Lelaki kena berhenti merokok sebelum kahwin, ini 6 sebabnya
Isu rokok memang agak sensitif bagi sesetengah lelaki. Ada yang terjebak dengan gejala merokok ini sejak awal usia sekolah lagi. Lama-kelamaan, ia menjadi tabiat yang amat sukar dikikis.
Sungguhpun begitu, ada terlalu banyak sebab untuk seseorang berhenti merokok. Ia mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan. Bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga juga, ia sepatutnya menjadi motivasi bagi membuang tabiat ini sebelum diijabkabul. Ini antara sebabnya.
6 SEBAB KENAPA LELAKI KENA BERHENTI MEROKOK SEBELUM KAHWIN. PENTING!
1. ELAK PEMBAZIRAN
Merokok adalah pembaziran yang nyata sekali merugikan. Kalau nak kahwin, memang banyak duit nak pakai, apatah lagi selepas berumahtangga nanti.
Bayangkan, dengan harga RM17 sekotak, berapa banyak wang yang telah anda bazirkan untuk tujuan tersebut. Kalau sehari sekotak, sebulan dah berapa? RM17 x 30 = RM 510. Banyak tu! Buat bayar ansuran kereta atau rumah pun lepas kot?
2. KESIHATAN DIRI BUAT JANGKA MASA PANJANG
Mungkin sekarang anda nampak lelaki yang merokok sebagai macho, trendy, dan cool. Malah, tak kurang juga yang mengambil remeh dan mempertikaikan bahawa mereka tetap sihat walaupun merokok.
Sebenarnya semua kes yang merbahaya bermula dengan tanggapan begini juga. Mulanya hanya cuba-cuba, lama-lama ketagih dan akhirnya menjadi perokok tegar. Kalau tunggu dah berusia baru nak fikir untuk berhenti, memang susah. Dalam kepala otak mereka, mungkin juga mustahil.
Kalau nak disenaraikan penyakit yang boleh menyerang disebabkan rokok, dah sah-sah panjang berjela. Apa sangatlah kepentingan �melepaskan stres� jika dibandingkan dengan risiko penyakit merbahaya yang sukar diubati di kemudian hari.
3. KESIHATAN ISTERI
Jika seorang perokok berkeras mengatakan rokok tidak menjejaskan kesihatan dirinya, mungkin mereka kini perlu berfikir lebih jauh apabila ingin berumah tangga. Sebabnya, bila dah tinggal serumah, mustahil asap rokok akan dapat dijauhkan 100% daripada pasangan anda. Mahu atau tidak, mereka yang tidur sekatil inilah yang menjadi pendamping asap rokok anda yang paling utama.
Menurut portal MyHealth, antara masalah yang berkemungkinan dihadapi oleh isteri perokok ialah:
Melahirkan bayi yang kurang berat badan atau kandungan tidak cukup bulan, sekiranya hamil.
Lebih terdedah kepada ancaman menghidap pelbagai jenis kanser.
Menghadapi masalah kesuburan dan putus haid lebih awal.
4. MENGGANGGU PERSEDIAAN UNTUK HAMIL
Selepas berumah tangga, salah satu yang diimpikan oleh setiap pasangan tentunya cahaya mata, bukan? Namun, tahukah anda bahawa suami yang merokok mampu menjejaskan peluang si isteri untuk hamil.
Banyak kajian telah membuktikan bahawa pendedahan kepada asap rokok yang kerap mampu menjejaskan kesihatan dan kesuburan wanita, sekaligus menjadi salah satu punca wanita susah hamil.
Bagi lelaki yang merokok pula, masalah ketidaksuburan lebih cenderung berlaku kerana mereka ini memiliki bilangan sperma yang kurang, kelajuan yang rendah, dan berisiko terhadap abnormaliti / kecacatan.
5. KESIHATAN FIZIKAL & MENTAL ANAK
Ramai lelaki perokok ini tidak menyedari bahawa apabila mereka menyalakan sebatang rokok di depan isteri dan anak-anak, mereka hanya menyedut 25% daripada asap tembakau yang dihisap (kerana puntung rokok mempunyai penapis), MANAKALA ahli keluarga yang berada berdekatan dengan mereka (perokok pasif) menyedut sebanyak 75% kandungan racun daripada asap tersebut.
Secara tidak langsung, anda sebenarnya mementingkan diri dan menyumbang toksin yang lebih banyak terhadap keluarga kerana asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi:
- 2 kali ganda kandungan nikotin
- 3 kali ganda kandungan tar
- 5 kali ganda kandungan karbon monoksida
- 50 kali ganda kandungan bahan kimia merbahaya
Mungkin ada yang menganggap � tak apa, sebab saya tak merokok di depan isteri dan anak-anak. Tapi hakikatnya semua racun dan toksin daripada rokok serta partikel-partikel halus ini masih melekat pada kulit serta pakaian anda hingga berjam-jam lamanya.
Ketidakselesaan keadaan yang sesak dengan asap rokok di rumah bukan saja mengganggu kesihatan anak-anak, tetapi turut menjadi punca masalah untuk belajar.
Dalam beberapa penelitian lain, pakar turut mendapati ia boleh menjejaskan IQ anak serta menjadi punca hiperaktif (ADHD) dan kemurungan.
6. TABIAT YANG MENJADI TURUN-TEMURUN
Sebagai bapa, pastinya anda perlu menjadi contoh terbaik buat anak-anak. Jangan anggap ianya lambat lagi, anak masih kecil dan tak faham apa-apa. Sebenarnya, anda boleh menjadi punca ketagihan rokok anak-anak dalam usia muda.
Kajian mendapati bahawa risiko menjadi perokok meningkat sebanyak 1 setengah kali ganda apabila mereka terbiasa dengan budaya merokok di rumah. Tanya diri sendiri, sampai bila kita mahu melahirkan generasi perokok?
MULAKAN SEKARANG!
Sebetulnya, tak perlu tunggu nak kahwin pun untuk berhenti merokok. Cuma, lelaki yang bakal berumahtangga kena lebih prihatin terhadap hal ini. Jangan libatkan bakal isteri dan anak-anak anda dengan pelbagai masalah kesihatan akibat asap rokok anda.
Bagi wanita pula, jangan pandang ringan jika bakal suami anda merupakan salah seorang perokok tegar. Gesalah pasangan anda untuk berhenti merokok demi kesihatan anda bersama.
Dengan pelbagai inovasi ubat-ubatan dan support group yang disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia serta badan-badan swasta lain, tidak mustahil seseorang mampu berhenti merokok. Bagi yang baru nak berjinak-jinak, lupakan sajalah hasrat anda kerana ia sama sekali tidak menguntungkan. Katakan TAK NAK mulai sekarang!