah, Janet Frank berkata, caj itu bukan untuk sentuhan kulit ke kulit. Sebaliknya caj itu dikenakan kerana seorang jururawat tambahan diperlukan di bilik pembedahan sementara pasangan itu memegang bayi mereka yang baru lahir.
"Kehadiran jururawat itu diperlukan untuk memastikan kedua-dua ibu dan bayi kekal selamat. Hanya dalam kes kelahiran secara pembedahan jururawat tambahan dibawa ke dalam bilik pembedahan," katanya.
Selepas menyedari perkongsiannya di Reddit itu mendapat banyak perhatian pelbagai pihak, Ryan tampil memberikan penjelasan.
"Kami tahu kos bersalin akan meningkat dan telah menyediakan simpanan yang mencukupi. Jumlah kos keseluruhan bil termasuk pembedahan ialah RM54,827. Semua yang terlibat dalam proses kelahiran bayi kami sangat hebat dan kami mendapat pengalaman yang positif. Kami hanya terasa lucu bila melihat caj itu dalam bil hospital," katanya. - The Reporter