Resepi Kari Udang Sedap
Resipi Kari Udang yang sedap. Kari Udang sememangnya lauk kegemaran Che Nom. Sesiapa yang tak tau nak masak apa dengan udang, sila lah cuba. Selalunya Che Nom akan padankan kari udang bersama kentang, tapi boleh juga kalau nak letak bahan lain yang anda suka.
Masa:
Penyediaan: 15 minit | Memasak: 15 minit | Keseluruhan: 30 minit
Jumlah Hidangan : 4 orang
Bahan-Bahan:
500 gram udang sederhana besar
2 sudu besar rempah kari (saya guna kari ikan), bancuh dengan sedikit air
1 sudu kecil halba campur
2 biji bunga lawang
1 batang kayu manis
Setangkai daun kari
2 biji kentang, potong dadu besar
1 cawan santan cair
2 cawan santan pekat
1 sudu besar bancuhan pati asam jawa
Bahan tumbuk halus:
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 cm halia
Cara Penyediaan:
Cara-cara untuk memasak:
Udang dibersihkan dengan cara belah bahagian belakang (saya tidak buang kulit).
Panaskan 1/2 senduk minyak. Masukkan halba campur, bahan tumbuk halus, daun kari,bunga lawang dan kayu manis. Tumis sehingga naik bau.
Masukkan pula bancuhan serbuk kari dan tumis sehingga pecah minyak. Masukkan sedikit air jika kering. Kacau supaya tidak hangus. Kacau sehingga rempah bertukar warna sedikit gelap dan pecah minyak.
Masukkan kentang, air asam jawa dan santan cair. Masak sehingga kentang empuk.
Kemudian masukkan pula udang dan santan pekat. Masak sehingga mendidih. Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa.
Tips:
Udang jangan direbus terlalu lama kerana nanti udang akan menjadi keras dan tidak enak