Contoh Karangan Bahasa Melayu SPM Kertas 1 Bahagian B - Peranan Ibu Bapa Menggalakkan Aktiviti Kokurikulum
- Kini ibu bapa terlalu mementingkan pencapaian akademik anak-anak mereka. Oleh hal yang demikian, mereka tidak memberikan galakan kepadaanak-anak dalam aktiviti kokurikulum terutamanya sukan.
Huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.
Contoh rangka jawapan
- Contoh jawapan.
- Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. Walau bagaimanapun, ada sehelintir ibu bapa yang tidak memberi galakkan kepada anak-anak dalam aktiviti kokurikulum dan hanya menumpukan sepenuh perhatian dalam pencapaian akademik sahaja.Anggapan sebegini adalah salah kerana aktiviti kokurikulum banyak memberikan impak positif kepada pelajar untuk cemerlang dibidang akademik dan kokurikulum. Sekiranya ibu bapa memberikan galakkan adn sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan sukan di negara ini lebih mudah tercapai seperti kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dengan cara itu, negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayan atlet di bidang sukan.
Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakkan seperti membelikan peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memilih peralatan sukan yang lengkap an sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Contohnya, ibu bapa perlulah membelikan baju, kasut, peralatan sukan seperti raket atau kayu hoki dan sebagainya yang diperlukan oleh anak mereka. Janganlah disediakan dengan peralatan yang ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk di tangga. Dengan hal demikian, minat anak-anak dalam bidang sukan dapat dikembangkan seterusnya mereka akan berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestai serta melakar kemenangan yang boleh mengharumkan nama ibu bapa, sekolah, negeri dan juga negara.
Ibu bapa juga berperanan untuk menasehati anak-anak supaya mereka bergiat cergas dalam kegiatan sukan boleh membentuk anak-anak yang sihat dan cergas. Di samping itu, anak-anak yang mempunyai bakat yang besar dan mempunyai potensi untuk maju bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara dipersada dunia. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah kalau kita hendak menjadikan anak-anak kita berjaya di bidang sukan, galakkan mereka untuk menceburinya dari sejak kecil lagi.
Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam sukan. Mereka juga boleh menemani dan menyaksikan sendiri anak-anak mereka berlatih atau bertanding. Dengan adanya dorongan dan sokongandari ibu bapa sudah tentulah akan mendatangkan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak mereka dalam usaha untuk mencipta kejayaan.
Belikan juga anak-anak majalah sukan, atau video yang berkaitan dengan sukan yang diceburi supaya anak-anak boleh meningkatkan lagi pengetahuan dalam sukan yang diceburinya. Selain itu, kisah-kisah kejayaan ahli-ahli sukan idola mereka yang dipaparkan di majalah-majalah boleh dijadikan pembakar semangat untuk mmereka berusaha dengan lebih gigih.
Sebagai kesimpulannya, peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan amat besar sekali. Hal ini demikian kerana, galakkan dan dorongan ibu bapa adalah perangsang utama untuk anak-anak berjaya dalam apa bidang sekalipun. Sehubungan itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran dan kefahaman kepentingan anak-anak mereka menceburi bidang sukan supaya negara dapat melahirkan lebih ramai lagi jaguh sukan di peringkat dunia. Tidak dinafikan kejayaan dibidang akademik amat penting, tetapi ianya harus diseimbangkan dengan kejayaan dibidang kokurikulum juga terutamanya sukan. Yang bulat tak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang, begitu juga dengan sukan, kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang keras dan paling penting galakkan dan dorongan ibu bapa.