Dulu Dr. Zakir Naik Dahulu Gagap, Kini Jadi Pendakwah Termasyhur
�Masa kecil saya mengalami masalah gagap teruk hingga sukar untuk menyebut nama sendiri. Saya selalu mengalami masalah zzz� zzzaaa� ketika cuba memperkenalkan diri,� kata Dr. Zakir Naik.
Masalah gagap yang kronik sangat mengganggu pertuturan Dr. Zakir. Namun komplikasi struktur lidah itu tidak menghalang cita-citanya untuk menjadi seperti mentor Ahmad Deedat.
Dr. Zakir berusaha keras mengatasi masalah pertuturannya, dan dalam apa juga keadaan hasrat untuk menjadi pendakwah tidak dibiarkan terpadam lapor Mynewshub.
�Akhirnya janji Allah itu benar. Kalau kita bantu agama Allah, pasti Allah akan membantu kita,� katanya ketika ditemui dalam kempen #IslamIsFirstClass TV Al Hijrah.
Setelah memulakan usaha dakwah melalui ceramah, lama kelamaan masalah gagap yang dialaminya hilang dengan sendiri.
Menyedari pentingnya bakat serta ketrampilan pendakwah diasuh pada usia kecil terutama dalam kontek pembinaan personaliti ketika menyampaikan syarahan, Dr. Zakir mengasaskan sekolah ceramah khas di Mumbai.
Matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai pendakwah melalui kaedah ceramah yang diasaskan Ahmad Deedat.
�Di sekolah ini kami mendidik pelajar seawal usia dua tahun untuk menguasai bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin,� jelasnya.
Kata Dr. Zakir: �Silibus kami diiktiraf Universiti Cambridge!�.
Selain penguasaan tiga bahasa utama dunia, pelajar turut diajar memahami Al Quran serta menguasai pelajaran sains dan matematik.
Pada usia empat tahun, para pelajar sudah didedahkan dengan ucapan awam bagi memastikan mereka menguasai skil dan teknik menampilkan diri ketika berceramah.
�Kajian membuktikan, 93 peratus kejayaan dalam menyampaikan ceramah terletak pada skil dan teknik. Hanya tujuh peratus terletak pada isi yang dibahaskan.�
Menyedari hakikat itulah, sekolah yang diasaskannya sangat menekankan pada strategi skil dan teknik.
Mengenai usaha melahirkan protege, Dr. Zakir mendedahkan mengenai 20 penceramah yang kini sedang dididik di sekolahnya.
Mereka menerima latihan antara 20 hingga 45 hari dengan kelas yang padat selama 16 jam sehari.
�Kini terdapat enam pelajar Malaysia, empat dari India serta dari Indonesia, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat,� jelasnya.
Selain sekolah debat, Dr. Zakir turut memiliki stesyen televisyen Peace TV.
Peace TV memiliki tiga saluran via satelit yang bersiaran 24 jam sehari dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Arab.
Peace TV beroperasi di Mumbai India dan boleh diakses di Eropah, Amerika Syarikat, Kanada, India, Pakistan dan China.
Di negara ini, Peace TV mengadakan pakatan strategik dengan TV Al Hijrah melalui penyiaran 84 episod program Tonight With Zakir Naik.