Soalan Rumusan SPM November 2014
Soalan Rumusan SPM November 2014
Soalan 1: Rumusan
(30 markah)
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan kaunselor dan langkah-langkah untuk menggalakkan murid mendapatkan khidmat kaunselor. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Murid-murid pasti sudah biasa mendengar perkataan kaunselor, tetapi sejauh manakah pengetahuan mereka tentang fungsi kaunselor? Ramai murid yang masih kabur tentang fungsi sebenar kaunselor dan kriteria individu yang memerlukan khidmatnya. Sebagai orang yangh terlatih, kaunselor melaksanakan tugas berlandaskan pengetahuannya dalam bimbingan dan kaunseling yang mampu menangani sebahagian masalah di sekolah. Antara masalah yang dialami oleh murid ialah tekanan emosi. Dalam hal ini, fungsi kaunselor adalah untuk menolong murid mengenal pasti punca tekanan emosi tersebut, di samping memberikan bimbingan tentang cara menangani masalah yang dihadapi.
Walau bagaimanapun, kaunselor bukanlah berperanan untuk menyelesaikan masalah seperti tanggapan sesetengah pihak. Perkara ini perlu difahami oleh setiap murid yang mahu mendapatkan bantuan atau khidmat daripada kaunselor. Kaunselor sebenarnya berperanan untuk memandu murid memahami serta menerima keadaan diri sendiri supaya mereka dapat meningkatkan perlakuan yang baik dan mengurangkan perlakuan yang sebaliknya. Sehubungan dengan itu, murid tidak seharusnya menganggap bahawa mereka yang berjumpa dengan kaunselor merupakan individu yang bermasalah semata-mata. Tanggapan ini tdak benar sama sekali. Hakikatnya, apabila bertemu dengan kaunselor, murid akan dibantu memilih jurusan atau kejaya yang sesuai dan bukan memberikan tumpuan terhadap masalah tertentu sahaja.
Kaunselor juga dapat membantu murid mengesan dan mengembangkan bakat dan minatnya. Hal ini penting supaya segala tindakan yang bakal dilakukan oleh murid selaras dengan apa-apa yang diingini agar mereka berpeluang membuat perancangan masa depan untuk mencapai matlamat hidup. Pada masa yang sama, kaunselor bertanggunjawab untuk membimbing murid memanfaatkan peluang bagi penyempurnaan kendiri. Pelaksanaan pelbagai program bimbingan dan kaunseling seperti ceramah, kursus dan kem motivasi akan membolehkan kaunselor memahamkan murid tentang hubungan mereka dengan masyarakat sekitar. Dalam hal ini, mereka akan dapat menyesuaikan diri dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya dan jiran-jiran. Selain itu, kaunselor juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri murid melalui sesi kaunseling yang dijalankan. Penyemaian nilai-nilai murni ini akan meningkatkan mutu disiplin murid-murid di sekolah.
Sesungguhnya, usaha-usaha penambahbaikan perkhidmatan kaunseling wajar dilaksanakan agar khidmat yang diberikan oleh kaunselor mendapat kepercayaan murid. Sikap profesional kaunselor dalam melaksanakan tugas hendaklah menjadi keutamaan demi menaikkan imej perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.
(Dipetik dan diubah suai daripada �Memanfaatkan Khidmat Kaunselor� oleh Nadiah Naufal, Dewan Siswa, April 2012)
Soalan 2(i) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, Jawab soalan-soalan beriku dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata mendapat kepercayaan. [2 markah]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa tanggapan yang salah tentang khidmat kaunselor di sekolah.
Nyatakan tanggapan-tanggapan yang salah tersebut. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, selain mendapatkan khidmat kaunselor, apakah tindakan-tindakan yang wajar dilakukan oleh murid untuk menangani masalah yang dihadapi oleh mereka? [4 markah}