Kemajuan Tercela Jika Abai Alam Sekitar
English: View of Masjid Jamek and the confluence of Gombak and Klang rivers in Kuala Lumpur, Malaysia. (Photo credit: Wikipedia) |
Menerusi usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), soal pokok dalam membangun ekonomi dipertegaskan sekali lagi, iaitu kepada kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat. Selain peluang pekerjaan, pendapatan mencukupi (tinggi tidak semestinya mencukupi jika kadar inflasi juga meningkat tinggi) dan keamanan, rakyat memerlukan persekitaran bersih dan menenangkan.
Ketenangan ini diperoleh menerusi alam sekitar yang indah dan segar, udara nyaman, kejernihan sungai dan kehijauan menyegarkan jiwa dan fikiran. Itulah sebabnya isu alam sekitar menjadi satu unsur semakin penting dalam konteks pembangunan menyeluruh sesebuah bandar raya atau negara.
Bagaimanapun bagi sesetengah pihak, pelestarian alam sekitar adalah isu sentimental dan romantik saja. Bagi mereka kepelbagaian hayat, kehijauan flora, keindahan alam dan kesegaran sumber asli pula perlu dikorbankan untuk merancakkan lagi tempo �pembangunan� negara. Lebih penting, bagi mereka, ialah kemudahan perumahan, infrastruktur mega, pertumbuhan bandar baru dan tapak industri yang memberi kesan ketara kepada indeks pembangunan, berbanding kehijauan pokok, kicauan unggas dan kemulusan bukit-bukau.
Pandangan sebenarnya sedemikian tidak selari dengan aspirasi MBE dan RMKe-10. Tidak semua aktiviti pembangunan perlu mengorbankan alam sekitar. Dalam banyak keadaan, pembangunan boleh digabung jalinkan dengan pelestarian alam sekitar. Syaratnya semua pihak mesti memahami kepentingan alam sekitar dalam konteks pembangunan lestari.
Tidak salah kita menyediakan tapak perindustrian tetapi kemudahan loji rawatan bahan cemar udara, air sisa industri dan sisa toksik mestilah disediakan seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang. Tidak salah mendirikan kawasan perumahan asalkan perancangan dan pelaksanaannya mengikut peraturan dan standard alam sekitar, seperti penyediaan kawasan hijau mencukupi, reka bentuk infrastruktur mesra alam dan dilengkapi dengan kemudahan rawatan kumbahan dan sisa pejal sewajarnya.
Jika hal ini tidak dilaksanakan, atau dilaksanakan tetapi tidak sepenuhnya semata-mata memaksimumkan keuntungan dari segi kewangan, maka berlakulah bencana pencemaran dan kemusnahan alam sekitar. Alam sekitar seperti juga makhluk Allah lain mempunyai keupayaan terhad bagi menampung muatan pencemaran dan kemusnahan komponennya. Apabila muatan bahan cemar melepasi had tertentu maka sistem alam sekitar (juga dikenali sebagai ekosistem) tidak lagi berupaya menampungnya dan berlakulah pencemaran.
Nilai kemusnahan ekosistem memang sukar untuk dikira dengan wang ringgit, tidak seperti indeks pembangunan menerusi sektor industri dan hartanah. Tetapi kemusnahan ekosistem dirasakan oleh jiwa dan fikiran penghuni sesebuah habitat. Tanpa kehijauan bukit-bukau dan keriuhan kicauan unggas (bagi orang Islam, kicauan itu adalah tasbih sang burung membesarkan Ilahi) maka kita sebenarnya kehilangan salah satu nikmat kehidupan berkualiti. Tanpa keseimbangan ekosistem maka berlakulah masalah jerebu, pencemaran sumber air dan risiko kesihatan, dan peningkatan suhu bumi.
Hal ini perlu difikirkan semua pihak dalam konteks kita membangun menuju negara maju menjelang 2020. Dengan gagasan MBE sewajarnya mengingatkan kita bahawa tugas setiap warga ialah menjadikan Malaysia negara maju dalam pengertian sebenarnya dari segi politik, ekonomi, sosial dan pemikiran dengan berlatar belakang alam sekitar sesuai untuk didiami. Apalah gunanya menjadi negara maju sekali gus lubuk bahan toksik dengan pantainya terhakis, sungainya bagai longkang lendiran kumbahan dan udaranya berjerebu.
Dalam konteks ini, pandangan mantan Duta Jerman ke Malaysia, Herbet D Jess dalam rencana Berita Harian pada 18 Ogos 2005, perlu kita renungkan. Menurut beliau: �Ketika berada di Kuala Lumpur 20 tahun lalu, saya dan keluarga memang jatuh cinta dengan keindahan serta kehijauan bandar raya ini. Keindahan dan kehijauan yang menjadi persepsi pelancong asing kini semakin pupus.... Saya serta ramai orang asing di sini sangat berharap agar pihak berkuasa dapat mengimbangkan pembangunan yang semakin pantas ini, dengan mengekalkan suasana hijau yang selama ini menjadi mercu tanda Kuala Lumpur.�
Dengan kata lain, pembangunan rancak ketika itu nampaknya agak membimbangkan dalam konteks pembangunan lestari. Hal ini melegakan apabila MBE dan RMKe-10 secara tuntas menyebutkan kepentingan pelestarian dalam konteks menyeluruh dan sistemik. Tugas ini bukan hanya terpikul di bahu agensi dan pihak tertentu, tetapi membabitkan setiap warga Malaysia.
Sesungguhnya alam sekitar adalah khazanah negara untuk dimanfaat bukan saja untuk kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat tetapi boleh dikongsi bersama dengan pelancong, pemodal serta pemaju inovasi.
Sumber: BERITA HARIAN