'Saya Nak Melihat Suami Buat Kali Terakhir...'
Sayu melihat seorang isteri yang masih di wad, hanya mampu menangis melihat jenazah arwah suaminya terbaring kaku sebelum dikebumikan, Ahad lalu.
Zul Haiza Asmar Marzuki, 34, yang memandu kereta Proton Saga, maut dalam kemalangan 23 April lalu.
Difahamkan mangsa yang membawa keluarganya menuju ke Ipoh, bertembung dengan sebuah treler yang terbabas dan masuk ke laluan yang bertentangan.
Isterinya cedera parah di bahagian kaki, anak, ibu arwah cedera di bahagian pinggang, anak sulung Nur Zahra Iffah, 6, mengalami keretakan di bahagian tengkorak, anak kedua Nur Zafeerah Husna, 3, bengkak dan lebam di kepala akibat hentakan, anak bongsu, 1 tahun 3 bulan yang pada ketika kejadian berada di riba ibunya Rafidah, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut saudara mangsa, Ummi Najihah, isteri arwah masih tidak mengetahui yang suaminya telah meninggal dunia kerana masih dalam rawatan.
"Selepas Rafidah mula sedar selepas pembedahan jam 9 pagi, abang dan kakaknya bertanya sama ada Rafidah ingin melihat suaminya dikebumikan atau tidak. Dia dalam keadaan sangat terkejut, sedih dan hiba menyatakan dia ingin melihat suaminya buat kali terakhir.
"Terlalu sedih mengenangkan nasib beliau tidak dapat menggerakkan kakinya akibat kecederaan. Hanya satu tempat pergantungan dalam hidupnya iaitu suaminya sahaja setelah kematian ibu dan ayahnya.
"Dua ambulans (isteri dan ibu arwah) bergerak sekali daripada Hospital Slim River ke kampung Rafidah di Sri Mariah, Batu Gajah, Perak, tempat jenazah dikebumikan. Tetamu yang hadir melihat arwah begitu ramai sekali.
"Semasa ketibaan dua ambulans, tetamu semua melihat satu peristiwa yang sangat menyentuh hati. Isterinya diturunkan hanya pada pintu ambulans sahaja kerana pembedahan yang dijalani beliau masih tidak cukup 24 jam. Jenazah diangkat mendekati si isteri bagi penghormatan si isteri untuk arwah suami. Jenazah suami diiringi sedikit bagi memudahkan isteri mengucup dahi suami buat kali yang terakhir," katanya yang juga turut sayu dan sedih melihat kegigihan isteri arwah.
Para tetamu yang hadir juga turut menangis hiba mengenang nasib seorang isteri yang tidak berupaya melihat jenazah suaminya. Dua orang anaknya didekatkan pada ibunya untuk untuk ibunya mengucup anak-anaknya itu, menambahkan lagi suasana sayu dan pilu orang ramai.
Semoga Rafidah dan sekeluarga tabah menghadapi segala dugaan ini. Difahamkan, anak sulung pasangan ini, Nur Zahra Iffah, masih kritikal di Unit Rawatan Rapi. Doakanlah agar segalanya dipermudahkan. Moga roh Zul Haizal Asmar dicucuri rahmat Allah yang Esa