Sultan Pahang Murka, Titah Cari Penyelesaian Elak Kejadian Berulang
Sultan Pahang Murka, Titah Cari Penyelesaian Elak Kejadian Berulang
Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad Shah murka dengan kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Rabu lepas.
Baginda juga sedih dan telah menitahkan pihak berkenaan mencari jalan penyelesaian untuk mengelak kejadian dari berulang.
Sultan Pahang menyifatkan kejadian tersebut amat memalukan selain telah menjejaskan imej negeri Pahang.
Kejadian itu juga menyusahkan banyak pihak kerana ia merupakan laluan utama dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur.
Ini titah Baginda:
"Saya sedih sampai empat hari laluan dari Kuala Lumpur ke Pahang terputus hubungan, memang ini kuasa Allah (hujan lebat sehingga menyebabkan banjir lumpur) tetapi apa persediaan untuk hadapinya.
"Saya tidak mahu perkara ini berulang dan sehubungan itu pihak berkenaan perlu cari jalan untuk pastikan kejadian ini tidak berlaku lagi kerana ia menyusahkan rakyat,"
Sultan Pahang bertitah demikian selepas mendengar taklimat tentang kejadian itu oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh.
Baginda menitahkan semua agensi yang berkenaan supaya bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian terhadap perkara itu dan bukannya menuding jari mencari salah siapa.
Sultan Pahang sebelum itu tiba di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada kira-kira pukul 10 pagi untuk meninjau keadaan di kawasan kejadian.
Baginda turut menitahkan agar sebahagian daripada laluan tersebut dibuka segera bagi kemudahan pengguna jalan raya.
Selepas mendengar taklimat lebih sejam itu, baginda turut melawat 73 orang daripada 14 keluarga kakitangan Pejabat Hutan Lentang yang ditempatkan di Masjid Lentang setelah kuarters mereka terjejas dalam kejadian banjir lumpur itu.
Sultan Ahmad Shah turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa dan memberi jaminan mereka akan ditempatkan di kediaman baharu secepat mungkin.
Dalam sidang media selepas itu, baginda bertitah antara langkah yang telah dikenal pasti untuk mengelak insiden yang sama berulang, termasuk membina tembok yang lebih tinggi untuk menghalang laluan air jika hujan lebat berlaku.
Pihak agensi peringkat negeri dan peringkat pusat yang berkaitan akan mengadakan perbincangan bagi memastikan perkara serupa tidak berlaku pada masa akan datang, titah baginda.
Sultan Ahmad Shah turut menafikan terdapat kegiatan pembalakan haram berhampiran kawasan itu yang menyebabkan kejadian banjir lumpur itu.
Sumber: BERNAMA