Karangan PT3 - Peranan Remaja Dalam Menjaga Kemudahan Awam

Anda berhasrat untuk menulis suatu rencana berkaitan peranan remaja sebagai anggota masyarakat dalam menjaga kemudahan awam.Anda bercadang untuk menghantar rencana tersebut kepada sebuah syarikat akhbar untuk disiarkan.

Tulis rencana tersebut selengkapnya.

                  Tanggungjawab Remaja Untuk Menjaga Kemudahan Awam
                            Disediakan oleh: Sathya Gananaathaa

     Akhir-akhir ini,kes tentang kegiatan vandalisme semakin meningkat bagai cendawan tumbuh selepas hujan.Apakah itu vandalisme?Vandalisme didefinisikan sebagai perbuatan merosakkan harta benda awam.Masalah ini mendatangkan banyak kesan kepada masyarakat dan menjejaskan keharmonian dan keamanan negara kita.Apakah perasaan anda ketika ingin menggunakan sesuatu kemudahan awam tetapi kemudahan tersebut telah dirosakkan?Masalah ini turut mendapat perhatian media massa dan sering dibicarakan dalam bentuk perbahasan ataupun dalam penulisan.Persoalannya,apakah peranan remaja sebagai anggota masyarakat dalam menjaga kemudahan awam?

    Umumnya,remaja yang seringkali melakukan perbuatan merosakkan harta benda awam terutamanya golongan budaya lepak dan golongan yang menyertai kongsi gelap.Mereka mempunyai masa yang terlalu banyak sehingga melakukan perbuatan negatif ini.Mereka menjadikan harta benda awam sebagai mangsa vandalisme.Terdapat juga golongan yang terlibat dalam kegiatan ini ekoran daripada kesan pengambilan dadah atau pil ecstasy.Tindakan segelintir remaja yang merosakkan harta benda awam menyebabkan masyarakat memandang serong golongan remaja dan semua remaja yang disalahkan sebagaimana yang dinyatakan dalam pepatah �sebab nila setitik,rosak susu sebelanga�.

     Antara langkah yang dapat diambil oleh remaja untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mengelakkan diri daripada rakan yang merosakkan kemudahan awam.Seseorang boleh menasihati rakannya supaya menghentikan perbuatan tersebut.Jika nasihat tersebut kelihatan bagai mencurah garam ke dalam laut,seseorang remaja perlu  berhenti bergaul dengan rakan tersebut kerana bak kata peribahasa �nak tahu jahat orang tanyakan kepada seterusnya,nak tahukan baik orang tanyakan kepada sahabatnya�.Misalnya,seseorang yang berkawan dengan kawan yang melakukan perbuatan negatif akan juga turut disyaki seperti seekor kerbau membawa lumpur,semuanya terpalit.Jelaslah,remaja perlu mengelakkan diri daripada terlibat dalam kegiatan merosakkan kemudahan awam.

     Selain itu,remaja juga boleh melibatkan diri dalam Rukun Tetangga atau bersepakat dengan beberapa orang rakan untuk membuat rondaan dan pemantauan di sekitar tempat awam terutamanya taman permainan dan pondok telefon awam.Remaja boleh menasihati golongan yang terlibat dengan cara yang lemah lembut kerana �sembelih ayam dengan pisau,sembelih orang dengan kapas�.Misalnya,remaja boleh melaporkan tentang kegiatan merosakkan harta benda awam kepada pihak berkuasa jika mereka enggan mendengar nasihat.Dengan ini golongan yang terlibat akan dikenakan tindakan dan hukuman yang setimpal supaya mereka tidak mengulangi perbuatan yang sama.Lantaran itu,remaja perlu melibatkan diri dalam kegiatan rondaan agar dapat memberkas golongan vandalisme.

     Di samping itu,remaja juga berperanan dalam memastikan kemudahan awam di sekolah tidak menjadi mangsa vandalisme.Hal ini demikian,golongan yang merosakkan harta benda awam akan memulakan perbuatan mereka di sekolah.Sebagai contoh,pelajar sekolah akan menconteng meja dan dinding dan seterusnya merosakkan kemudahan awam seperti buku-buku pusat sumber,meja,kerusi dan buku teks pinjaman.Tindakan mereka itu akan menjejaskan keselamatan pelajar lain dan mencemarkan nama baik sekolah.Oleh itu,remaja harus melaporkan perbuatan merosakkan kemudahan awam kepada guru disiplin sebelum terlewat kerana mencegah lebih baik daripada mengubatinya.

     Kesimpulannya,remaja memainkan peranan yang signifikan dalam menjaga kemudahan awam.Remaja merupakan pelapis negara dan pemimpin negara pada masa hadapan.Remaja yang bertanggungjawab dan peka kepada sekeliling penting sebagai pemimpin negara pada masa akan datang.Kegiatan merosakkan kemudahan awam perlu diatasi secepat mungkin supaya masalah ini tidak mencapai tahap yang tidak terkawal kerana nasi sudah menjadi bubur.Selain remaja,pihak yang berkuasa dan masyarakat juga seharusnya berganding bahu dan menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini agar memajukan negara supaya negara kita dapat duduk sama rendah,berdiri sama tinggi dengan negara lain di mata dunia.
   

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel