'Kerana MLM, Habis Semua Duit Simpanan Mak, Saya Gunakan'
Saya perempuan, sekarang telah grad hampir dua tahun lalu. Kejadian yang paling saya tidak dapat lupakan sepanjang belajar di universiti ialah, terjebak dengan MLM. Sehingga saat saya menaip ini, saya masih ingat satu-satunya wajah individu yang menyebabkan saya trauma dan menanggung hutang. Walaupun tak banyak tetapi, sebagai pelajar pada ketika itu, nilai wang yang dihutang adalah terlalu tinggi.
BERMULANYA KISAH..
Semasa saya sedang melayari Facebook, ada seseorang telah meminta untuk menjadi rakan saya. Lelaki itu bernama F.
"Oh, aku kenal dia ni. Rakan satu sekolah dulu," kata saya dalam hati dan tanpa rasa was-was terus menerima permintaannya itu.
Maka bermulalah sesi berbual di Facebook dan lama kelamaan dia mengajak saya keluar makan. Saya bersetuju memandangkan tempat makan yang dipilih itu berdekatan dengan rumah dan hanya perlu berjalan kaki ke kedai tersebut.
Semasa berjumpa, dia nampak biasa dan peramah. Tidak seperti yang saya kenal dulu yang mana dia seorang pendiam.
AJAK KE KEDAI KAWAN DIA
Dipendekkan cerita, suatu hari dia mengajak saya pergi ke kedai kawannya. Saya yang percaya terus setuju mengikutnya. Katanya ada slot yang orang tempat tetapi tidak jadi. Enggan menanggung rugi, lalu dia meminta saya menggantikan orang itu secara percuma. Bila ditanya kedai apa, dia hanya memberitahu kedai rawatan kesihatan dan selanjutnya saya akan tahu selepas tiba di sana nanti. Saya pun turutkan saja.
Kedai itu sebenarnya milik ketua MLM mereka.
AJAK BUAT BISNES BERSAMA-SAMA
Selepas saja rawatan itu, dia ajak lepak dengan kawan-kawan yang mana masing-masing membawa 'orang'. Mereka ini semuanya peramah, senyum manis dan pandai berlakon. F memberitahu yang dia juga ingin membuka kedai seperti ini dan dia mengajak saya menjadi rakan kongsinya.
Tambahnya, ini bukanlah MLM kerana kita boleh membuka kedai sendiri seperti cawangan. Kebetulan pula saya suka juga tentang bisnes. Bila dia sentuh tentang ibu bapa, nak bagi duit bagai, saya menjadi lebih bersemangat. Dan mungkin inilah sesi brainwash.
MASUK PERANGKAP
F beritahu lagi, kalau saya setuju, saya perlu diinterview terlebih dahulu dengan orang penting syarikat ini. Katanya, orang ini sangat sibuk dan hanya boleh membuat interview sekali sahaja. Kalau gagal, tiada akan interview kali kedua dan seterusnya. Akhirnya saya bersetuju.
Pandai kan F psiko? Entahlah kenapa pada masa ini saya setuju.
INTERVIEW
Semasa interview, saya dan F masuk sekali dalam bilik. Panel interview masuk ke dalam bilik lima minit kemudian. Rupa-rupanya panel itu adalah kawannya sendiri yang juga selalu lepak selepas rawatan. Tetapi karekter dia kali ini sudah lain. Dengan pakaian blazer, muka garang, tanpa senyuman dia mengajukan pelbagai soalan kepada saya.
Pada soalan terakhir, dia bertanya apakah saya benar-benar berminat nak melakukan bisnes ini? Saya hanya mengangguk dan kemudian saya diminta menyediakan RM3,300 dalam masa seminggu.
"Kalau awak lari, saya akan cari awak di rumah sewa dan terajang awak!" kata lelaki itu.
Ayat dia inilah yang paling saya ingat kerana dia tidak suka orang cakap kosong. Saya hanya angguk.
PINJAM DUIT KAWAN
Dalam masa seminggu itu, saya menghubungi kawan-kawan untuk meminjam duit. Selama ini saya tidak pernah meminjam duit sesiapa pun. Kumpul sikit seorang dapatlah kumpul RM1,300. Baki RM2,000, saya pinjam duit mak. Mak bagi semua duit simpanannya sebanyak RM2,000. Sedih bila terkenang kembali.
KENA LAGI
Selepas menyerahkan RM3,300, dia paksa saya bawa kawan-kawan untuk meramaikan ahli. Saya turut perintah dan adalah dua tiga orang menjadi mangsa yang mana kesemua mereka menjauhkan diri dari saya selepas itu.
Hampir berminggu, saya masih belum ada 'prospek' dan saya sudah mula bosan. Saya beritahu mereka yang saya mahu bisnes, bukan nak memrekrut orang. Namun dia pula berkata duit yang saya bayar itu adalah duit bayaran pendaftaran ahli. Kalau benar-benar mahu buat bisnes, kena beli alat dia yang berharga RM27,000.
KISAH RM27,000
Rupa-rupanya F telah melabur RM27,000 dan tiba masa saya pula, dia memaksa saya untuk meminjam duit dengan hali keluarga. Masa ini saya menghadapi final exam semester keempat. Saya tak fokus kerana dalam kepala saya asyik nak bisnes sahaja. Hati naluri ibu, dia tahu, dia call saya dan suruh balik kampung sebab cuti semester saya tak balik. Untuk pertama kalinya saya ingkar cakap mak.
PART SEDIH
F mengeluarkan kata-kata yang tidak enak bila saya gagal menyediakan duit tersebut. Saya mula sedar yang saya telah dipergunakan untuk dia naik ke leader.
Mak cerita, dia tak putus mendoakan saya semasa saya enggan balik ke kampung. Mungkin doa dari seorang ibu itu membuatkan saya tersedar. Ibarat seperti dalam mimpi. Bila tersedar, saya terus tukar nombor telefon, block Facebook F dan terus balik ke kampung. Saya malu dengan keluarga dan saya balik terus menangis memohon maaf pada mak.
BANGKIT KEMBALI
Mak tidak tahu saya banyak berhutang. Selepas naik semester lima, dapat saja duit pinjaman, saya selesaikan semua hutang dan hanya tinggal baki RM200. Kalau nak tahu, semester empat, pointer saya jatuh teruk. Semester lima saya mula bekerja separuh masa di luar pengetahuan keluarga. Penatnya hanya Allah saja yang tahu.
Belajar dan bekerja, Alhamdulillah walaupun kerja part time, tetapi saya dapat dekan sem. Mak saya senyum saja. Sampai ke hari ini, saya benci mendengar perkataan MLM.
Kepada kaki-kaki MLM, cukuplah memperdayakan pelajar untuk kepentingan sendiri. Saya benci MLM!