'Serabut Bini Mengandung, Kalau Boleh Aku Tak Nak Dia Mengandung!'
Saya ada seorang kawan, baru saja grad dan terus berkahwin dengan seorang perempuan yang juga rakan saya pada bulan Mei, sebaik saja dia mendapat pekerjaan. Baru-baru ini dia dapat tahu yang isteri dia mengandung, lalu dia datanglah mengadu nasib pada saya dan suami.
Bermacam-macam dia rungutkan, dari perihal keadaan rumah sewa (kondo) yang tidak selamat sehinggalah ke bab kos perbelanjaan dan tanggungan bayi yang bakal dilahirkan ini. Saya dan suami hanya mendengar, tak tahu nak cakap apa sebab kami juga baru berkahwin.
Tetapi cuma satu perkara saja saya nak cakap, jangan buat anak kalau masih belum ready!
Berkahwin itu perlu dalam Islam dan anak itu pula adalah rezeki. Allah beri rezeki pada mereka yang berkahwin, jangan pula kita menolak dan merungut sampai berbakul-bakul. Sedangkan saya dengan suami mengharapkan cahaya mata, dia pula asyik mengharap isterinya tidak mengandung.
Hampir sejam kami bertiga berbual. Saya dan suami cuba menenangkannya, minta dia istighfar banyak-banyak dan bersabar. Tuhan pasti membukakan jalan. Tetapi apa yang keluar dari mulutnya hanyalah,
"Serabutnya aku! Serabutnya!!"
Tak habis-habis dengan serabutnya, kami lagi serabut melihat perangainya itu. Allah beri rezeki, tetapi dia menidakkan rezeki itu. Jangan sampai Allah tarik semula rezeki itu dan tak akan diberi langsung rezeki itu kepada dia selepas ini.
SENGAJA BIARKAN DIRI DIKELILINGI HUTANG
Bagi saya, dia sudah tersilap langkah sejak dari awal lagi. Proses majlis perkahwinan sebelah pihak perempuan, dia yang keluarkan duit belanja. Yang di sebelah pihak sendiri juga ditanggung olehnya. Sedangkan Islam sudah mewajibkan sejak awal lagi bahawa perbelanjaan kahwin si anak perempuan itu perlu ditanggung oleh bapa si perempuan.
"Dah kenapa bendul sangat pergi menyusahkan diri, dibebankan dengan hutang untuk majlis kahwin kedua-dua pihak?"
Saya tak pergi ke kenduri kahwinnya di Johor tetapi pergi di sebelah pihak perempuan di Perak. Majlis perkahwinan mereka memang grand! Rasanya terbang juga RM20,000 untuk majlis si perempuan itu. Belum lagi majlis di sebelah pihak lelaki.
Akibatnya selepas kahwin, rumah mereka kosong dan tiada perabot. Selepas kahwin, separuh gaji kawan saya ini terbang ke pihak bank, buat bayar segala hutang piutang yang bukan sedikit jumlahnya.
Bila insan baru nak hadir, mereka tidak mempunyai persediaan yang mencukupi.
MENABUNG SEBELUM RANCANG PERKAHWINAN
Saya dan suami hanya mengambil masa beberapa bulan untuk berkawan, kemudian bila sentuh tentang bab kahwin, saya dah suami sudah mula sama-sama menabung dan menyimpan duit. Pendek kata, sebelum bertunang lagi kami sudah ada simpanan sikit demi sikit untuk masa depan kami.
Tabungan kami sampai melibatkan lima akaun bank masing-masing. CIMB, Bank Islam, RHB, Tabung Haji, bank mana kami tak simpan duit? You name it. Semua bank kami jadikan tabung simpanan.
Nak kahwin kan? Jadi kenalah pastikan masa depan terjamin. Buat persediaan untuk diri sendiri. Kita tidak tahu apa yang akan datang di depan mata kita. Jadi, simpanan itulah yang akan membantu kita nanti.
Saya mengenali suami dalam tempoh 2 tahun 3 bulan. Bertunang pula dalam tempoh setahun 4 bulan. Bermakna 1 tahun 10 bulan kami mengambil masa untuk menabung.
Selepas kahwin, kita mesti mahu menyewa rumah sendiri, mahu juga ada privasi dengan pasangan, kan? Jadi, deposit rumah nak cekau di mana? Barang-barang rumah seperti penyapu, tong sampah, sabun-sabun segala macam, barang makan sejuk beku, barang-barang pasar, mana nak prepare semua itu kalau duit tak ada? ITu tak sentuh lagi bab perabot seperti katil, tilam, tv segala bagai. Itulah gunanya menyimpan.
BERKAHWINLAH MENGIKUT KEMAMPUAN
Buatlah sekadar yang perlu sahaja. Ukur baju di badan sendiri. Jangan bila sudah tahu gaji diri itu tak tinggi mana, tetapi berangan nak pelamin Che Ta. Dah tahu kerja biasa-biasa, dok pasang cita-cita nak mengelilingi dunia mencari design kad kahwin dengan goodies.
Saya dan suami sedar diri, kerja kami tak semenggah mana. Gaji pun cukup-cukup lepas nak bernafas. Senang cerita, kami masih di tahap miskin bandar. Gaji masing-masing bawah RM3,000. Tetapi Alhamdulillah majlis kami buat seringkas yang boleh. Wang hantaran pun ayah saya kata berilah mengikut kemampuan menantu kesayangan dia itu. Sikit pun dia tak berkira. Majlis sebelah saya ditanggung oleh ayah sendiri.
Sebelum berkahwin, kami sudah mula membeli perabot di Ikea dan pasang ramai-ramai di rumah sewa baru dengan bantuan adik beradik sebab tak mampu nak mengupah kakitangan Ikea untuk pasangkan. Sebelum kahwin, kami withdraw dari satu akaun ke akaun yang lain. Contoh, akaun CIMB untuk deposit rumah, akaun Bank Islam untuk barang dapur. Begitulah ceritanya. Nak hidup sendiri kan, jadi perlulah bijak merancang.
Ramai yang mempersoalkan saya kenapa berani sangat menyimpan duit dalam akaun seseorang yang belum saj menjadi suami kita?
Jawapan saya mudah saja. Kalau kita tidak percaya pada dia, jangan merancang perkahwinan dengan dia. Lagipun, bukan saya saja yang masukkan duit dalam akaun simpanan suami, suami saya sendiri juga memasukkan simpanannya ke dalam akaun simpanan saya. Selepas itu, masing-masing menyimpan. Saya beri dia pegang kad bank saya dan begitu juga dia. Selesai.
Tiga daripada akaun bank adalah milik saya. Selebihnya encik suami yang punya. Sekarang, alhamdulillah hidup kami berdua tidaklah semewah mana seperti artis etapi setiap bulan cukuplah untuk kami berdua.
PERKAHWINAN BUKAN TRENDING
Sekarang memang ramai yang kahwin muda. Buka saja Facebook, berderet pasangan kahwin setiap minggu. Jangan kerana kitam elihat orang itu kahwin, si polan ini dah kahwin, kita pun turut ikut sama nak kahwin.
Duit tak ada tetapi sebab tengok kawan-kawan ramai yang sudah berkahwin, kita pun ikut gatal sama nak mendirikan masjid. Maka merangkaklah kita ke bank sana sini untuk membuat pinjaman peribadi semata-mata mahu berkahwin.
Pinjam RM10,000, RM20,000, RM30,000 tetapi semua untuk kahwin. Selepas kahwin pula macam mana? Ada tak terfikir?
Hakikatnya kita tidak bersedia dari segi mental fizikal, tidak bersedia memikul tanggungjawab, tidak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam alam rumahtangga. Akibatnya, belum apa-apa lagi kita tergelecek tersungkur.