'Aku Sudah Mati Dan Melihat Neraka'

Pada tahun 1788, seorang ahli falsafah dan ahli psikologi terkenal Switzerland bernama Charles Bonnet, menceritakan tentang satu kes pelik yang melibatkan seorang wanita.

Cotard Syndrome
Gambar hiasan.

Menurut Bonnet, wanita itu kerana percaya, dirinya sudah mati, telah berbaring di dalam keranda dengan pakaian yang lazimnya dipakaikan kepada mayat.

Malah, wanita tersebut juga mendesak orang ramai supaya mengebumikannya dan enggan keluar dari keranda walaupun ahli keluarga dan jiran mendesaknya pulang ke rumah dan menjalani kehidupan seperti biasa kerana dia masih hidup.

Selepas beberapa minggu baring di dalam keranda, akhirnya wanita tersebut benar-benar mati, tetapi disebabkan tidak makan dan minum!

Seratus tahun kemudian, pada tahun 1880, seorang neurologis Perancis, Jules Cotard pula melaporkan tentang kelakuan pelik seorang pesakit wanita seperti yang pernah diceritakan oleh Bonnet.

Wanita itu menurut Jules, menafikan kewujudan tuhan dan syaitan. Dunia juga dikatakannya tidak wujud.

Itu tidak pelik lagi, tetapi yang menimbulkan tanda tanya ialah, wanita tersebut turut menafikan kewujudan sebahagian daripada anggota badannya.

Selain itu, wanita berkenaan menafikan perlunya dia makan dan minum.

Keadaan wanita itu bertambah teruk dan menyatakan bahawa dia akan menerima malapetaka sepanjang hayatnya.

Selain itu, dia tidak akan mati secara semulajadi, tetapi akibat sumpahan dan malapetaka yang dahsyat.

Beberapa lagi kes seperti ini ada dilaporkan berlaku dan yang paling diingati adalah yang berlaku pada tahun 1990.

Kes ini melibatkan seorang lelaki di Edinburg, England, yang mengatakan dirinya sudah mati.

Pada Januari 1990, selepas dibenarkan keluar dari hospital, keluarga lelaki berkenaan segera membawanya ke Afrika Selatan untuk mendapatkan rawatan.

Di Afrika Selatan, lelaki itu terus bertegas mengatakan dia sudah mati dan telah dimasukkan ke dalam neraka.

Yang peliknya, semasa berkata demikian, tubuh lelaki tersebut panas bagaikan di dalam api.

Menurut lelaki itu lagi, dia mati akibat penyakit septicaemia atau mungkin juga AIDS atau mungkin juga gara-gara suntikan demam kuning yang diterimanya dahulu!

Selepas mati, lelaki tersebut seterusnya mengatakan, 'roh ibunya telah membawanya berjalan-jalan melihat seluruh isi neraka'.

Banyak lagi sebenarnya kes seperti ini berlaku diseluruh dunia. Mereka mengaku, jiwa, roh dan nyawa mereka tiada lagi. Sudah ghaib meninggalkan jasad.

Ada yang mendakwa tubuh mereka hanyalah sekadar sebuah cengkerang saja atau mereka akan bertukar menjadi seketul batu!

Lebih menakutkan, ada yang mendakwa mereka dapat menghidu bau daging di tubuh mereka yang sedang mereput dan membusuk.

Cacing serta ulat sedang merayap di serata badan, kemudian memakan dan menggigit-gigit tubuh mereka.

Akibatnya, mereka mula melakukan keganasan. Ada yang membunuh diri akibat tidak tahan lagi menderita, serta bagi membuktikan yang mereka memang sudah benar-benar mati!

Yang lain pula merasakan, disebabkan sudah mati, tiada apa yang boleh mencederakan tubuh mereka.

Mereka juga boleh melakukan sesuatu tindakan ganas dan mencederakan diri sendiri kerana sudah mati.

Pelik. Apa sebenarnya yang berlaku kepada mereka ini? Gila? Dirasuk makhluk asing? Atau dikuasai semangat ghaib?

Dalam bidang perubatan jiwa, mereka ini dikatakan menghidap Sindrom Cotard, iaitu sempena nama Jules Cotard, individu pertama yang mula-mula mengetengahkan kes-kes sebegini dan mengkategorikannya secara lebih jelas berdasarkan kajian saintifik.

Sindrom Cotard adalah suatu sindrom yang pelik. Ia berkaitan dengan khayalan palsu penghidapnya yang mengkhayalkan sesuatu yang tidak berlaku, kemudian mereka mempercayainya.

Punca utamanya ialah tekanan perasaan dan selalunya berlaku di kalangan golongan usia pertengahan ke atas.

Sembila puluh peratus daripadanya adalah wanita dan yang peliknya, dari sudut fizikal, mereka sihat walafiat.

Sehinggalah sekarang, Sindrom Cotard masih sukar diubati kerana ia melibatkan jiwa dan mental penghidapnya.

BACA INI JUGA: Beginilah Gambaran Ngerinya Seksaan Di Neraka!

-SENTIASAPANAS.COM

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel