Serpihan Ditemui Di Mozambique Hampir Pasti Milik MH370
Dua serpihan pesawat yang ditemui di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, Kepulauan Mauritius disahkan hampir pasti milik pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata berdasarkan pemeriksaan teliti oleh pakar antarabangsa, Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam
Antarabangsa (Icao) Annex 13 Malaysia menyimpulkan bahawa kedua-dua serpihan itu konsisten dengan panel yang terdapat pada sebuah pesawat Boeing 777, milik Malaysia Airlines lapor Mstar.
�Oleh itu, pasukan tersebut mengesahkan kedua-dua serpihan dari Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues itu hampir pasti milik MH370,� kata Liow dalam satu kenyataan pada Khamis.
Liow berkata pengesahan itu juga selari dengan pemeriksaan pada Mac, apabila pasukan penyiasat turut mengesahkan serpihan ditemui di Mozambique hampir pasti milik MH370.
Dua serpihan yang ditemui berasingan di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues merupakan sekeping bahagian enjin dengan logo Rolls-Royce dan panel dinding kabin dalam pesawat.
Pemeriksaan ke atas dua serpihan itu dilakukan pasukan pakar antarabangsa di Australia.
Pada masa sama, Liow turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mozambique, Mauritius Afrika Selatan di atas bantuan yang dihulurkan untuk melengkapkan siasatan tersebut.
Jelas beliau, kerajaan tetap komited meneruskan pencarian MH370 dengan kerjasama Australia dan China.
Sehingga kini, kawasan pencarian sudah meliputi 105,000 kilometer per segi.
Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur menuju Beijing yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang dari radar kira-kira 40 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
1. Bahagian di sayap pesawat yang dipanggil flaperon, ditemui di Pulau Reunion pada Julai 2015 dan disahkan sebagai serpihan MH370 pada September 2015.
2. Penstabil mendatar di bahagian belakang pesawat, ditemui di Mozambique pada Disember 2015.
3. Panel penstabil ditemui di Mozambique pada Februari 2016.
4. Sekeping bahagian enjin dengan logo Rolls-Royce ditemui di Teluk Mossel, Afrika Selatan pada Mac 2016.