'Apa Saya Perlu Buat? Suami Saya Sudah Pernah Terlanjur Dengan Bekas Teman Wanitanya..'
saya ada masaalah berkaitan rumahtangga� sebelum ini rumahtangga saya aman bahagia,. untuk pengetahuan kak, baru 4 tahun saya berumahtangga dan anak masuk 2 orang. Sekarang saya mengandung 8 bulan.. baru-baru ini suami saya berterus terang bahawa dia telah terlanjur dengan bekas teman wanitanya di universiti dulu.. dan dia ingin mengambilnya sebagai isteri.. saya sedih yang teramat sangat. sukar menerima kenyataan.. setiap kali solat saya pohon allah beri petunjuk apa yang harus saya lakukan, perlukah saya menberi izin sedangkan saya terlalu sedih dengan keputusan ini. kini saya redha dan memberi izin suami berkahwin lagi. bagaimana saya ingin mengubat hati ini. sebenarnya saya takut suami akan mengabaikan saya dan anak2. saya pohon kak berikan saya nasihat berkaitan poligami.
***************
Wa�alaykumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Mai yang dikasihi Allah,
Pertama kali, akak mohon maaf kerana lambat memberi respon pada persoalan Mai. Keadaan akak yang agak sibuk dan kurang sihat menyebabkan ia tertangguh.
Mai yang dihormati,
Sebagai perempuan, akak faham perasaan Mai yang berhadapan dengan masalah suami sekarang. Sebelum akak memberi pandangan lanjut, akak mahu Mai fahami terlebih dahulu bahawa semua takdir Ilahi sama ada baik atau buruk adalah kerana Allah mahu kita kembali kepadaNya. Kembali dengan ertikata kita mengabdikan diri kepada Allah sepenuh jiwa raga.
Mai,
Kalau kita sedih dan cemburu bila suami memberi perhatian pada perempuan lain, Allah lebih cemburu bila para hambaNya memberi perhatian kepada urusan duniawi lebih dari urusan mencari redaNya. Ini kerana Allah telah menetapkan objektif Dia mencipta kita melalui surah al-Zaariyaat, ayat 56,
�Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk menyembahKu�
Allah akan sentiasa menguji kita sehingga kita benar-benar bertaubat. Allah tidak mencipta kita kecuali untuk menjadi hambaNya.
Mai,
Berhubung persoalan Mai, apakah jalan terbaik untuk berhadapan situasi suami yang ingin berkahwin lagi. Sementelah pula suami sudah terlanjur berzina dengan bekas teman wanitanya.
Untuk pengetahuan Mai, menurut peruntukan hudud, seseorang yang telah dan pernah berkahwin apabila sabit melakukan zina, maka pesalah harus direjam sampai mati. Dalam kes ini, suami Mai sendiri mengaku dia telah berzina. Pengakuan yang kita sebut ikrar dalam prinsip pembuktian Islam adalah salah satu kaedah yang diterima pakai untuk mensabitkan kesalahan. Justeru itu, nyawa suami Mai dalam konteks ini sudah menjadi halal untuk dibunuh dengan cara direjam dengan batu.
Hukuman rejaman dengan batu sehingga mati ini tidak didatangkan melalui nas al-Quran. Sebaliknya datang melalui sunnah Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w berkata,
� Tidak halal darah seseorang muslim kecuali dengan salah satu 3 perkara: Kufur setelah beriman (yakni murtad), berzina setelah berkahwin dan membunuh seseorang bukan kerana balas bunuh�.
Rasulullah s.a.w telah melaksanakan hukuman bunuh kepada penzina yang sudah berkahwin dengan merejam menggunakan batu sampai mati. Amalan ini terus ditunaikan oleh para sahabat selepasnya.
Jika kita menurut tentang konsep kehakiman Islam di atas, pada pandangan akak, adalah lebih baik Mai membuat tuntutan fasakh sahaja di Mahkamah Syariah. Ia bukan lagi menyentuh isu mengizinkan suami kahwin lagi atau tidak. Itulah jalan yang ada dalam keadaan Negara tidak melaksanakan hukum hudud. Perlu difahami juga, menjadi tanggungjawab pemerintah atau pihak berkuasa melaksanakan hukum hudud. Individu tidak boleh mengambil tanggungjawab tersebut.
Pandangan di atas adalah berdasarkan zahir maklumat dan persoalan yang dikemukakan. Selain daripada pandangan di atas, di sana ada beberapa perkara lagi yang harus difikirkan yakni,
1) Adakah suami Mai benar-benar terlanjur dengan bekas kekasihnya itu atau ia hanya satu helah untuk mendapat restu mudah bagi berkahwin lagi?
2) Mai juga harus mengoreksi diri adakah Mai pernah mengabaikan hak suami untuk melakukan hubungan intim. Sekiranya ada, anggaplah ujian ini sebagai penghapus dosa tersebut. Namun demikian, bagi pihak suami, ia bukan alasan untuk berzina dengan orang lain. Masih ada ikhtiar selain berzina yakni memberi didikan pada Mai menurut landasan Islam, berpuasa dan berkahwin dulu dengan calon yang sesuai.
3) Mai juga harus muhasabah diri adakah Mai pernah melayani lelaki selain suami sama ada layanan dalam pergaulan biasa atau lebih dari itu. Jika pernah, maka apa yang Mai lalui sekarang adalah satu teguran dari Allah agar Mai memperbaiki diri untuk berakhlak dengan akhlak muslimah sejati. Jika Mai bukan begitu, maka lebih baik Mai solat hajat dan solat istikharah untuk membuat keputusan. Jika Mai mendapat petunjuk fasakh itu sebagai jalan keluar, bertawakkallah kepada Allah bahawa Allah akan memberi kehidupan yang lebih harmoni seperti menggantikan pasangan yang lebih baik buat Mai dan anak-anak.
Mai yang dikasihi,
Akak berpandangan Mai perlu mengambil keputusan tegas dalam hal ini. Ia melibatkan hukum Allah dan masa depan pendidikan anak-anak. Mai hanya boleh berlembut sekiranya suami Mai bertaubat dengan taubat nasuha serta memperbaiki amalannya dengan sungguh-sungguh. Itu pun Mai masih berhadapan dengan risiko seperti mendapat penyakit kelamin dan kesan pada hubungan intim yang akan dilakukan bersama suami kelak.
Dalam kes penyakit kelamin, Mai perlu minta dari suami agar melakukan pemeriksaan kesihatan. Jika suami masih sihat, bolehlah Mai bertolak ansur dan memberi dorongan agar suami bertaubat dan berubah. Jika sebaliknya dan Mai pula belum dijangkiti sebarang jangkitan, maka menurut pandangan Islam, kita sepatutnya tidak membiarkan diri terjun ke lembah yang memusnahkan diri kita.
Kaedah Islam menyatakan,
�Tidak boleh memudaratkan (orang lain) dan tidak boleh dimudaratkan (oleh orang lain).�
Mai,
Jika Mai mahu menyintai Allah dan dicintai Allah, lakukan sesuatu keranaNya semata. Mai harus berani dan yakin pada janji-janji Allah.
Indahnya hidup kita bila kita mengabdikan diri sepenuhnya di bawah kekuasaan Allah.
Taat dan patuh kita pada manusia patuh bersyarat dan bukannya patuh mutlak. Apabila manusia berani mencabar hukum Allah, maka berpalinglah dari mereka dan hadapkan wajah untuk Allah semata.
Inilah akidah kita dan inilah janji kita sejak sebelum kita dilahirkan oleh kedua ibubapa kita.
Allah berpesan kepada kita melalui ayat 28 surah al-Kahf,
�Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.�
Mai,
Akak mohon maaf jika jawapan di atas kurang memuaskan hati Mai. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Allah tidak membebankan seseorang kecuali menurut tahap kemampuannya.
Teruskan bersabar Mai dan mintalah pertolongan dari Allah. Akak nasihatkan Mai merujuk juga masalah ini ke pejabat syariah berdekatan. Apa yang penting ialah kita mahu penyelesaian yang diredai Allah. Apabila Allah reda, hati akan tenang meskipun pahit menghadapi kenyataan.
Mai,
Jika terdapat lagi kemusykilan, bolehlah bertanya lagi.
Apa yang baik itu dari Allah, dan apa yang kurang dari kelemahan akak sendiri.
Sekian, wassalam.
Yang benar,
Ummu Abbas