Kisah Kewujudan Lagenda Tasik buyut, Kota Marudu
Tasik Buyut terletak dalam daerah Kota Marudu di utara negeri Sabah kini merupakan sebuah Pusat Penternakan Ikan Air Tawar dan di bawah seliaan Jabatan Perikanan Sabah, cawangan Kota Marudu.
Namun kisah kewujudannya seakan dilupakan dan hanya berdiri sebagai sebuah tasik untuk tujuan penyelidikan dan penternakan semata-mata.Namanya tidak sehebat Tasik Chini di Pahang yang sinonim dengan kisah naga yang mendiami tasik tersebut.Jauh sekali jika dibandingkan dengan kehebatan Tasik Malaya atau Tangkuban Perahu di Indonesia. Malahan sebahagian penduduk negeri di bawah bayu tidak menyedari kewujudan tasik ini. Namun Tasik Buyut tetap berdiri sendiri menyulam cerita ketelanjuran manusia yang dibuai nikmat dunia hingga menyimpang dari amalan hidup seharian.
Kewujudan Tasik Buyut dikaitkan dengan sikap segelintir manusia yang alpa dengan keseronokan dan kemewahan dunia lantas melaksanakan sesuatu perkara secara melampaui batas sehingga menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui. Akhirnya ketelanjuran tersebut mengundang kutukan dari maha pencipta dengan menurunkan bala untuk menghapuskan manusia yang melampaui batas itu sambil memberi pengajaran kepada yang lain.
Kisahnya bermula disebuah perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Bogaya kira-kira 500 tahun lampau. Kampung ini dihuni oleh suku Mandungus yang hidup sebagai petani. Sudah menjadi kebiasan suku Mandungus apabila tanaman mengeluarkan hasil yang berlipat ganda diraikan dalam satu majlis yang meriah melibatkan seluruh penduduk kampung. Secara kebetulan penduduk Kampung Bogaya tinggal dalam Rumah Panjang yang suku ini kenali sebagai �Binatang�.
Majlis keramaian yang dijalankan disulami dengan paluan gong dan kulintangan sambil dimeriahkan dengan kumpulan penari yang menggayakan tarian mongigol dan mangandak.Acara minum tapai merancakkan lagi majlis tersebut. Akibat telalu banyak minum tapai, para penari semakin mabuk. Langkah tari semakin perlahan dan akhirnya terkulai layu menyembah lantai. Mahu tidak mahu mereka terpaksa mencari penari baru yang lebih mantap gerak tarinya.
Salah seorang yang hadir menyarankan supaya beruk dan kucing mengambil alih peranan sebagai penari. Cadangan itu disetujui oleh yang lain. Lantas mereka bertungkus lumus mengandam kedua ekor haiwan tersebut supaya kelihatan anggun. Ternyata bakat mengandam suku Mandungus sememangnya hebat. Aksesori yang dipakai oleh kedua ekor haiwan tersebut tidak ubah seperti penari sebenarnya
Tanpa membuang masa ,mereka memapah haiwan-haiwan tersebut menari. Pada mulanya agak susah juga haiwan-haiwan tersebut menghayun langkah tarian mongigol. Lama�kelamaan haiwan-haiwan itu menari sendiri tanpa perlu dibimbing. Sememangnya haiwan itu telah dirasuk syaitan sehingga tidak perlu lagi dibantu oleh manusia. Kerancakan tarian kedua ekor haiwan tersebut menyemarak kemeriahan majlis itu. Manusia yang hadir ketawa berdekah-dekah melihat gelagat haiwan yang menari tanpa menyedari tindakan tersebut mengundang kemurkaan yang maha pencipta.
Tasik Buyut : Pandangan dari puncak bukit perumahan kakitangan kerajaan.
Langit yang pada mulanya terang � benderang tiba-tiba menjadi gelap. Hujan lebat turun mencurah-curah tanpa henti. Kilat sabung-menyabung. Guruh berdentum-dentum. Namun manusia yang tengah leka bersukaria sedikitpun tidak menghiraukan perubahan alam tersebut. Hanya seorang dua yang mula merasakan kelainan mula mengasingkan diri mencari tempat yang lebih selamat.
Setelah tiga hari tiga malam hujan turun dengan lebatnya, tanah mula menjadi lembut. Rumah panjang mula bergoyang-goyang dan mula menyusut ke bawah. Tanpa menyedari apa yang berlaku, penghuni rumah panjang terus leka bersuka ria. Apabila lantai dibasahi air, barulah sebahagian dari mereka sedar bahaya yang bakal menimpa. Namun semuanya sudah terlambat. Mereka tenggelam bersama seluruh isi rumah panjang. Setelah rumah panjang tersebut tenggelam sepenuhnya, paluan gong masih kedengaran sayup-sayup di dalam bumi. Bagi mereka yang terselamat, suatu pengajaran yang amat bernilai telah mereka perolehi pada hari tersebut iaitu melampaui batas pasti akan mendapat balasan.
Alangkah eloknya jika kisah kewujudan tersebut diwar-warkan dan tasik itu sendiri ditambah nilai menjadi sebuah pusat pelancongan di utara Sabah. Jalan masuk ke tasik tersebut perlu dinaik taraf supaya memudahkan pelancong menjejaki Tasik Buyut. Kemudahan berehat, ruang memancing juga boleh disediakan untuk menarik minat golongan kaki pancing. Akhirnya masyarakat setempat akan mendapat manfaatnya jika Tasik Buyut diangkat menjadi pusat pelancongan.