'Datuk Terlajak Laris' Luah Rasa Kecewa Dan Bimbang
Pengasas D'Herbs Healthy Sdn. Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman melahirkan kebimbangan dengan keadaan ekonomi yang kian menghimpit dari sehari ke sehari.
Kata Aliff yang dikenali dengan panggilan 'Datuk Terlajak Laris', peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan semua perniagaan mengalami penurunan dari segi jualan.
Aliff yang meluahkan rasa menerusi Facebooknya turut mengakui perniagaannya dalam bidang kecantikan dan kosmetik turut terjejas akibat kenaikan kos sara hidup rakyat.
Lantaran itu, syarikatnya terpaksa berhijrah ke Thailand bagi meneruskan kelangsungan perniagaannya.
�?Betapa takutnya saya dengan ekonomi negara sekarang. Kos sara hidup melambung tinggi dan bisnes semakin menurun.
�Ini menyebabkan syarikat saya terpaksa berhijrah ke Thailand dan paling mengecewakan nilai mata wang Thailand jauh lebih tinggi dan gaji mereka jauh lebih tinggi,� katanya.
Disebabkan itu katanya, agak sukar untuk melihat warganegara Thailand datang bekerja di negara ini berbanding empat tahun lepas.
Menceritakan momen lawatannya ke Australia yang dibuat atas tujuan perniagaan, Aliff berkata, ramai anak Melayu dipandang hina orang masyarakat Australia dek kerana lambakan pekerja Malaysia di sana.
�Orang Malaysia bekerja sebagai buruh kasar yang tidak diiktiraf seperti tukang sapu, pemetik buah dan banyak lagi sehinggakan bila saya memaklumkan saya dari Malaysia, mereka memanggil saya dengan sinis dengan mengatakan saya hanya pekerja ladang.
�Malah sekarang ini ramai pekerja yg terpaksa berniaga kecil-kecilan, sekali gus wujud lebih ramai peniaga kecil dari pembeli. Kalau lebih ramai peniaga dari pembeli, macam mana nak berniaga dan siapa pula yang akan membeli?,� soalnya.