'Berdagang cara betul, itu yang TPP lakukan' - Kata Barack Obama

'Berdagang cara betul, itu yang TPP lakukan'


Semalam Presiden USA (Amerika Syarikat) telah tiba di Malaysia dan beliau telah berucap tentang isu TPP.

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik? (TPP) bukan sekadar perjanjian perdagangan kerana ia turut membawa manfaat-manfaat strategik dan geopolitik yang penting, kata Obama.

Bercakap pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Asean (ABIS) 2015, di sini hari ini, Obama berkata, TPP adalah satu kemenangan untuk semua negara yang menyertai dan beliau yakin ia akan mendapat kelulusan dan diteruskan.

Obama yang dalam lawatan kali kedua ke Malaysia, berkata TPP merupakan pelaburan jangka panjang dalam keselamatan bersama dan hak-hak asasi manusia sejagat.

Obama berkata, TPP akan membantu membina kepercayaan dan kerjasama lebih baik dalam kalangan negara peserta, merapatkan lagi hubungan AS dengan negara-negara sekutu terkuatnya di Asia, dan pada masa sama membolehkan perkongsian lebih kukuh dengan negara-negara yang peranannya semakin menyerlah dalam Asean seperti Malaysia dan Vietnam.

Ini komen Obama:

"Sebuah perjanjian perdagangan baharu seperti TPP ini memang agak sukar untuk diterima. Namun jawapannya adalah untuk tidak berhenti berdagang -- cuba membina halangan-halangan yang menutup negara individu daripada ekonomi global. Ini sudah tidak boleh dilakukan lagi.

"Jawapannya ialah berdagang dengan cara yang betul -- itulah yang dilakukan oleh TPP," 

"Saya mahu jelaskan di sini, perdagangan bukan penawar. Ia bukan ubat mujarab untuk pelbagai cabaran yang dihadapi oleh negara masing-masing. Namun berdasarkan pengalaman, kami tahu perdagangan yang dijalankan dengan kaedah yang betul akan membantu merangsang kemajuan dalam bidang-bidang lain," 

"Terdapat kaitan antara keselamatan ekonomi dan keselamatan negara, dan itulah yang amat penting bagi Asean.      

"TPP akan membantu meningkatkan integrasi ekonomi yang memastikan keamanan dan kestabilan rantau ini," 

Perjanjian itu juga membolehkan semua negara peserta menggubal undang-undang perdagangan di Asia Pasifik untuk dekad-dekad akan datang secara bersama-sama, katanya.

Obama berkata, TPP mengandungi piawaian ketelusan dan antirasuah paling ketat berbanding mana-mana perjanjian perdagangan yang wujud dalam sejarah.

Ia menuntut negara peserta memiliki undang-undang pencegahan rasuah termasuk menjadikan perbuatan merasuah pegawai awam satu jenayah serta menuntut negara terbabit menguatkuasakan undang-undang berkenaan, katanya.

"Ringkasnya TPP menggalakkan kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang lebih kukuh, berkesan dan bertanggungjawab," 

Mengakui TPP satu kemenangan bagi AS, Obama menegaskan perjanjian itu adalah perjanjian perdagangan berstandard tinggi pertama untuk mensaksamakan peluang perniagaan antara firma swasta dan syarikat milik kerajaan.

"Saya tidak akan menafikannya. Sebagai Presiden AS, tidak salah untuk saya memperjuangkan pasaran terbuka bagi syarikat dan pekerja Amerika," 

Sebarang pertelingkahan ekonomi harus diselesaikan secara aman menerusi dialog, bukan secara membuli atau memaksa, katanya.

Obama tiba di ibu negara semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan.

Terdahulu dalam ucapannya, Obama memuji Malaysia sebagai hos yang cemerlang selaku pengerusi Asean tahun ini.

Malaysia dan 11 lagi negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan TPP pada 5 Oktober 2015.

Kandungan TPP dan dua kajian impak akan dibentangkan di Parlimen pada Januari depan memandangkan ia memerlukan kelulusan Parlimen sebelum diratifikasikan dalam tempoh dua tahun selepas ditandatangani.

Sumber- Bernama

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel