Jurutera Sanggup Cuti Tanpa Gaji Demi Impian Berbasikal Solo Di Lebuhraya Karakoram

travel-di-karakoram-highway-5

Traveler di zaman kini boleh dikira beruntung kerana boleh memilih jenis pengangkutan yang ingin digunakan untuk travel. Ada yang travel dengan cara hitchhike, bermotosikal, berbasikal dan ada juga yang melakukan �road trip� dengan kereta atau menaiki caravan.
Kali ini saya ingin bawakan satu lagi kisah inspirasi travel di mana seorang jurutera telah berjaya melaksanakan impian beliau untuk berbasikal secara solo di Lebuhraya Karakoram.
travel-di-karakoram-highway-1

travel-di-karakoram-highway-19

Ikuti temubual saya bersama Mahazizi Abd Latif  tentang bagaimana beliau berjaya menjadikan impian ini satu kenyataan.
Vocket: Boleh berikan sedikit info latar belakang Mahazizi seperti nama, umur, status perkahwinan, pendidikan dan pekerjaan.
Mahazizi: Nama penuh Mahazizi Bin Abd Latif, umur 34 tahun, berkahwin dan mempunyai 2 anak perempuan yg berumur 7 dan 5 tahun. Bersekolah di Sek. Keb. Tok Jiring & SMKA Tok Jiring di Kuala Terengganu. Melanjutkan pelajaran di UTHM dlm bidang Degree Kejuruteraan Awam. Sekarang bekerja sebagai jurutera di Petronas.
Vocket: Sejak bila Mahazizi mula minat travel? Adakah kerana keluarga juga suka travel atau kerana faktor lain?
Mahazizi: Saya adalah seorang yang outgoing sejak dari sekolah lagi dan selalu ingin mencuba sesuatu yang baru dan mencabar. Saya juga pernah dilantik sebagai ketua pengakap di sekolah kebangsaan dahulu dan terdedah kepada aktiviti luaran. Saya rasa inilah yang menarik minat saya untuk travel. Dari zaman sekolah lagi saya sudah mempunyai minat untuk travel.
Vocket: Adakah travel adalah hobi Mahazizi? Masih ingat trip pertama ke mana?
Mahazizi: Travel adalah salah satu hobi saya selain daripada berbasikal, bersukan dan juga lain-lain aktiviti �outdoor�. Trip pertama saya adalah ke Langkawi bersama keluarga, pada tahun 1991. Masa itu saya baru berumur 9 tahun.
Vocket: Baru-bari ini Mahazizi telah travel dengan cara berbasikal solo merentasi 3 negara. Boleh kongsikan berapa bulan atau hari, route dari mana hingga ke mana.
Mahazizi: Sebenarnya 2 negara iaitu China dan Pakistan. Mengambil masa selama 21 hari iaitu dari 25 April sehingga 16 May 2016. Saya menaiki kapal terbang dari KLIA menuju ke Kashgar, Xinjiang, China dan pulang semula ke KLIA menerusi penerbangan dari Lahore, Pakistan.
Saya mula berkayuh di Kashgar, Xinjiang, China dan berakhir di Lahore, Pakistan melalui Karakoram Highway (KKH).
travel-di-karakoram-highway-3

Vocket: Mengapa memilih untuk travel dari Kashgar hingga Lahore? Dan apakah pengalaman yang Mahazizi inginkan daripada pengembaraan ini?
Mahazizi: Sebenarnya saya ingin berkayuh melalui Karakoram Highway (KKH) iaitu lebuhraya antarabangsa tertinggi di dunia (berketinggian 4700m dari aras laut) yang menghubungkan China dan Pakistan.
Perancangan bermula semenjak tahun 2014 tetapi malangnya pada tahun tersebut saya telah mengalami kecederaan putus ACL ligament pada lutut kanan saya akibat bermain bolasepak, sebab itu saya terpaksa menangguhkan kayuhan tersebut sehingga tahun 2016.
Selain daripada minat saya yang mendalam terhadap berbasikal, tujuan saya berkayuh di sini disebabkan oleh faktor lebuhraya itu sendiri yang mempunyai landskap yang menarik, laluan yang mencabar serta cabaran-cabaran lain seperti berkayuh di altitude tinggi serta kawasan yang sejuk.
Selain daripada itu, Bandar Kashgar itu sendiri menarik perhatian saya di mana Kashgar mempunyai bazaar yang terbesar di dunia semenjak zaman kegemilangan Laluan Sutera lagi.
Rakyatnya yang unik di mana majoriti mereka adalah berbangsa Uyghur, menarik minat saya untuk mendalami budaya dan kehidupan mereka disamping melihat binaan-binaan lama di bandar tersebut.
Selain daripada itu, saya juga ingin melihat sendiri keadaan sebenar di Pakistan terutamanya di wilayah utara negara tersebut iaitu Gilgit-Baltistan.
Gambaran yang hanya kita perolehi melalui media di sini mengenai Pakistan hanyalah kejadian bencana alam, tembakan pengganas dan pengeboman.
Namun begitu, saya dapat merasakan bahawa Pakistan adalah sebuah negara yang bukan hanya dihujani dengan perkara-perkara yang saya sebutkan tadi. Jadi ini membuatkan saya tertarik untuk berkayuh di sana.
Selain daripada itu, saya telah diberitahu oleh rakan-rakan berbasikal di Malaysia bahawa belum pernah rakyat Malaysia berkayuh secara solo di lebuhraya KKH ni.
Nnamun begitu telah ada beberapa kumpulan rakyat Malaysia yang telah berkayuh di sana. Ini membuatkan saya ingin menjadi orang pertama yang berkayuh di sana secara solo.
Selain daripada itu juga, kepelbagaian etnik di sana turut menarik minat saya. Contohnya di Xinjiang sendiri, bermula daripada Kashgar sehingga Tashkurgan (bandar terakhir sebelum memasuki Pakistan), terdapat 3 wilayah autonomi iaitu wilayah autonomi Kashgar yang didiami oleh orang Uyghur, Wilayah Karakul yang didiami oleh orang Kyrgyzs dan Wilayah Tashkurgan yang didiami oleh orang Tajik.
Di Pakistan pula, terdapat lebih daripada 11 etnik, antaranya ialah Pashtun, Burushaski, Gulmiti, Punjabi dan sebagainya.
Satu lagi, saya seorang yang cintakan makanan (kuat makan). Dan makanan-makanan seperti kebab kambing, nasi biryani dan mee ramen menarik minat saya untuk cuba menikmati makanan tersebut di tempat asal makanan itu sendiri.
travel-di-karakoram-highway-2
travel-di-karakoram-highway-10

Vocket: Bagaimana dengan tempat tinggal dan makanan di sepanjang tempoh travel? Mahazizi tinggal di mana (ie hotel / couchsuring) dan makanan pula bagaimana? Adakah sukar mendapatkan makanan halal? Jika ye, apakah alternatif bagi anda?
Mahazizi: Dari segi tempat tinggal, hampir tiada couchsurfing ataupun �warmshowers host� di sepanjang laluan tersebut. Sepanjang saya berada di Kashgar dan beberapa tempat di bandar-bandar kecil di Pakistan, saya telah menyewa hostel bajet bagi menjimatkan perbelanjaan saya.
Selain daripada itu, saya juga telah membawa khemah bersama saya bagi memudahkan saya untuk bermalam jika tiada hostel atau tempat yang boleh digunakan untuk bermalam.
Saya juga pernah bermalam di rumah rakyat tempatan dan juga restoran kerana pada masa tersebut, tiada hostel dan tempat yang sesuai untuk saya mendirikan khemah.
Dari segi makanan, Alhamdulillah makanan halal sentiasa ada di sepanjang laluan KKH kerana majority mereka adalah muslim.
Namun begitu, saya juga ada membawa sedikit bekalan daripada Malaysia seperti serunding, nasi himpit, makanan tin dan sebagainya. Saya juga membawa energy bar dan kurma sebagai penambah tenaga semasa kayuhan.
Vocket: Di sepanjang pengembaraan, apakah perkara paling manis yang pernah dilalui?
Mahazizi: Terlalu banyak perkara menarik serta pengalaman manis sepanjang kayuhan tersebut. Antaranya ialah saya dihidangi dengan permandangan yang indah seperti pergunungan Pamir, Tasik Karakul, pergunungan Karakoram, Lembah Hunza dan sebagainya.
Keramahan dan sifat pemurah dan mesra penduduk tempatan adalah di luar jangkaan saya.
Vocket: Bagaimana pula dari segi kesukaran dan cabaran? Apakah yang paling sukar yang pernah lalui?
Mahazizi: Bermalam di dalam khemah pada suhu -15 darjah celcius di tepi Tasik Karakul adalah antara pengalaman sukar saya.
Namun begitu antara perkara yang paling sukar adalah berkayuh di altitude tinggi di mana bekalan oksigen adalah nipis dan terpaksa berkayuh di dalam cuaca dibawah tahap beku.
40km pertama berkayuh daripada Tasik Karakul menuju ke Bandar Tashkurgan adalah yang paling sukar pernah saya alami.
Berkayuh pada suhu sekitar 2 hingga -5 darjah celcius serta perlu mendaki di sepanjang laluan tersebut bermula dari aras 3300m ke aras 4300m membuatkan saya berasa begitu penat dan sesak nafas akibat cuaca sejuk dan kekurangan oksigen.
Saya juga terpaksa berhenti lebih daripada 10 kali dan menolak basikal saya pada laluan-laluan tertentu kerana terlalu penat walaupun jaraknya hanyalah 40km.
Selepas jarak 40km itu berakhir, Alhamdulillah baki 70km lagi menuju ke Bandar Tashkurgan adalah laluan yang agak landai dan menurun beserta pendakian yang pendek sahaja.
Selain daripada itu, saya terpaksa dimasukkan ke ward hospital di Hospital Rakyat Tajik di Tashkurgan selama 3 hari akibat jangkitan kuman dan pendarahan pada usus, dipercayai akibat pengambilan makanan yang tercemar.
Saya tidak dibenarkan untuk makan dan minum selama saya berada di sana. Hanya IV drip yang menjadi sumber tenaga saya semasa itu. Saya juga kehilangan 6kg berat badan semasa berada disana.
travel-di-karakoram-highway-4
travel-di-karakoram-highway-13

travel-di-karakoram-highway-14
Vocket: Ada pernah lalui peristiwa lucu?
Mahazizi: Ada satu ketika semasa pendakian menuju ke Gulmit, melalui kawasan Passu, saya berasa begitu penat akibat kekurangan tidur pada malam sebelumnya. Paras oksigen yang agak nipis juga menyebabkan pernafasan saya agak terbatas dan stamina saya berkurangan.
Oleh kerana terlalu penat, perasaan sayang saya terhadap basikal yang saya tunggangi selama ini bertukar menjadi rasa �benci� sehinggakan pada satu masa itu, saya turun daripada basikal dan mencampakkannya ke tepi jalan.
Saya mengambil masa selama lebih kurang 5 minit untuk menenangkan keadaan diri saya sendiri sambil memikirkan kenapa lah saya susah-susah berbasikal ke sini Kan lebih baik duduk sahaja dirumah bersama keluarga dan berehat.
Aahahahaha� Disebabkan saya berseorangan di sana, saya pun mengambil semula basikal saya, mengangkatnya sambil berkata kepadanya, �maaf.. maaf, lepas ni dah tak buat dah�. Itulah kali pertama saya bercakap dengan basikal saya Hehehehehe.
Vocket: Bagaimana pula dari segi orang-orang yang ditemui di jalanan. Siapakah yang paling diingati dan kenapa?
Mahazizi: Sepanjang perjalanan disana, Alhamdulillah Allah telah menemukan saya dengan orang-orang yang baik.
Walaupun pada anggapan awalnya mereka tidaklah mesra dengan pelancong, apatah lagi dengan orang yang berbasikal seperti saya.
Setiap orang yang saya jumpa di sepanjang perjalanan dan apabila kami bercakap antara satu sama lain (walaupun kadang-kadang mengalami masalah bahasa), paling kurang, mereka akan menawarkan untuk memberi saya minuman bagi menghilangkan dahaga.
Ada juga yang mengajak saya untuk bermalam di rumah mereka dan menawarkan untuk makan petang dan malam di sana.
Di sepanjang laluan di utara Pakistan juga, setiap kali saya berhenti di pos keselamatan polis dan tentera disana, setelah memberi salam dan berbual sedikit dengan mereka mengenai destinasi dan tujuan saya berkayuh, mereka akan menawarkan kepada saya secawan teh dan juga chapatti, itu paling minimum.
Pernah satu ketika semasa saya melintasi pos kawalan tentera di Kohistan, salah seorang tentera tersebut telah bertanya kepada saya mengapa bibir saya merekah.
Saya memberitahu beliau ini disebabkan oleh cuaca yang sejuk ditempat saya lalui dan bermalam. Beliau terus masuk ke dalam pos kawalan, keluar semula dengan membawa sebekas losyen dan terus menyapukan ke bibir saya.
Tak dapat saya lupakan seorang tentera dengan muka sebengis itu sungguh baik hati dan sanggup melakukan perkara tersebut.
Orang yang paling saya ingati ialah Ashari Bhaijaan. Pernah terjadi masa saya melalui Husseinabad di Pakistan, masa tu tinggal 1 jam lagi sblum ghurub.
Nak pacak khemah macam tak sesuai sebab tepi jalan tak ada big corridor. Kebetulan terjumpa sebuah rumah kedai, bagi salam, bagitau niat nk tumpang pasang khemah dalam kawasan pagar rumah dia.
Saya guna bahasa isyarat sebab dia tak boleh bercakap English. Dia tak bagi. Lepas tu dia masuk ke dalam umah terus. Saya pun dalam nak mula kayuh balik cari tempat lain tapi dia keluar balik dan panggil �Bhaijaan bhaijaan!!�
Dia panggil saya suruh park basikal dalam garaj tempat dia bela kambing. Kemudian suruh saya masuk ke dalam rumah dia. Rupa-rupanya dia tak bagi saya pasang khemah kat luar rumah sebab takut kesejukan.
Tadi dia masuk ke dalam rumah sekejap sebenarnya nak bagitau isteri  dan anak-anak perempuan dia supaya pakai tudung dan tutup aurat.
Malam tu dia suruh anak-anak dia tidur kat rumah jiran yang berada dalam 200m dari umah beliau.
Alhamdulillah, walaupun kami tak faham bahasa masing-masing tapi kami bersembang sepanjang malam. Perbualan ayam itik yang sangat menarik. Saya guna pen dan kertas untuk lukis apa yang saya cuba smpaikan dan dia pun buat perkara yang sama.
Tapi yang paling best bila saya tunjukkan gambar saya kat tanah haram. Tunjuk kaa�bah, tunjuk masjidil haram, tunjuk orang tawaf, tunjuk bukit uhud.
Menangis teresak-esak dia sambil tadah tangan baca doa. Orang yang kekurangan kekayaan dunia macam dia ni almost impossible nak menunaikan haji dan umrah disebabkan kos yang mahal.
Tapi saya rasa dia ni kaya dengan nilai islam dan menghormati tetamu. Itulah cara macam mana golongan macam dia ni yang kita anggap orang bawahan di Malaysia layan kita masa tempat dia orang.
Moral of the story is janganlah rasa kita ni tinggi dan hebat dari orang lain sebab rasa tu yang membuatkan kita lupa iaitu hanya taqwa kepada Allah yang membezakan manusia sebenarnya. Bukan harta, bukan pekerjaaan.
Satu lagi sepanjang laluan KKH ni, kehidupan kebanyakan muslim kat sini tak semewah dan mudah macam kehidupn kita di Malaysia. Bagi mereka menunaikan haji dan umrah adalah sesuatu yang hampir mustahil.
Apa yang saya buat, setiap kali saya bersembang dengan penduduk tempatan sepanjng perjalanan, saya share gambar-gambar saya di tanah haram.
90% daripada mereka keluar air mata. Yang ambik handphone saya cium gambar kaabah yang saya tunjuk pun ada. Doakanlah mudah-mudahan mereka ni dimurahkan rezki untuk jejak kaki ke tanah haram.

travel-di-karakoram-highway-15
Before the #mahazizioncyclokarakoram trip, I always and envy this photo location with a background of Passu Cones/Cathedral. It was not easy to be here from Sost as there was a steep and long climb. But that�s all paid-off with this magnificient view. Alhamdulillah.
travel-di-karakoram-highway-17
�ONE FINE DAY, I WILL CYCLE FROM HERE TO PAKISTAN AS WELL, INSHAALLAH.� SAID MR.RUSHAN, THE OWNER OF BICYCLE SHOP IN KASHGAR WHILE TRYING MY TOURING BIKE.
travel-di-karakoram-highway-16
Vocket: Bagaimana dengan persediaan Mahazizi untuk trip kali ini? Bagaimana dari segi kumpul duit dan berapa lama? Atau ada terima sebarang sponsor daripada mana-mana pihak?
Mahazizi: Persiapan saya untuk kayuhan kali ni agak terperinci juga disebabkan saya perlu melalui 2 buah negara iaitu China dan Pakistan. Saya juga banyak membaca sumber-sumber daripada internet. Ramai kawan-kawan berbasikal saya yang membantu dalam berkongsi maklumat pengenai perjalanan ini.
Saya juga terpaksa menyediakan kelengkapan musim sejuk kerana cuaca di sepanjang laluan KKH ini terutama di Utara-Barat China dan Utara Pakistan agak sejuk dan mencecah suhu di bawah aras beku.
Saya mengumpul duit daripada gaji bulanan saya dan agak lama juga bagi mengumpul sejumlah wang untuk kayuhan ini. Perbelanjaan agak besar disebabkan saya perlu membeli kelengkapan musim sejuk, khemah, dan juga tiket penerbangan yang agak mahal untuk ke Kashgar dan balik ke Malaysia dari Pakistan.
Saya tidak menerima sebarang penajaan daripada mana-mana pihak sepanjang perjalanan ini tetapi kawan-kawan di tempat kerja saya ada buat sedikit kutipan dan sumbangan untuk saya gunakan sepanjang kayuhan ini.
Bagi mengenangkan jasa baik mereka, saya telah menghadiahkan sumbangan tersebut ke tabung hospital di Tashkurgan serta sebahagian kecilnya saya berikan kepada penduduk yang kurang berkemampuan di Pakistan.
Vocket: Bagaimana pula penerimaan keluarga dan majikan dengan keputusan anda untuk travel di route ni?
Mahazizi: Untuk kayuhan ini, Alhamdulillah saya mendapat cuti tidak berbayar daripada majikan saya selama sebulan. Oleh kerana tugasan kerja yang agak kurang pada masa tersebut, tiada masalah dengan penerimaan majikan saya bagi kayuhan ini.
Secara jujurnya, minggu pertama semasa kayuhan tersebut, saya mengalami �home-sick� yang agak serius kerana inilah kali pertama saya meninggalkan keluarga saya dalam jangkamasa yang agak lama. Alhamdulillah juga, mereka adalah penyokong dan pemberi semangat yang paling besar bagi kayuhan saya ini.
Vocket: Ada perancangan untuk travel lagi selepas ni? Jika ye ke mana dan adakah akan berkayuh basikal secara solo juga?
Mahazizi: Buat masa ini, belum ada lagi perancangan yang terperinci mengenai kayuhan yang akan datang. Namun begitu, inshaAllah ada 2 perancangan awal iaitu berkayuh dengan ahli keluarga di Jepun, Korea atau New Zealand.
Saya memilih negara-negara ini kerana ianya agak sesuai dan tenang untuk berkayuh. Selain itu, banyak yang boleh dipelajari daripada 3 negara tersebut.
Bagi kayuhan solo pula, terfikir juga untuk mencuba berkayuh di Maghribi, iaitu sebuah negara islam yang terletak di utara Afrika.
Keunikan rakyat dan budaya disana, pemandangan, makanan, kepelbagaian bentuk muka bumi serta pelbagai faktor lain menarik minat saya untuk berkayuh di sana.
Lagipun agak kurang maklumat dan bahan bacaan mengenai negara ini di internet. Jika saya berjaya menjelajah negara ini dapatlah saya berkongsi dengan orang ramai mengenai keadaan sebenar melalui pandangan serta pengalaman sepanjang di sana nanti.
Vocket: Apakah perkara positif yang diperolehi daripada trip kali ini?
Mahazizi: Banyak perkara positif yang saya perolehi di sepanjang kayuhan di sini. Kesusahan dan keterbatasan kehidupan di Kashgar serta di utara Pakistan membuatkan saya berasa lebih bersyukur di atas nikmat yang Allah telah berikan kepada saya.
Saya juga mendapati walaupun mereka serba kekurangan namun bagi mereka, meraikan tetamu dan orang luar itu adalah melebihi dari meraikan ahli keluarga mereka sendiri
Ini mengingatkan saya kepada sabda Rasulallah saw yang diriwayatkan oleh Bukhari, yang bermaksud;
�Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati dan melayani tetamunya, dan menyambung silaturrahim�.
Selain daripada nilai-nilai kemanusiaan, saya juga dapati kita tidak boleh menilai sesuatu benda itu menerusi luaran sahaja. Don�t judge a book by its cover. Jangan juga mempercayai sesuatu berita itu tanpa soal selidik.
Itulah yang saya alami terutamanya di Pakistan di mana sebelum ini saya banyak mendengar mengenai keganasan dan perlakuan pengganas di sana. Namun begitu rupanya banyak lagi benda-benda baik yang tidak digembar gemburkan oleh media mengenai mereka
Satu lagi ialah dapat melihat keindahan dan kekuasaan Allah melalui ciptaan-Nya yang maha indah terutamanya di kawasan pergunungan Karakoram dan Pamir.
Ini membuatkan saya rasa kagum dengan ciptaan-Nya dan terasa begitu kecil sebagai hamba-Nya. Pernah suatu ketika semasa saya melalui satu jalan yang panjang dan kosong, serta tiada pengguna jalan yang lain.
Ini telah membuatkan saya rasa terfikir bahawa tiada beza pun antara travel seorang diri dan travel dengan kawan. Secara teknikalnya, semua bergantung kepada tempat di mana kita travel.
Kita masih perlu jaga diri sendiri dan tahu risiko yang bakal dihadapi dan limitasinya sebelum berangkat pergi.
Secara peribadi bagi saya, pergi saja lah dan nikmati perjalanan tersebut. Bismillahi tawakkaltu ala Allah dan inshaAllah semuanya OK. Selain daripada itu, maklumkan kepada keluarga, saudara dan sahabat handai tentang pemergian kita.
People asked me why I�m travelling alone, and my answer is simple. I want my own time, escape from routine, looking into myself and you know what, when you are alone in silence.
It will activate your brain and thinking what you are doing now in your life. And sometimes it�s just like a rolling film on the screen showing you your previous life and what you have done, your mistake, your good deed, thinking about your family, your beloved one, your friends etc.
And sometimes you may also think that at the end of the day, you�ll be alone when you go back to Allah.
Vocket: Ada pesanan atau tips yang ingin dikongsikan kepada pembaca Vocket yang ingin travel seperti yang telah anda lakukan ini?
Mahazizi: Pesanan saya, cubalah untuk keluar daripada zon selesa, pelajari sesuatu yang baru dan lihatlah apa yang belum kita lihat sebelum ini dari sudut pandangan seorang hamba Allah.
Walaupun kita tidak dapat membuat sesuatu yang luar biasa di pandangan mata orang lain, sekurang-kurangnya buatlah sesuatu yang luar biasa bagi diri kita sendiri.
Bagi yang ingin mencuba untuk berkayuh jarak jauh secara solo mahupun berkumpulan, sila lah cuba tanoa ragu. Menjelajah dengan menaiki basikal ini memberikan kita kepuasan dan kesempatan untuk merasai setiap pengalaman dan perkara baru di setiap kilometre yang kita lalui itu.
Persiapan dan perancangan yang terperinci agak penting, namun begitu ianya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mula berkayuh.
travel-di-karakoram-highway-18

Vocket: Ada kisah lain lain yang ingin dikongsikan?
Mahazizi: Sepanjang saya berada dan dirawat di hospital, bil hospital saya telah mencecah ke RM4000. Saya perlu bayar penuh bil perubatan kerana orang asing tidak diberikan subsidi perubatan oleh hospital di sana.
Alhamdulillah sebelum kayuhan ni saya telah mendapatkan polisi pelindungan insurans perjalanan. Segala kos rawatan, ubat dan perjalanan telah ditanggung sepenuhnya oleh pihak insurans.
Memandangkan berlakunya beberapa kes tidak mampu membayar bil perubatan di luar negara semenjak kebelakangan ini, saya cadangkan kepada sesiapa sahaja yang ingin keluar negara samada untuk melancong ataupun apa sahaja tujuan, yang terbaiknya adalah dengan memiliki polisi insurans perjalanan.
Kita tidak tahu bagaimana keadaan kesihatan kita di sana nanti dan malang tidak berbau. Please expect the un-expected.
travel-di-karakoram-highway-20
Buat Mahazizi, terima kasih untuk perkongsian kali ini. Semoga ia menjadi satu lagi kisah yang memberi inspirasi untuk anda keluar mengembara.
Dunia ini luas dan sedang menanti mereka yang ingin keluar dari zon selesa, mereka yang ingin belajar kenali diri dan perkara baru, dan seterusnya kembali dengan satu semangat untuk terus maju dan bergerak ke hadapan.
Kerana saya percaya travel mampu memberi inspirasi dalam berbagai cara. Keluarlah mengembara.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel