'Saya Jaga Awak Bukan Sebab Harta, Semuanya Demi Kesembuhan Awak'
Hati siapa yang tidak terkilan bila mana ibu mertua sendiri melemparkan fitnah yang tidak berasas sehingga menyebabkan dia mengalami tekanan emosi. Lelaki yang disayangi dan dicintainya selama ini, tetap dijaga meskipun suaminya kini hanya terbaring kaku selepas terlibat dalam kemalangan.
Pelbagai usaha yang dilakukan oleh Eyra dan keluarganya untuk membantu memulihkan suaminya, Haidar. Sehinggalah suatu hari ibu mertuanya meminta Haidar di bawah ke rumahnya untuk dirawat oleh tukang urut. Namun siapa sangka, bermula dari situlah segala episod yang tidak diinginkan.
Assalamualaikum. Bukan niat untuk meluahkan perasaan di sini, tetapi izinkan saya memberi penjelasan. Saya tahu saya tidak perlu bercerita tetapi tahukah anda, semua fitnah dan tanggapan orang yang salah terhadap saya telah sedikit sebanyak menganggu emosi saya?
Memang benar saya tidak lagi menjaga suami saya yang sakit semenjak dua bulan yang lalu. Tak ada niat sebesar kuman pun di hati ini untuk mengabaikan tanggungjawab saya kepada suami, apatah lagi memisahkan anak saya dari ayahnya.
Saya telah dipujuk oleh ibu mertua untuk membawa suami ke rumahnya selama seminggu kerana mereka mahu memberi rawatan kepadannya. Kononnya nak panggil tukang urut berdekatan untuk mengubati suami. Genap seminggu, keluarganya menghalang saya mengambil suami saya pulang bersama dan mengatakan bahawa saya tiada hak ke atas Haidar kerana saya hanyalah seorang isteri. Yang lebih berhak, adalah ibunya. Malah, ibu mertua mengaku sudah berhenti kerja untuk menjaga Haidar sepenuh masa dan meminta semua duit gaji dan kereta Haidar.
Saya pasrah, cuba berbincang beberapa kali tetapi gagal. Saya tetap dihalang untuk membawa Haidar pulang. Saya tetap cuba melawat Haidar beberapa kali, tetapi saya dituduh membuang suami sendiri. Hancur hati ini bila segala usaha saya untuk memulihkan Haidar sia-sia begitu sahaja. Saya tidak berdaya nak membantu Haidar.
Tidak perlu saya menceritakan keadaan Haidar sekarang, siapa yang sudah melawatnya pasti tahu. Saya hanya berserah kepada Allah agar diberikan kekuatan menempuh ujian ini. Doa untuk Haidar kembali pulih tidak pernah putus.
Terima kasih kepada keluarga dan kawan-kawan yang memahami dan banyak membantu saya. Saya perlu kuat demi Hana Sofia.
Saya sertakan beberapa gambar rawatan untuk Haidar agar tiada yang menuduh saya tamak duit dan harta Haidar bagi kegunaan saya sendiri. Selepas ini, tolong jangan memfitnah saya lagi. Tolong beri ketenangan sedikit untuk saya dan dengar penjelasan dari kedua-dua belah pihak. Yang menanggung semua ini adalah saya, tak perlu menyalahkan saya dengan apa yang terjadi.