'Takkan Bahagia Hidup Kau Dengan Menyihir Isteri Aku...'
Ingin saya kongsi pengalaman ini sebagai pengajaran dan pendoman kepada para suami di luar sana yang sedang sibuk mencari 'spare part' hiburan di luar.
Saya adalah seorang suami dan bapa kepada empat orang anak. Hubungan bersama isteri sudah hampir 15 tahun. Isteri saya bekerjaya dan kami memang saling sayang menyayangi antara satu sama lain, sehinggalah suatu pagi seorang kerani di tempat kerja saya telah bertanya khabar saya yang tidak sihat.
Saya memang tidak pernah menyimpan mana-mana nombor telefon perempuan lain kecuali seorang lagi kerani lain untuk memudahkan urusan kerja. Isteri saya ini memang kuat 6th sense dia. Dia boleh hidu dan syak itu bukan kawan-kawan perempuan yang dia kenal. Saya pun beritahu yang saya tidak kenal (sebab memang saya tidak kenal). Isteri saya pun diam sehinggalah bila saya kembali bekerja semula, si kerani ini bertanya mengapa saya tidak membalas mesejnya. Saya kata saya tidak tahu sebab nombor dia tiada dalam senarai contact telefon.
Hubungan saya dan isteri memang baik, mesra dan isteri saya memang seorang yang periang. Tanggungjawab dia pada saya dan anak-anak memang tidak dilupakan. Dan saya selalu beritahu pada kawan-kawan bahawa isteri saya memang tiada galang gantinya.
Jika ditakdirkan saya beristeri lagi, itu cuma akan terjadi jika isteri saya sudah meninggal dunia. Itu pun pada saya, mustahil ada wanita yang dapat menggantikan tempatnya. Rupa-rupanya kenyataan saya telah menimbulkan rasa tidak puas hati kerani berkenaan.
Pada suatu hari, si kerani itu mendapat kerja di Kuala Lumpur. Maka dia pun berhijrah. Saya memang jenis peramah, suka bertanya khabar kawan-kawan lelaki mahupun perempuan, tua mahupun muda. Saya pun saja sms dan bertanya khabar. Demi Allah, tiada sekelumit pun rasa suka atau cintakan kerani tersebut.
Sejak kerani itu selalu menghubungi saya, akhirnya tanpa saya sedari si kerani itu memanggil saya dengan panggilan 'sayang'. Saya pun terkedu pada mulanya. Yelah, dah orang panggil kita 'sayang' kan? Maknanya saham saya laku lagi.
Hubungan dengan isteri masih baik sehingga tiba hari raya, kerani itu menghubungi saya dan bertanyakan bila saya mahu berkunjung ke rumahnya untuk berhari raya. Saya tidak tahu, seperti ada sesuatu yang mendesak saya untuk pergi. Saya pergi ditemani dengan anak-anak saya.
Lama kelamaan isteri dapat menghidu perbuatan saya. Isteri suruh saya tukar nombor telefon. Saya ikut segala permintaan isteri sebab saya sayangkan dia. Dan yang peliknya saya tak tahu kuasa dari mana saya beli nombor lain dan handphone lain. Tetapi tak lama.
Betullah kata orang, naluri seorang isteri itu jangan dibuat main-main. Saya tahu isteri saya selalu berdoa dan saya selalu mendengar dalam doanya ada tangisan. Hati saya pilu mendengar esakan isteri saya tetapi ada sesuatu yang berbisik supaya membiarkan saja isteri saya.
Solat hajat, bacaan yasin dan akhir sekali bila tiba awal muharam, isteri dan anak-anak buat solat hajat. Dan tidak lama selepas itu, rahsia terbongkar. Bila isteri dapat tahu, dia ajak saya pergi berjumpa kerani itu. Saya ikut saja.
Dalam kereta, dia suruh saya lepaskan dia. Tetapi demi Allah saya sayangkan isteri saya. Saya tidak akan melepaskannya kecuali ajal yang memisahkan kami.
Isteri saya memang cerdik, segala doa dia Allah makbulkan. Kami dapat berjumpa dengan kerani itu tetapi dia lari bila saya menghampiri isteri saya. Seperti ada sesuatu yang disorokkannya. Kami pulang ke Penang semula.
Sejak itu kepercayaan isteri pada saya memang tiada lagi. Walau berkali-kali saya ucapkan saya tiada apa-apa hubungan dengan kerani itu.
Pada suatu hari ketika saya sedang solat dhuha, isteri tiba-tiba tak sedarkan diri. Marah-marah tak tentu hala. Saya bawa dia berjumpa dengan seorang ustaz berhampiran. Sekali lagi isteri saya diserang sambil menjerit-jerit.
"Kenapa kau tinggalkan aku?! Kenapa kau sayang sangat kat bini ko tu?!"
Berulang-ulang ayat itu keluar dari mulutnya. Ustaz beritahu isteri saya telah disihir. Dan seperti yang dijangka, saya juga telah diguna-gunakan oleh kerani tersebut. Hampir 12 orang ustaz kami jumpa tetapi sehingga kini keadaan isteri saya masih diganggu. bermacam-macam sihir telah dihantar kepada kami sehingga kini.
Saya memang menyesal, menyesal yang teramat sangat. Kami berdoa agar kami diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini. Isteri saya seorang yang redha dan pasrah walaupun tubuh seperti disiat dan diikat-ikat tetapi tanggungjawab tetap dilaksanakan.
Dan saya tak sangka, isteri masih boleh mewakafkan al-quran atas nama kerani tersebut semasa kami bercuti di Langkawi baru-baru ini. Terkedu saya. Saya tanya kenapa dia berbuat demikian.
"Perempuan itu sudah jauh terpesong. Kitalah yang kena betulkan aqidahnya," katanya.
Dia tak balas setiap perbuatan kerani itu sehingga saya pula yang kurang sabar. Bila saya kata saya nak pulangkan semua sihir-sihir ini, isteri kata tak perlu berbuat demikian. Itu semua saham akhirat dia. Biar pun sihir itu menyebabkannya sampai ajal walaupun sudah lama menderita. Subhanallah.
Nasihat saya kepada lelaki di luar sana, jadikanlah kisah saya sebagai pengajaran. Jangan mudah terperdaya dengan wanita lain. hati-hatilah bila berkawan, jangan ada yang ambil kesempatan di atas keprihatinan kita.
Pada perempuan-perempuan di luar sana, janganlah terdesak merosakkan rumah tangga orang lain sebab kifarah Allah itu pasti ada. Pada kerani tersebut, sedarlah, tak bahagia mana pun kehidupan kamu dengan menzalimi isteri aku.