VIDEO Dua Doktor Bertengkar Ketika Lakukan Pembedahan Caesar Bayi Pertama Yang Ditunggu Pesakit, Akhirnya Meninggal Dunia
Satu rakaman video yang memaparkan dua orang doktor sedang melakukan pembedahan bagi mengeluarkan seorang bayi dari rahim ibunya yang kelihatan seperti berperang mulut sehingga menyebabkan kematian bayi tersebut jadi tular di media sosial.
Menurut laporan Mirror, dalam kejadian yang berlaku pada 30 Ogos itu, doktor Ashok Nainwal dan doktor Tak dikatakan saling bertengkar selama lebih kurang 30 minit di ruangan bilik bedah di Hospital Umaid, Jodphur, Rajasthan, India Barat.
Walaupun keduanya menyedari mereka sedang menjalani tanggungjawab untuk menyambut kelahiran bayi pertama seorang ibu muda yang bernama Anita Singh itu, mereka kelihatan seperti tidak mempedulikannya malah terus bertengkar.
Difahamkan, punca pertengkaran itu dikatakan dimulakan dengan pertanyaan doktor Naiwal berkaitan dengan pesakitnya itu sama ada pesakit terbabit sudah makan atau pun tidak sebelum melakukan pembedahan caesar tersebut.
Kemudiannya, doktor Tak dikatakan telah meminta seorang doktor muda supaya memberikan ubat bius kepada pesakit tersebut sebelum menjalankan pembedahan caesar. Tetapi tindakan tersebut tidak dipersetujui oleh doktor Nainwal sehingga berlakunya pertengkaran antara mereka selama pembedahan itu dilakukan.
Pertengkaran antara mereka berdua dikatakan telah berlanjutan selama lebih kurang 30 minit dan doktor-doktor lain juga turut dilihat cuba untuk meleraikan pergaduhan diantara kedua-dua doktor berkenaan sambil mengingatkan bahawa mereka sedang membuat pembedahan yang membabitkan jantung janin yang lemah.
Walau bagaimanapun, cubaan rakan doktor yang lain didapati gagal dan mereka terus bertengkar tanpa mempedulikan nasihat daripada doktor yang lain sehingga menyebabkan bayi pertama ibu muda berkenaan meninggal dunia selepas beberapa saat ianya dilahirkan.
Rakaman video tersebut turut menarik perhatian netizen di seluruh dunia dengan rata-rata diantara mereka amat mengecam tindakan doktor-doktor tersebut yang disifatkan sebagai tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan betul.
Sehingga kini kes tersebut sedang disiasat oleh pihak polis dan kedua-dua doktor berkenaan dipercayai diberhentikan dengan serta merta. - www.koleksiviral.com