Resepi Sambal Tumis Udang Petai
Sambal Tumis Udang dan Petai, hidangan yang cukup membuka selera terutamanya buat penggemar ulam petai. Walaupun petai mempunyai bau yang kurang menyenangkan, tapi khasiat nya sangat tinggi seperti mengurangkan risiko tekanan darah tinggi, anemia (kerana kandungan vitamin B6 yang tinggi di dalam petai dapat membantu stimulasi darah merah dan juga beberapa khasiat lain. Kombinasi udang dan petai juga sangat terbaik.
Ditulis oleh : Che' Nom
Masa:
Penyediaan: 15 minit | Memasak: 20 minit | Keseluruhan: 35 minit
Jumlah Hidangan : 5 orang
Bahan-Bahan:
500 gram udang
1 mangkuk ulas petai
1 batang serai, dititik atau ketuk
1 mangkuk minyak masak
1 biji bawang besar, hiris bulat
3 sudu air asam jawa
Bahan untuk kisar halus:
15-20 biji cili kering, buang biji dan rebus
1 biji bawang besar
4 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
Cara Penyediaan:
Buang kulit dan bersihkan udang.
Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bahan kisar halus dan sehingga pecah minyak. Jika sambal agak kering, tambahkan sedikit air dan kacau sehingga sambal betul-betul masak.
Masukkan air asam jawa diikuti serai, udang, petai dan bawang besar.
Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
Angkat dan hidangkan bersama nasi panas.