'Sebelum Rampas Laki Orang, Fikirkan Dulu Nasib Anak-Anaknya'
Untuk perempuan yang bernama Syamsinar. Untuk apa kau datang dalam hidup kami? Mencari dan meminta untuk menjadi rakan di Facebook? Adakah kau ingin memohon maaf di atas segala kehancuran yang telah kau lakukan dahulu atau nak menunjuk betapa bahagianya kau hari ini?
Kaulah punca arwah ibu aku hidup merana dan menyara lapan orang anak yang ditinggalkan oleh arwah ayah aku sebab nak berkahwin dengan kau. Kau tak tahu apa yang terjadi pada nasib kami lapan beradik termasuk salah seorangnya down syndrome. Kerana kau, arwah ibu aku ditinggalkan bersama lapan orang anak dan hidup 'gantung tak bertali' seumur hidup. Kami hilang tempat bergantung bila kau merampas arwah ayah, yang juga pada ketika itu arwah ibu tidak bekerja.
1. Kami hilang kasih sayang seorang bapa. Ibu pula tak izinkan kami berjumpa dengan ayah kerana terlalu sakit hati dengan apa yang dia telah lakukan. Tetapi kami tetap pergi berjumpa dengannya tanpa pengetahuan ibu kerana terlalu rindukan kasih sayang ayah.
Sekarang, bila aku dah menjadi seorang isteri dan ibu, barulah aku faham bagaimana perasaan ibu pada ketika itu, sakit dan entah apa lagi di dalam hatinya.
2. Kami hidup kais pagi makan pagi. Susahnya kehidupan kami, terpaksa tolong arwah ibu bekerja mencari sesuap nasi bagi menanggung kami lapan beradik. Waktu itu adik bongsu baru pandai merangkak dan yang sulung baru berusia 15 tahun.
3. Kau rentap segala-galanya dari kami.
4. Ibu aku cari keluarga kau dan merayu agar jangan dirampas ayah dari kami. Malah aku sendiri yang bersekolah satu kelas dengan sepupu kau cuba untuk menghalang. Namun semuanya sia-sia sebab kau yang tak ada otak nak fikir akan kesannya bila kau rampas ayah.
5. Kau bangga dapat merampas kebahagiaan ornag lain tetapi kau tak fikir nasib anak-anaknya yang ditinggalkan tanpa nafkah. Kau memang tamak!
6. Di masa kau bersenang lenang dengan ayah, ada kau fikir anak yang lapan orang ini ada makanan atau tidak?
7. Ada kau fikir sekolah kami, pelajaran kami, kasih sayang dan perhatian yang kami perlukan sebab kami masih kecil? Kami yang masih mentah ini terpaksa bekerja membantu ibu, bantu ibu menjaga adik beradik yang masih kecil.
8. Kami tak merasa zaman kanak-kanak langsung disebabkan kau yang telah merampas ayah.
9 Hari raya, ada kau fikir tak yang kami ada pakaian baru? Tak perlu fikir tentang baju, orang lain makan sedap semasa hari raya, kami pula memang tak merasalah semua itu. Sedangkan kau pula sedang berseronok dengan ayah.
Mungkin disebabkan itulah ALlah merampas rahim kau. Erti kata lain, kau tak boleh beranak langsung. Kau tak sedar bahawa itu adalah kifarah akibat perbuatan kau menganiaya kami lapan beradik ini, walaupun kami tak pernah sumpah atau mendoakan yang tidak baik pada kau.
Selepas hilang peranakan, kau kehilangan ayah. Ayah ceraikan kau kerana perempuan lain. Itulah balasan perampas yang selepas itu juga dirampas. Rasalah bagaimana arwah ibu aku rasa.
Kehadiran kau membuatkan luka lama berdarah dan bernanah kembali. Semua menasihatkan aku untuk memaafkan kau dan sudah takdir jodoh kau dengan ayah. Aku takkan menyalahkan takdir, Allah beri akal untuk berfikir tetapi di mana otak kau pada masa itu? Kau sudah tahu ayah sudah berkahwin dan punyai lapan orang anak dan seorang down syndrome. Bila difikirkan semula, itu yang membuatkan aku geram, sakit hati dan benci melihat muka kau.
Orang lain memang pandai menasihatkan aku untuk memaafkan kau. Tetapi ada ke kau minta maaf dari aku untuk memaafkan kau?
Moralnya, kepada mana-mana perempuan yang gatal nak rampas suami orang, fikirkanlah dulu. Kau nak sakitkan hati isteri orang aku tak kisah sebab perempuan kalau dah janda, saham lebih tinggi. Tetapi tolong fikirkan nasib anak-anak yang ditinggalkan. Mereka adalah mangsa keadaan. Aku tahu bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi, tetapi elakkan selagi boleh.