Sambal Ikan Bilis Sedap Resepi Nasi Lemak Layan

Sambal Ikan Bilis Sedap Resepi Nasi Lemak Layan

Resepi Sambal Nasi Lemak Layan ini telah lama saya sediakan. Saya ada kongsikan video di Azie Kitchen youtube channel. Ramai yang komen menegur saya menggunakan terlalu banyak minyak. 

Bukan saya tidak boleh menerima teguran tetapi kalau seorang meninggalkan beberapa komen berbalas balas seolah sangat tidak berpuashati dengan apa yang saya telah lakukan, jadi jawapan saya mudah sahaja. Jika tak suka, tak perlulah tengok. Saya juga menpunyai hati dan perasaan, bila ditulis seolah saya sangat jahil tentang kesihatan dsb. Bukan bermakna saya hanya suka dipuji. Allah yang lebih Mengetahui yang saya juga tidak suka dipuji kerana kuatir akan menyebabkan niat asal saya tersasar. 

Zaman sekarang semua orang boleh menegur kerana semua orang boleh menaip. Tapi berpada pada lah juga jangan sampai teguran kita menyinggung perasaan orang lain. Resepi sambal nasi lemak ini saya pelajari dari Lisa tuan punya Nasi Lemak Layan yang memang terkenal. 

Bila Lisa memberitahu sambal nasi lemak dia sangat kebabom, ada juga yang mengecam dengan menulis Lisa sangat meninggikan diri. Kalau Lisa tidak memberitahu begitu, mungkin saya pun tidak berminat untuk mencuba resepi sambal nasi lemak Lisa ini. Cubalah sentiasa berprasangka baik pada orang lain. Itukan akhlak yang sepatutnya...

Saya bukan seorang Chef, sebaliknya hanya seorang blogger yang menpunyai minat mengumpul resepi dan mencuba resepi resepi. Itu pun sebagai wanita berkerjaya, saya tidak selalu berkesempatan untuk memasak. Jadi ada ketikanya terutama bila saya mencuba resepi orang lain, masakan saya tidak berapa menjadi. 

Memang tidak dinafikan untuk resepi sambal kali ini, saya mungkin telah menggunakan terlebih minyak. Memasak sambal mesti menggunakan minyak yang banyak agar sambal betul betul masak. Tetapi selepas ianya masak, minyak hendaklah diceduk keluar. Mungkin sebab mahu cepat, saya tidak menceduk minyak keluar. Lagi pulak, inilah kali pertama saya memasak sambal nasi lemak dalam jumlah yang banyak. Hampir setengah periuk hasilnya.  

Saya cuba mengikut sukatan bahan bahan dan step by step yang Lisa buat supaya hasilnya menjadi seperti nasi lemak layan. Saya mengikuti facebook live yang dibuat oleh Lisa secara berulang ulang sambil menulis sukatan bahannya. Hahaha Lisa menyebut nama saya dalam live tu. Terima kasih Lisa. 

Saya hanya membuat separuh dari sukatan bahan yang Lisa share. Maknanya sambal yang saya sediakan ini, boleh dijadikan hidangan untuk 25-30 orang. Saya saja buat lebih untuk disimpan dan boleh dijadikan lauk anak anak yang kebetulan ketika itu, semua ada di rumah.

Lisa sekarang dah tidak lagi berniaga nasi lemak. Sebaliknya menceburi perniagaan online. Jadi sama sama support Lisa dengan like page facebook beliau iaitu Queen of Mutiara Malaysia. Sama sama lah kita menyokong beliau.  

Walaupun saya menpunyai resepi yang biasa saya guna bila memasak sambal ikan bilis namun bila terlihat ada resepi yang dikatakan sedap, saya pasti ingin mencuba. Saya memang banyak mencuba dan mempelajari teknik penyediaan sambal nasi lemak. Sambal yang sedap mesti menpunyai bawang yang lebih dari cili, di samping itu mesti mempunyai rasa manis lebih dari rasa masam dan masin. 

Pemilihan cili kering juga penting untuk menghasilkan sambal yang merah cantik. Pilih cili kering yang elok, yang merah berkilat seperti gambar di bawah ini. Bukan yang merah besar dan bukan yang kerinting. Bahagian yang berwarna kuning atau yang rosak, perlu dibuang. 


Sambal Ikan Bilis Sedap Resepi Nasi Lemak Layan

Selain itu, untuk menambah rasa lemak pada masakan, ialah menggunakan gula Melaka atau pun gula perang. Bukan sahaja rasanya yang berbeza, rupa dan hasil nasi lemak juga berbeza. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini berdasarkan sukatan bahan yang dikongsikan oleh Lisa. Insya Allah jika menpunyai masa saya akan mencuba dan berkongsi resepi nasi lemak dan sambal nasi lemak Manggis pula....


Sambal Ikan Bilis Sedap Resepi Nasi Lemak Layan

Sambal Nasi Lemak 

Bahan bahan:
250 gram ikan bilis
1 kg minyak masak - guna separuh dan ditambah sedikit sedikit
160 gram cili kering - rebus dan kisar
1-2 keping gula Melaka 
Gula secukupnya 
Garam 
2 keping asam keping - atau secukup rasa
1 kiub pati ikan bilis 
Sedikit aji no moto - jika suka
2 helai daun pandan
2 biji bawang besar Holland - hiris

Bahan kisar:
1 kg bawang merah
100 gram/15 ulas bawang putih - opsyenal

Cara cara:
Panaskan minyak yang agak banyak sesuai dengan bahan yang hendak ditumis. Tips: mesti tumis sampai bawang yang dikisar hingga betul betul masak. Bila bawang masak, ia akan memberi bau wangi. Masukkan ikan bilis sekali dengan bawang supaya ianya perisa dan sebati. 

Boleh masukkan asam keping ketika ini, supaya rasanya lebih sebati dan lagi power. Masukkan daun pandan. 


Sambal Ikan Bilis Sedap Resepi Nasi Lemak Layan

Masukkan cili kisar. Jika tidak cukup minyak, boleh tambah. Jika minyak cukup, sambal akan menggelegak. Biarkan sambal menggelegak sambil dikacau. Cili tak perlu dimasak lama sangat. 

Masukkan gula Melaka. Kacau lagi hingga ianya benar benar masak.  

Masukkan kiub ikan bilis dan garam. Kacau lagi. 


Sambal Ikan Bilis Sedap Resepi Nasi Lemak Layan

Masukkan bawang besar Holland yang dihiris dan serbuk perasa. 


Sambal Ikan Bilis Sedap Resepi Nasi Lemak Layan

Bila kuah telah pekat, boleh tambahkan sedikit air. Masukkan sedikit gula pasir dan sesuaikan rasa. Tambahkan apa apa rasa yang kurang. 


Sambal Ikan Bilis Sedap Resepi Nasi Lemak Layan

Nota:
Sambal dimasak semalaman lebih awal, lagi sedap. 

Selepas diangkat, bolehlah disendukkan keluar minyak yang berlebihan dalam sambal.




Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel