Kacang Panjang Goreng Dengan Telur

Kacang Panjang Goreng Dengan Telur

Bila bersendirian, saya sering terkenang kampung halaman di mana saya membesar sehingga usia remaja. Selepas menamatkan persekolahan, kami sekeluarga berpindah ke tempat di mana kami tinggal sekarang. Kami terpaksa berpindah selepas kerajaan mengambil semula tanah untuk dijadikan tapak universiti. 

Di situlah tempat saya membesar dan tempat yang penuh dengan kenangan di zaman kanak kanak. Di situ tempat saya bermain lumpur dan menangkap ikan dan belalang tat kala ibubapa bersawah, di situ juga tempat di mana pokok dan dusun buah buah keluarga kami. Di situ, tempat saya memanjat pokok rambutan sambil mengait buahnya sambil makan buahnya di atas pokok. 

Di situlah adanya sungai yang dalam dan arusnya deras, tempat kami menangkap udang galah sebagai sumber rezeki. Di situlah tempat saya bermain dan bermandi air hujan di cucuran atap. Di situ juga tempat kedua ibubapa saya disemadikan.  Semuanya di situ. 

Di situ juga saya belajar mengenali erti kecantikan. Dengan rambut panjang mengurai separas pinggang, saya mula mengenali cinta monyet yang membimbangkan kedua ibubapa. Arwah bapa menunjukkan pendirian tidak merestui kerana merasakan saya layak mendapat yang lebih baik.

Hari ini saya berada di satu dunia dan kehidupan yang bagai langit dengan bumi dengan kehidupan saya masa lalu. Hidup yang mungkin 23 jam di bawah air condition, jari jemari yang memegang pen dan key pad komputer di pejabat. Tinggal di bandar besar yang penuh dengan kesibukan. Hahaha sekali sekala layan citer lama, macam citer aku dan kenangan. 

Kacang Panjang Goreng Dengan Telur

Hari ini saya hanya ingin kongsikan resepi yang mudah dan selalu ulang ulang saya memasaknya. Bila saya kekeringan idea untuk memasak sayur, lauk inilah yang menjadi pilihan kerana ianya mudah dan kedua, kerana ianya menjadi kegemaran anak anak saya. Selain sedap, ianya juga mengandungi khasiat yang cukup dan seimbang. 

Jom layan bahan bahan dan cara cara menyediakannya di bawah ini. Selamat mencuba... 

Kacang Panjang Goreng Dengan Telur
Kacang Panjang Goreng dengan Telur
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ikat kacang panjang
1/2 batang karot
1-2 biji telur
1-2 sudu besar sos tiram
3 ulas bawang merah - hriis
2 ulas bawang putih - hiris
1 tangkai cili merah - hiris

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih yang dihiris sehingga wangi. 

Masukkan karot dan kacau agak agak separuh lembut, masukkan kacang.

Masukkan sos tiram dan kacau rata.

Ketepikan sayuran dan tuangkan telur. Biarkan telur agak mengeras sebelum dikacau bersama kacang tadi. 

Akhir sekali, masukkan cili merah dan bolehlah diangkat. Jika sos tiram belum masin, bolehlah letak sedikit garam. 



Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel