Terpaksa 'Curi Duit' Suami Untuk Beli Rantai Emas RM7,000
Saya berkahwin ketika usia masih muda, 16 tahun. Kini saya berusia 28 tahun dan perkahwinan saya sudah 12 tahun lamanya. Alhamdulillah suami baik.
Tiga tahun yang lalu, saya ada mengatakan yang saya mahu suami hadiahkan saya rantai emas yang berharga RM7,000. Tetapi malangnya, suami buat tak tahu saja dengan permintaan saya itu. Membuatkan saya rasa geram pun ada.
Selepas itu, saya merancang untuk membeli rantai emas RM7,000 itu sendiri. Tetapi masalahnya, saya tiada pekerjaan.
Bila suami beri duit belanja, selepas saya bayar bil, beli barang keperluan rumah semua, ada baki RM100-RM200, saya curi-curi simpan. Saya juga memelihara ayam dan tanam sayur-sayuran, membolehkan saya berjimat.
Tiga tahun saya kumpul duit, akhirnya dapat juga membeli rantai emas tanpa pengetahuan suami. Selepas itu, saya tunjukkan pada suami yang saya dah beli emas berharga RM6,000,
"Mana awak dapat duit beli emas?!" terkejut si suami.
"Duit itu saya curi,"
Sempatlah suami marah sebab saya mencuri.
"Awak curi duit siapa?!"
"Saya curi duit suami sendiri," kemudian saya ceritakanlah dari A sampai Z. Mujur suami tak marah. Hahaha!
Di sebalik 'kejayaan' saya itu, ada lagi perkara yang mengembirakan. Rupa-rupanya suami saya sudah belikan rantai emas yang berharga RM7,000 itu!
Kasihan sangat, rupa-rupanya suami buat kerja overtime semata-mata mahu belikan rantai emas itu untuk saya. Ya Allah, terharunya saya. Dia beli awal tetapi nak hadiahkan kepada saya bulan November nanti, bersempena harijadi saya.
Tetapi katanya, malas dah nak simpan-simpan sebab saya pun dah beli rantai juga. Ya Allah, baiknya suami.
Oleh kerana dah ada dua rantai emas, yang saya belikan itu saya beri pada anak perempuan kami. -KRT