Wajarkah Watak 'Mak Nyah' Dalam Upin Ipin?
SUDAH 10 tahun ditayangkan, animasi popular Malaysia, Upin & Ipin masih lagi teguh bertahan menjadi kartun kegemaran ramai bukan sahaja di negara ini tetapi juga di beberapa negara Asia termasuk Indonesia.
Siri yang mengangkat kisah dua kanak-kanak kembar berkepala botak bersama-sama dengan rakan-rakan mereka itu tidak pernah gagal menghiburkan peminat setia dari pelbagai peringkat usia.
Animasi itu diketahui umum sarat dengan pelbagai pengajaran dan menerapkan nilai-nilai murni seperti perpaduan berbilang kaum serta hormat-menghormati orang yang tua.
Pengaruh yang dimiliki animasi itu bukan alang kepalang kerana ia ditonton ratusan ribu kanak-kanak setiap minggu lapor Mynewshub.
Bagaimanapun, timbul persoalan iaitu mengapa siri drama kartun yang begitu berpengaruh itu boleh mengangkat satu watak lelaki lembut?
Bagi yang menonton, pastinya kenal dan sinonim dengan watak Abang Salleh atau lebih mesra disapa Sally.
Watak Sally ini muncul dalam siri istimewa berjudul �Jari Jemari Salleh� dan beberapa episod lagi.
Dalam siri animasi itu, Sally yang merupakan jiran sekampung Upin & Ipin digambarkan sebagai lelaki yang lembut dari segi tutur kata dan tingkah lakunya.
Bukan niat untuk bersikap diskriminasi terhadap mana-mana pihak, namun secara umum majoriti masyarakat Malaysia dari apa jua agama dan kaum masih tidak menerima mak nyah, pondan, gay atau apa-apa yang sewaktu dengannya.
Mendedahkan kanak-kanak dengan elemen LGBT mungkin bukan satu idea yang baik.
Hal ini sebenarnya, sedikit sebanyak boleh memberi pengaruh negatif kepada pemikiran dan tingkah laku kanak-kanak yang menontonnya.
Lihat sahaja, gaya lentik tangan Sally ketika bercakap dan caranya berjalan sudah tidak ubah persis seorang wanita.
Seperti umum mengetahui, kanak-kanak kebanyakannya menganggap Upin & Ipin sebagai idola sehinggakan apa sahaja yang dilakukan dan diucapkan akan ditiru.
Sebagai contoh, penggunaan ayat yang sering diucap oleh Upin & Ipin iaitu �betul�betul�betul�. Dengan cepat, perkataan itu menjadi ikutan ramai.
Tambahan pula, kanak-kanak sememangnya belajar melalui pemerhatiannya.
Oleh itu, pihak penerbit animasi ini sendiri perlulah lebih peka terhadap hal-hal sedemikian. Apatah lagi, isu berkenaan lelaki lembut ini dilihat sebagai taboo yang menyentuh sensitiviti masyarakat dalam negara ini.
Barangkali, watak Sally ini diwujudkan untuk menyuntik elemen jenaka dalam siri animasi tersebut namun ianya tidak bersesuaian dipertontonkan kepada kanak-kanak khususnya.
Bagaimanapun, artikel ini ditulis bukanlah ingin mengkritik hasil anak tempatan tetapi cuba ingin membuka mata pihak penerbit bahawa watak Sally ini tidak wajar dipertontonkan.
Apa pun, tahniah kepada Upin & Ipin kerana masih popular dan kekal menghiburkan kami dengan pelbagai kisah menarik.